UNIT 3
ISU-ISU MORAL SEMASA
(REMAJA )
OBJEKTIF AM
Mengetahui isu-isu moral semasa yang membabitkan golongan remaja dan mencadangkan langkah-langkah penyelesaiannya
3
Unit
OBJEKTIF KHUSUS
Di akhir unit anda dapat :
- menyatakan jenis-jenis isu-isu moral yang melibatkan golongan remaja
- mengenalpasti faktor-faktor pendorong kepada terjadinya gejala-gejala tersebut
- mencadangkan penyelesaian-penyelesaian yang praktikal terhadap isu-isu tersebut
ISU-ISU MORAL SEMASA ( REMAJA )
INPUT
PENGENALAN
Menurut Kamus Dewan, perkataan “ isu ” bermaksud perkara pokok dan persoalan, manakala Moral pula bermaksud ajaran atau pegangan berkaitan buruk baik sesuatu perbuatan . Remaja pula secara umumnya ialah golongan yang berusia antara 13 hingga 18 tahun, manakala usia antara 19 hingga 21 tahun dianggap sebagai akhir alam remaja. Oleh itu, secara umumnnya isu-isu moral remaja ialah segala persoalan dan tingkahlaku remaja yang dianggap menyalahi dan bertentangan dengan nilai-nilai dan pegangan moral.
Alam remaja merupakan satu tahap kritikal dalam kehidupan manusia, iaitu tempoh peralihan daripada alam kanak-kanak kepada alam dewasa. Pada peringkat inilah seseorang mula bertindakbalas kepada tuntutan emosi untuk mencari identiti dan penampilan tersendiri. Ahli psikologi mengistilahkan alam remaja sebagai ‘umur emosi’ (emotional age ) kerana di peringkat mencari identiti , mereka sering berhadapan dengan konflik diri di mana wujud dua pertembungan iaitu antara sifat kanak-kanak dan keinginan serta kebimbangan untuk menempuhi alam dewasa. Tetapi kini, remaja telah terlalu jauh meninggalkan batas keperibadiannya serta melupakan nilai-nilai etika dan moral yang sepatutnya tersemai di dalam diri mereka.
Dewasa ini, keruntuhan moral dan akhlak remaja berada pada tahap yang agak membimbangkan. Oleh itu timbul persoalan di sini, adakah nilai-nilai murni yang disemai dan dipelihara sudah lusuh rentetan daripada pemodenan mental dan kebendaan. Apakah mereka tidak mampu untuk mengadaptasikannya dengan perubahan budaya barat ( westernization ) yang pesat melanda negara kita ?