UNIT
9
IBADAH-IBADAH KHUSUS
OBJEKTIF
OBJEKTIF AM
- Mengetahui dan memahami kaifiat ibadah-ibadah khusus.
- Melakukan ibadah-ibadah khusus dengan sempurna.
- Menghuraikan peranan dan kepentingan ibadah-ibadah khusus dalam kehidupan.
OBJEKTIF KHUSUS
Di akhir unit ini anda sepatutnya dapat :
- menghuraikan pengertian solat, puasa, zakat dan haji.
- menyatakan syarat-syarat wajib solat, puasa, zakat dan haji.
- membuat perbandingan tentang kepentingan setiap ibadat.
INPUT
( IBADAH–IBADAH KHUSUS )
|
Ehh…mak buat apa tu…sembahyang ke….????
9.0 PENGENALAN.
Ibadat itu terdiri daripada berbagai bentuk, bukan satu macam sahaja sehingga manusia merasa tidak jemu dalam menunaikan ibadatnya. Ini sesuai dengan kenyataan bahawa Islam itu adalah satu cara hidup atau way of life di mana ibadat itu merangkumi segala kegiatan manusia dari segi rohaniah dan jasmaniah. Namun terdapat ibadah asas yang mesti dilakukan oleh setiap individu yang dinamakan sebagai ibadah-ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat dan seumpamanya.
9.1 IBADAT SOLAT.
Ibadah solat adalah ibadah yang asas dan utama dalam Islam. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud:
“Perkara pertama yang akan dihitung di akhirat nanti ialah solat. Jika
baik amalan solat seseorang itu, baiklah seluruh amalnya, dan jika buruk
amalan solatnya maka buruklah seluruh amalnya yang lain”
Oleh
itu ibadah solat sangat diberi perhatian dan diambil berat kerana ia
juga membezakan seseorang itu muslim atau kafir. Sabda Rasulullah yang
bermaksud:
“Perbezaan antara seorang muslim dan kafir ialah solat”
9.1.1 Pengertian.
Solat
menurut bahasa Arab ialah doa. Dalam istilah syarak pula solat ibadat
yang tersusun dari beberapa perkataan dan perbuatan dimulai dengan
takbir dan disudahi dengan salam, mengikut syarat-syarat tertentu.
9.1.2 Kepentingan Solat.
Solat
merupakan ibadat yang asasi dalam perhubungan di antara manusia dengan
Allah SWT. Dengan melakukan ibadat solat, manusia dapat mengingati
Allah, dapat menghidupkan pengakuan iman di dalam hati, menambah
keyakinan kepada rasul, kepada kitab Allah dan seterusnya dapat membawa
manusia ke jalan yang lurus, jalan yang diberi petunjuk oleh Allah SWT.
Solat merupakan perbuatan secara amali yang dapat memperagakan keimanan
seseorang kepada Allah SWT.
Bersolat
menjadi sifat-sifat orang yang bertaqwa yang menurut arahan kitab suci
al Qur’an dan merekalah yang memperlengkapkan diri dengan sifat-sifat
yang terpuji lalu mendapat petunjuk daripada Allah Ta’ala. Merekalah
yang beroleh kejayaan.
Bukan waktu berjalan, bekerja dan pi kenduri je kena handsome….tapi bila nak sembahyang pun….kebersihan dan kekemasan diri penting jugak ….barulah khusyuk solat tu
Solat
memberi kesan terhadap pembersihan diri dan mengawalnya daripada
terjerumus ke dalam lembah kehinaan atau keburukan serta membersihkan
manusia daripada naluri-naluri yang tidak sihat.
Firman Allah SWT :
Maksudnya :
“Dan dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar.”
(Al-Ankabut : 45)
Firman Allah SWT :
Maksudnya :
“Sesungguhnya
manusia itu dijadikan resah gelisah, apabila ia ditimpa kesusahan, ia
sangat resah dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil
kedekut, kecuali orang-orang yang mengerjakan solat.”
(Al-Ma’arij : 19-22)
Pada
hakikatnya, perbuatan solat sebagai tanda kesempurnaan seseorang dalam
melakukan hak-hak pengabdian kepada Allah SWT. Sebaliknya dengan
meninggalkan solat ia digelar sebagai orang yang tenggelam di dalam hawa
nafsu yang bakal menjadi ahli neraka.
Eh….Tak nak sembahyang dulu ke….?????
Firman Allah SWT :
Maksudnya :
“Kemudian
mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan solat serta
menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat) maka mereka akan
menghadapi azab (dalam neraka).”
(Maryam : 59)
Menurut jejak langkah baginda Rasulullah SAW, bila berlaku kecemasan baginda solat dan berkata yang bermaksud:
“Allah menjadikan ketenangan mataku di dalam solat.”
Firman Allah SWT :
Maksudnya :
“Mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan mengerjakan solat.”
(Al-Baqarah : 153)
9.1.3 Kefardhuan Solat.
Islam
menjadikan solat salah satu daripada rukun Islam yang lima. Diwajibkan
ke atas tiap-tiap penganutnya muslim dan muslimat supaya mendirikan
solat lima waktu sehari semalam. Hingga kanak-kanak diwajibkan ke atas
tiap-tiap penjaganya menyuruh solat sejak usianya meningkat tujuh tahun
dan mewajibkan penjaga-penjaganya itu memukul, jika kanak-kanak itu
berdegil atau malas setelah berusia sepuluh tahun.
Perintah
solat diturunkan pada malam Isra’ setahun sebelum Hijrah. Ia adalah
ibadat yang pertama diwajibkan oleh Allah Ta’ala di mana perintah itu
disampaikan secara langsung tanpa perantaraan, dengan cara berdialog
terus dengan RasulNya pada malam Mi’raj.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Solat
itu difardhukan ke atas Nabi pada malam ia diisra’kan sebanyak lima
puluh kali, lalu ia dipanggil : Hai, Muhammad ! KeputusanKu tidak dapat
diubah lagi dan dengan solat lima waktu ini, kau tetap mendapat ganjaran
lima puluh waktu.”
Perintah
mengerjakan solat adalah lebih berat daripada perintah menunaikan
rukun-rukun yang lain sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abdullah bin
Syaqiq Al Aqili, katanya yang bermaksud :
“Sahabat-sahabat
Rasulullah S.A.W. tidak memandang sesuatu terhadap amalan-amalan yang
meninggalkan menjadi kufur selain daripada solat, tegasnya tidak ada
halangan atau keuzuran yang mengharuskan meninggalkan atau dikeluarkan
daripada waktunya selain daripada terlupa dan tertidur.”
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Bukanlah
kecuaian dalam masa tidur tetapi kecuaian ini sebenarnya di masa sedar,
apabila seorang daripada kamu terlupa solat atau tertidur maka
hendaklah ia solat di masa ia mengingatinya.”
Oleh
itu wajib ke atas setiap orang Islam yang cukup syarat-syaratnya
menyempurnakan solat fardhu yang ditentukan lima waktu sehari semalam.
Solat di dalam Islam tidak dapat ditandingi oleh ibadat-ibadat yang
lain. Sesiapa yang meninggalkan solat, ia berhak mendapat azab daripada
Allah SWT.
9.1.4 Syarat-Syarat Wajib Solat:
- Islam.
- Baligh.
- Berakal.
- Suci dari haid dan nifas.
- Sejahtera pancaindera.
Tidak wajib sembahyang ke atas orang yang buta dan tuli sekali pun tidak bisu jika berlaku kedua-duanya sebelum tamyiz.
vi. Sampai seru.
Tidak
wajib sembahyang ke atas mereka yang tidak sampai seruan Islam seperti
ia dilahirkan dan menetap di puncak bukit yang jauh yang tiada
perhubungan langsung.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Yang
terlepas dari hukuman ada tiga: Kanak-kanak hingga ia dewasa, orang
tidur hingga ia sedar dan orang gila hingga ia sembuh.”
(Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)
9.1.5 Syarat-Syarat Sah Solat.
Syarat-syarat
yang mendahului solat wajib dipenuhi oleh orang-orang yang hendak
mengerjakannya, sekiranya ketinggalan salah satu di antaranya maka batal
solatnya iaitu:
i. Suci dari hadas dan najis yang tidak dimaafkan sama ada pada pakaian, badan dan pada tempat sembahyang.
ii. Menutup aurat.
iii.
Mengetahui cara sembahyang dan dapat membezakan yang wajib dan yang
sunat. Malahan jika diiktikadkan semuanya fardu atau setengahnya fardu
dan setengahnya sunat dan tidak membezakannya dan dia merupakan orang
awam, selagi tidak diiktikadkan yang fardu itu sebagai sunat; sahlah
sembahyangnya.
iv.
Menunaikan sembahyang ditempat yang suci walaupun secara zan dan jangan
bersentuh sebahagian badan atau pakaian dengan najis ketika qiyam atau
duduk atau rukuk atau sujud.
v. Mengetahui masuk waktu atau pun zan masuk waktu dengan secara ijtihad seperti mendengar ayam berkokok dan sebagainya.
vi. Menghadap kiblat iaitu mengadap seluruh badannya ke arah kiblat.
9.1.6 Rukun-Rukun Solat.
Rukun-rukun solat ialah ada tiga belas iaitu:
- Niat.
- Berdiri bagi yang berkuasa.
- Takbiratul Ihram.
- Membaca Al-Fatihah.
- Rukuk serta tumakninah.
- Iktidal serta tumakninah.
- Sujud serta tumakninah.
- Duduk antara dua sujud serta tumakninah.
- Tasyahhud akhir.
- Selawat ke atas Nabi Muhammad SAW dalam tasyahhud akhir.
- Duduk untuk bertasyahhud, salawat dan salam.
- Memberi salam yang pertama.
- Tertib.
Rukun-rukun
yang tersebut di atas wajib dilakukan dengan sempurna, sekiranya
tertinggal salah satu daripadanya atau tidak melakukan dengan sempurna
maka tidak sah solat.
9.2 SOLAT BERJAMAAH DAN CARA MELAKSANAKANNYA.
- Hukum Solat Berjamaah.
Hukum solat secara berjamaah selain dari fardu Jumaat adalah fardu kifayah ke atas lelaki yang:
- Merdeka.
- Bermukim.
- Menutup aurat.
Berjamaah
di masjid bagi lelaki adalah lebih afdal. Kelebihan solat berjamaah
dikira berhasil apabila terdapat seorang imam dan seorang makmum yang
sempat bersama-sama imam sebelum imam memberi salam yang pertama walupun
makmum tidak sempat duduk bersama imam.
- Niat Berjamaah.
- Makmum wajib berniat mengikut imam. Dia dikira sembahyang bersendirian jika tidak niat berjamaah.
- Bagi sembahyang Jumaat, tanpa niat mengikut imam batal sembahyangnya, kerana niat berjamaah merupakan syarat sah bagi sembahyang Jumaat.
- Bagi lain-lain sembahyang fardhu, niat berjamaah bukanlah syarat sah sembahyang, tetapi hanya syarat sah mengikut imam sahaja. Dengan ini jika makmum mengikut imam dengan ketiadaan niat berjamaah atau syak pada niatnya batallah sembahyangnya, jika dia menanti imam dalam jarak masa yang panjang dalam satu perbuatan.
- Sah sembahyang seseorang yang berniat mengikut imam pada pertengahan sembahyangnya, tetapi makruh dan tidak dapat pahala jamaah.
- Niat Imam.
- Imam ( selain dari imam sembahyang fardu Jumaat ) tidak wajib berniat sebagai imam untuk sah diikuti, cuma sunat sahaja. Jika imam tidak berniat sebagai imam tidaklah ia mendapat pahala berjamaah dan dikira sembahyang bersendirian.
- Imam berniat sebagai imam pada pertengahan sembahyangnya tidaklah makruh. Dia akan mendapat pahala jamaah yang dikira ketika dia memulakan niatnya sebagai imam dan perbuatan yang sebelumnya tidak dapat pahala jamaah.
- Kelayakan Imam.
- Hamba layak menjadi imam bagi makmum yang merdeka.
- Kanak-kanak yang mumayyiz layak menjadi imam kepada makmum yang baligh. Kanak-kanak yang belum mumayyiz tidak sah menjadi imam.