September 13, 2012

PERNIAGAAN PENGIKLANAN (INDUSTRI DAN AGENSI PENGIKLANAN)




UNIT 5

PERNIAGAAN PENGIKLANAN

(INDUSTRI DAN AGENSI PENGIKLANAN)



OBJEKTIF



Objektif  Am

Mempelajari dan memahami fungsi-fungsi industri dan agensi pengiklanan dan sumbangannya dalam perkembangan ekonomi.


Objektif Khusus  :-  Di akhir unit ini anda akan dapat :-

  • Menghuraikan fungsi-fungsi industri pengiklanan
  • Menerangkan peranan-peranan agensi pengiklanan
  • Membincangkan jenis-jenis agensi pengiklanan
  • Menjelaskan struktur organisasi agensi pengiklanan
  • Membincangkan bentuk ganjaran yang diterima oleh agensi pengiklanan



INPUT




  1. PENGENALAN
Agensi pengiklanan adalah salah satu elemen yang penting dalam industri pengiklanan. Industri pengiklanan telah menyumbangkan sebahagian dari pembangunan ekonomi negara.


5.1 FUNGSI INDUSTRI PENGIKLANAN
Di Malaysia, industri pengiklanan telah berkembang pesat sejak 10 tahun lepas  dan telah memberi sumbangan dalam pembangunan ekonomi negara. Industri ini telah menyumbang dalam meningkatkan :-

  • Tenaga kerja
Perkembangan dalam industri pengiklanan telah membuka peluang pekerjaan.

  • Perbelanjaan pengiklanan
Dalam tahun 1991, perbelanjaan pengiklanan telah meningkat sebanyak 20% dan 12% adalah sumbangan dari pemasar baru. Sila rujuk rajah 5.1.

  • Pengiklan baru dalam industri pengiklanan
Bertambahnya pemasar-pemasar baru seperti institusi kewangan untuk iklan kad kredit dan Petronas untuk Hari Merdeka.


JENAMA

RM JUTA
Shipping Advertisements
15.1
Malaysia Airlines
8.1
Perilly’s Black & Gold Collection
7.3
Benson & Hedges Golden Gallery
5.5
Road Safety Council
5.0
John Player’s Classic Collection
5.0
Peter Stuyvesant
4.7
Salem in Concert
4.5
Salem Holidays
3.9
Telekom Malaysia
3.7

(Sumber: SRM Adex Report, 1993)
Rajah 5.1:  Senarai 10 Pemasar Penyumbang Terbesar dalam Perbelanjaan Pengiklanan:1992




AKTIVITI



AKTIVITI 5A

Pelajar dikehendaki membentuk kumpulan yang terdiri daripada 4 - 5 orang ahli bagi menjawab tugasan dibawah :-

Cari data terkini berkaitan :-
  • Tenaga kerja yang terlibat dalam bidang pengiklanan
  • Peratusan sumbangan industri pengiklanan dalam sektor ekonomi
  • Senarai 10 pemasar , penyumbang terbesar dalam perbelanjaan pengiklanan.
Lepas buat graf kena ulas pulak…..
Dari data yang diperolehi pelajar dikehendaki membuat ulasanSertakan juga data yang telah diperolehi sebagai lampiran.


MAKLUMBALAS AKTIVITI





MAKLUMBALAS AKTIVITI 5A

Jawapan pelajar mestilah data yang berkaitan dengan:-

  • Tenaga kerja pengiklanan
  • Peratus sumbangan
  • Senarai 10 syarikat penyumbang terbesar






INPUT




  1. AGENSI PENGIKLANAN
Agensi pengiklanan memainkan peranan yang penting dalam industri pengiklanan. Peranan-peranannya meliputi dengan pemasar dan agensi pengiklanan lain.

5.2.1  PERANAN-PERANAN AGENSI PENGIKLANAN
Terdapat empat peranan yang penting iaitu:

  1. Memberi pandangan luar yang lebih objektif.
Agensi memberi pandangan tentang aktiviti-aktiviti pengiklanan kepada pemasar dari sudut masa siaran, teknik promosi yang sesuai, media-media yang akan digunakan dan juga memberi cadangan-cadangan yang bernas tentang strategi kreatif yang hendak digunakan.

  1. Membantu untuk menyediakan tenaga pakar dalam bidang pengiklanan.
Sesebuah agensi pengiklanan perlu menyediakan tenaga pakar contohnya pengarah seni, pereka grafik, jurufoto dan sebagainya. Selain dari itu penyediaan alat produksi dan lokasi juga ditentukan oleh agensi pengiklanan tetapi bergantung juga kepada kehendak pemasar.

  1. Mengatur pembelian ruang dalam media cetak dan masa siaran dalam media elektronik.
Membantu media dalam tempahan ruang untuk media cetak dan masa siaran untuk media elektronik. Contohnya iklan Citibank menempah untuk iklan produknya di muka belakang majalah Astro.

  1. Memberi perkhidmatan yang baik kepada pengiklan.
Agensi pengiklanan seharusnya memberi perkhidmatan yang terbaik untuk pelanggannya. Perkhidmatan seperti khidmat-nasihat dalam pengiklanan, penyelidikan pemasaran dalam perkembangan pasaran produk, melayan aduan-aduan daripada pelanggan dan sebagainya.

5.2.2  JENIS-JENIS AGENSI PENGIKLANAN
Agensi pengiklanan boleh dikategorikan kepada dua iaitu berdasarkan jenis perniagaan yang dijalankan dan jenis perkhidmatan yang ditawarkan.
Terdapat lima jenis agensi pengiklanan iaitu:-

  • Agensi pengiklanan pengguna am
  • Agensi pengiklanan perindustrian
  • Agensi pengiklanan membeli media
  • Butik kreatif
  • Agensi pengiklanan perkhidmatan penuh

  1. Agensi pengiklanan pengguna am.
Sebuah agensi yang menguruskan pelbagai jenis pelanggan. Kebiasaannya ia menguruskan iklan bagi barangan pengguna seperti iklan serbuk pencuci, makanan segera, pakaian dan barang keperluan harian yang lain.
Penggunaan pelbagai jenis media untuk iklan pengguna am seperti papan iklan, tv, radio, internat dan majalah.




  1. Agensi pengiklanan perindustrian.
Kebiasaannya iklan dibuat melalui media cetak kerana prospek tidak meluas. Contohnya menggunakan majalah perdagangan, jurnal perniagaan dan lain-lain.
Komisen diterima adalah rendah sebaliknya agensi ini mengenakan yuran pengiklanan yang lebih tinggi.

  1. Agensi pengiklanan membeli media
Agensi ini tidak mencipta iklan, sebaliknya membantu pemasar membeli ruang iklan dalam media cetak dan masa siaran di media elektronik. Agensi ini pakar dalam susun atur pembelian media seperti broker. Pembelian iklan termasuk mengatur masa iklan.

  1. Butik/Gedung Kreatif
Satu agensi yang focus kepada penciptaan dan strategi kreatif sesuatu iklan. Biasanya terdiri daripada beberapa pekerja penting seperti pengarah seni, pereka grafik dan lain-lain. Adakalanya memberi perkhidmatan pada agensi pengiklanan yang lain.

  1. Agensi pengiklanan perkhidmatan penuh
Satu agensi yang menawarkan semua perkara yang berkaitan dengan iklan. Dua bentuk perkhidmatan yang ditawarkan oleh agensi ialah:

  1. Perkhidmatan pengiklanan
Mencipta strategi kreatif, penerbitan filem iklan dan lain-lain lagi termasuk mengurus aspek-aspek pembayaran bagi pihak pemasar.


  1. Perkhidmatan bukan pengiklanan
Menjalankan aktiviti berkaitan dengan iklan secara tidak   langsung. Contohnya menghasilkan bahan-bahan promosi jualan yang mungkin ada kaitan dengan iklan yang disiarkan.

5.2.3  SUMBER-SUMBER PENDAPATAN AGENSI PENGIKLANAN
Apa-apa firma perniagaan mahukan keuntungan. Keuntungan tersebut dalam bentuk keuntungan, pendapatan, komisen, yuran dan sebagainya. Bagi agensi pengiklanan, sumber-sumber pendapatan tersebut datangnya dari empat bentuk iaitu:-

  • Komisen media
  • Tokokan harga terhadap pembelian luar
  • Perkara bukan komisen
  • Bayaran yuran/perkhidmatan

  1. Komisen Media
Merupakan sumber pendapatan yang paling besar kepada pendapatan agensi iaitu 60-75%. Komisen ini dibayar oleh pihak media contohnya iklan Waikiki burger oleh KFC di mana setiap kali ia disiarkan agensi akan menerima komisen dari pihak media.
Berikut adalah contoh pengiraan, bagaimana komisen media diperolehi.

Komisen media - 15%
Bayaran pengiklanan oleh KFC - RM250,000 setahun
Diskaun 2% untuk bayaran cepat

Oleh itu: 250,000 x 15% = 37,500
Maka ini adalah komisen media yang diterima oleh agensi pengiklanan.

Untuk mengira pendapatan yang diterima oleh pihak media pula adalah seperti berikut:
250,000 – 37,500 = 212,500
Jika dibayar cepat, maka boleh menerima diskaun.
212,500 x 2%=4,250
212,500 – 4,250=208,250
Oleh itu bayaran yang diterima oleh pihak media adalah sebanyak RM208,250.

2.  Tokokan harga terhadap pembelian luar
Dalam menyediakan sesuatu iklan, kadang kala agensi perlu membayar perkhidmatan yang mereka gunakan seperti model-model, peralatan, perkhidmatan syarikat penerbitan filem dan lain-lain lagi.
Agensi akan mengenakan tokokan (mark-up) sebanyak 20-25% kepada pembayaran yang dibuat terlebih dahulu.
      3.  Perkara bukan komisen
Perkara bukan komisen adalah masa tambahan yang diperlukan untuk menyiapkan sesuatu kerja iklan contohnya kerja lebih masa oleh staf agensi yang mana ditanggung oleh pemasar.
      4.  Bayaran yuran perkhidmatan
Yuran-yuran lain yang dikenakan oleh agensi kepada pemasar/klien bagi bahan-bahan yang digunakan seperti alatulis.









AKTIVITI



AKTIVITI 5B

Pelajar  dikehendaki membentuk kumpulan yang terdiri dari 4 – 5 orang ahli bagi menjawab soalan tugasan di bawah

  1. Cari senarai 5 agensi pengiklanan di Malaysia dan kategorikan agensi mengikut jenis agensi pengiklanan yang telah dipelajari.  Berikan alasan mengapa anda mengkategorikannya seperti itu.

Camne le pulak nak susun struktur oraganisasi ni….?

Dari senarai tersebut di atas pilih satu agensi dan lukiskan struktur organisasi agensi tersebut.








MAKLUMBALAS AKTIVITI





MAKLUMBALAS AKTIVITI 5B

  1. Agensi yang dipilih oleh pelajar mestilah agensi pengiklanan dengan menyertakan lampiran sebagai rujukan pelajar.
  2. Struktur organisasi samada pelajar boleh lukis struktur/carta organisasi atau menyenaraikan jawatan-jawatan yang terdapat atau kemahiran/kelayakan yang perlu ada pada tenaga kerja dalam agensi pengiklanan tersebut.






Syabas!!! Teruskan usaha anda.









PENILAIAN KENDIRI




PENILAIAN KENDIRI

  1. a.  South-east Asia Sdn.Bhd menandatangani kontrak dengan Tanjung  
Tuan Bhd untuk mengeluarkan iklan syarikat tersebut. Dalam kontrak tersebut Tanjung Tuan bersetuju membayar RM2,000,000.00 kepada South-east Asia Sdn.Bhd. Pihak media Kerangkraf bersetuju memberi sebanyak 15% kepada South-east Asia Sdn.Bhd sebagai komisen. Berapakah komisen yang diterima oleh South-east Asia Sdn.Bhd?
(5 markah)

 b. Jelaskan peranan yang dimainkan oleh South-east Asia  Sdn. Bhd.    
     kepada Tanjung Tuan Bhd.
(25 markah)




  1. “Industri pengiklanan menyumbang kepada pendapatan negara”.   
             Bincangkan.
(25 markah)


  1. Terangkan lima jenis agensi pengiklanan dan peranannya pada pihak
pemasar tersebut. (25 markah)








MAKLUMBALAS PENILAIAN KENDIRI




MAKLUMBALAS PENILAIAN KENDIRI

Jawapan 1
  1. RM2,000,000  x 15%  = RM300,000
Komisen media yang diterima oleh pihak agensi ialah RM300,000
Pihak media akan menerima RM2,000,000- RM300,000 = RM1,700,00

  1. Peranan agensi pengiklanan kepada pemasar atau klien
Rujuk nota 5.2 di muka surat 6
Jawapan 2
Industri pengiklanan penyumbang kepada pendapatan negara dengan:
  • Membuka peluang pekerjaan
  • Menambahkan lagi pendapatan agensi-agensi iklan dan badan penyiaran
  • Membuka peluang pelaburan oleh pelabur-pelabur asing dalam industri iklan
  • Menambahkan lagi perbelanjaan penggunaan dan pelaburan dalam masyarakat
Jawapan 3
5 jenis agensi-agensi pengiklanan antaranya:-
  • Agensi pengiklanan pengguna am
  • Agensi pengiklanan perindustrian
  • Agensi pengiklanan membeli media
  • Gedung kreatif
  • Agensi pengiklanan perkhidmatan penuh