September 12, 2012

pengenalan kepada pencukaian malaysia


pengenalan kepada

pencukaian malaysia



Objektif :


Objektif Am:

Mempelajari dan memahami sejarah pencukaian dan objektif pencukaian di Malaysia


Objektif Khusus:

Di akhir unit ini, anda dapat:

  • Menerangkan sejarah pencukaian di
Malaysia serta ideologinya

  • Menyenaraikan objektif pencukaian
  • Menyenaraikan prinsip-prinsip am pencukaian di Malaysia
  • Menyenaraikan jenis-jenis cukai di Malaysia
  • Menerangkan asas skop pencukaian
  • Menerangkan sistem taksiran yang dilaksanakan di Malaysia




         Input



  1. Pengenalan

Pencukaian boleh didefinisikan sebagai satu bayaran yang wajib tetapi bukannya denda yang dikenakan oleh kerajaan ke atas penggunaan pendapatan, kekayaan atau asas-asas lain untuk faedah rakyat bersama.  Hasil kutipan cukai biasanya digunakan oleh kerajaan untuk mengurus, mentadbir dan membangunkan negara


  1. Sejarah Pencukaian Di Malaysia

Cukai pendapatan yang pertama diperkenalkan di Persekutuan Tanah Melayu pada 1947 di bawah Ordinan Cukai Pendapatan 1947.  Ordinan Cukai Pendapatan yang pertama diperkenalkan di Sabah pada 1957 dan di Sarawak pula pada 1961.  Secara tidak langsung, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak mepunyai Ordinan Cukai Pendapatan tersendiri.  Bagi tujuan penyelarasan, pada tahun 1967, Parlimen memperkenalkan Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 yang berkuatkuasa di seluruh Malaysia mulai 1 Januari 1968.

Cukai pendapatan di Malaysia bersifat kewilayahan.  Ini bermakna cukai dikenakan ke atas pendapatan yang bersumber dari Malaysia.  Pendapatan yang bersumber dari luar Malaysia akan dikenakan cukai sekiranya dibawa masuk ke Malaysia dan diperolehi oleh mereka yang bermastautin di Malaysia sahaja.  Mereka yang tidak bermastautin tidak dikenakan cukai terhadap pendapatan yang dibawa masuk ke Malaysia




  1. Ideologi Pencukaian Sejagat

Ideologi cukai ialah kaedah pemikiran yang digunakan dalam merangka sistem pencukaian.  Di antara beberapa sifat dan peranan idealogi cukai adalah:

  1. Ia cuba merasionalisasikan kaedah pencukaian yang diamalkan dalam satu sistem pencukaian.
  2. Ia cuba menjustifikasikan nilai-nilai yang diambil dan digunakan di dalam pencukaian
  3. Nilai-nilai di atas disebut sebagai prinsip yang ditekankan dalam sistem pencukaian

Asas ideologi pencukaian sejagat boleh dikenalpasti kepada tiga asas iaitu:

  1. Ideologi keupayaan

Ideologi keupayaan atau kebolehan membayar menerangkan bahawa cukai perlulah dikenakan berasaskan kebolehan pembayar cukai untuk membayar cukai.  Kebolehan membayar diukur daripada pendapatan yang diperolehi dan kekayaan yang dimiliki oleh pembayar cukai.  Andaian ini adalah apabila pendapatan dan kekayaan semakin tinggi atau banyak, semakin banyaklah jumlah yang boleh disumbangkan dalam bentuk cukai.  

  1. Ideologi sekatan dan penghalang

Ideologi ini memandang cukai sebagai satu sekatan dan halangan kepada perkembangan dan kestabilan.  Di sini, cukai dianggap amat berbahaya dan akan mengurangkan minat untuk bekerja.  Ia juga mengurangkan minat untuk melabur hingga menyebabkan penyekatan perkembangan sumber modal di dalam ekonomi.

Ideologi ini menekankan supaya sekatan dan halangan perlulah dihapuskan daripada dalam sistem pencukaian supaya ia tidak memberi kesan negatif terhadap sistem ekonomi.  

  1. Ideologi keadilan

Asas ideologi keadilan ini ialah ‘keadilan di antara yang sama’.  Ia menekankan bahawa orang yang mempunyai kedudukan yang sama daripada segi pendapatan dan kekayaan  perlulah dikenakan cukai pada kadar yang sama.  Begitu juga orang yang berkedudukan berbeza daripada segi pendapatannya akan dikenakan kadar cukai yang berbeza.  Daripada kenyataan di atas, ada dua peringkat keadilan yang perlu ditegakkan iaitu keadilan melintang dan keadilan menegak.
Keadilan melintang ialah keadilan di antara pembayar cukai yang mempunyai kedudukan yang sama.  Di sini penekanan adalah untuk memastikan supaya pembayar cukai yang mempunyai kedudukan yang sama dari segi pendapatan dan kekayaan dikenakan cukai pada kadar yang sama.

Keadilan menegak ialah satu usaha membezakan di antara pembayar cukai yang mempunyai kedudukan yang berbeza.  Ia merupakan dasar diskriminasikan pembayar cukai mengikut kedudukan pendapatan dan kekayaannya.  Di sini, pembayar cukai akan dikenakan kadar cukai yang berbeza berasaskan kedudukan pendapatan dan kekayaannya.


  1. Objektif Pencukaian

Apabila sesuatu diperkenalkan, ia perlulah mempunyai objektifnya yang khusus.  Objektif ini termasuklah objektif umum dan khusus.  Objektif umum pula berkait dengan dasar umum sesuatu pencukaian seperti keadilan dan sifatnya.  Objektif khusus berkait terus dengan satu-satu cukai yang tertentu seperti untuk menghasilkan pendapatan atau mewujudkan galakan terhadap kegiatan tertentu.

Di antara objektif-objektif khusus pencukaian adalah:

  1. Cukai sebagai sumber pendapatan kerajaan

Cukai merupakan sumber pendapatan utama kebanyakan kerajaan negara-negara di dunia sama ada negara maju atau membangun.  Umpamanya di Malaysia bagi tahun 2000, cukai telah menyumbangkan kira-kira 90% daripada jumlah pendapatan negara.  Sumber pendapatan daripada cukai ini digunakan untuk mentadbirkan negara dan untuk diagihkan semula ke dalam ekonomi melalui projek-projek pembangunaan atau bantuan terus kepada penduduk tempatan.

Bagaimanapun, objektif ini berpendapat pendapatan tidak boleh dijadikan sebagai objektif yang tunggal kerana ia boleh menyebabkan wujudnya kezaliman ke atas penduduk jika pencukaian disalahgunakan oleh kerajaan.

  1. Cukai sebagai penggalak pertumbuhan ekonomi

Bagi kebanyakan negara membangun, sistem pencukaian adalah dianggap sebagai satu saluran dan kaedah begai menggalakkan perkembangan ekonomi.  Kerajaan dan kebanyakan ahlinya berpandangan bahawa pembangunan ekonomi boleh berkembang pesat dengan adanya galakan daripada sistem pencukaian dan juga dengan adanya sistem pencukaian yang dapat meminimumkan sekatan dan perkembangan ekonomi.  

  1. Cukai sebagai alat pengagihan semula pendapatan dan kekayaan

Jika berasaskan kepada prinsip ‘Robin Hood’, cukai ialah satu proses mengagihkan semula kekayaan daripada orang yang kaya kepada orang yang miskin.  Cukai merupakan sumbangan daripada orang yang mampu dan mempunyai lebihan pendapatan kepada kerajaan untuk diagihkan semula kepada orang miskin dan yang memerlukan.  Ini juga selaras dengan prinsip dalam Islam yang mementingkan kesejahteraan masyarakat.  Kesejahteraan jiran dan masyarakat hanya boleh diwujudkan jika kita dapat memastikan yang setiap orang dalam ekonomi mencapai satu taraf hidup yang sempurna.  Ini hanya dapat dilakukan dengan mengutip cukai daripada pembayar cukai yang mempunyai kemampuan yang tinggi dan mengagihkannya semula kepada orang yang sangat rendah taraf hidupnya bagi mengecilkan jurang perbezaan taraf hidup di antara kedua golongan ini di dalam satu sistem ekonomi.

Objektif pengagihan semula pendapatan dan kekayaan merupakan salah satu objektif dan strategi serampang dua mata ( di samping perkembangan ekonomi) dalam rancangan ekonomi negara.  Walaupun dalam sistem pencukaian di Malaysia, objektif ini tidak dinyatakan dengan jelas, ia masih dianggap sebagai satu objektif yang penting, memandangkan kepada sistem pencukaian berjadual mengikut tingkat pendapatan individu.

Ketiga-tiga objektif di atas boleh dikatakan sebagai objektif utama dan penting dalam sistem pencukaian bagi negara Malaysia.


  1. Jenis-jenis  cukai pendapatan

Dalam sistem pencukaian di Malaysia terdapat dua (2) jenis cukai iaitu, cukai langsung yang dipungut oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan cukai tidak langsung yang dipungut oleh Jabatan Kastam  Di Raja.

Cukai langsung terdiri daripada cukai pendapatan, cukai pendapatan petroleum, duti setem dan cukai keuntungan hartanah.  Manakala cukai tidak langsung terdiri daripada cukai jualan, cukai perkhidmatan, cukai import dan juga cukai eksport.

Nota: Hanya cukai pendapatan yang akan dibincangkan dalam modul ini.



  1. Prinsip-prinsip am pencukaian

Semua pendapatan yang diperolehi di Malaysia, pada amnya dikenakan cukai dan tertakluk kepada Akta Cukai Pendapatan 1967.  Akta ini menggariskan panduan am taksiran cukai yang biasanya bergantung kepada prinsip-prinsip berikut:

  1. Taraf pemastautinan
Implikasi cukai adalah berlainan di antara pemastautin dan bukan pemastautin.

  1. Entiti
Kesan cukai adalah berlainan antara pelbagai entiti khususnya antara individu dan syarikat.

  1. Bentuk perolehan
Perolehan hasil adalah tertakluk kepada cukai manakala perolehan modal terkecuali daripada dikenakan cukai.

  1. Penerimaan hasil
Cukai dikenakan apabila hasil telah diterima atau apabila hasil dianggap telah diterima.

  1. Tempoh berkait
Taksiran cukai pendapatan bergantung kepada keberkaitan sesuatu pendapatan yang diterima dengan tempoh yang berkaitan.

  1. Potongan
Belanja yang berlaku bagi memperolehi pendapatan atau hasil layak dijadikan potongan daripada pendapatan berkenaan, kecuali kes-kes tertentu.

  1. Perjanjian Pelepasan Cukai Duaganda
Ini melibatkan pendapatan yang di perolehi dari luar Malaysia dan dibawa masuk ke Malaysia setelah dikenakan  cukai di negara di mana ia diperolehi. Kesan cukai mungkin berbeza terhadap pendapatan berkenaan, kerana Malaysia mempunyai perjanjian yang berlainan antara beberapa negara lain.


  1. Asas Skop Pencukaian

Asas skop cukai pendapatan ialah batasan definisi pendapatan yang boleh dicukai di sesebuah negara.  Ia biasanya berkait dengan siapa pembayar cukai dan juga di mana pendapatan itu diperolehi.  Amnya, terdapat tiga asas skop pencukaian yang boleh digunakan:

  1. Skop Seluruh dunia

Skop seluruh dunia menekankan jenis atau kualiti pembayar cukai dan asasnya ialah warganegara.  Jika seseorang itu menjadi warganegara di sesebuah negara, semua pendapatannya tidak kira di mana ia diperolehi akan ditaksirkan sebagai pendapatan bagi negara tersebut.  Prinsipnya ialah seseorang warganegara itu memerlukan tapak asas dan perlindungan daripada negara yang dia menjadi warganegara.  

Sebagai balasan ke atas perkhidmatan dan perlindungan kewarganegaraan ini, pembayar cukai perlulah menyumbangkan sebahagian daripada pendapatannya, tidak kira di mana ia diperolehi, dalam bentuk cukai.  Kesannya, semua pendapatannya daripada seluruh dunia akan ditaksir di negara yang dia menjadi warganegara.  Skop pencukaian ini adalah amat luas dan meliputi semua sumber pendapatan daripada seluruh dunia yang diperolehi oleh seorang warganegara.

  1. Skop Perolehan

Skop ini menekankan di mana pendapatan diperolehi.  Cukai hanya akan dikenakan ke atas pendapatan yang diperolehi di sesebuah negara tidak kira siapa yang memperolehinya.  Asas ini menghadkan hanya pendapatan yang diperolehi dalam negara ini akan dicukai di negara ini juga.  Dalam zaman teknologi yang tinggi ini, adalah amat susah untuk menentukan di mana sesuatu pendapatan itu diperolehi.  Ini akan menyukarkan proses taksiran dan pungutan cukai.  Banyak pembayar cukai yang menjalankan kegiatan perniagaan di sebuah negara tetapi menerima pembayaran di negara yang lain, amat susah untuk menentukan di mana sebenarnya pendapatan itu diperolehi.

Dalam kebanyakan kes, pendapatan sedemikian tidak akan ditaksirkan kerana kekurangan maklumat.  Kemudian apabila wang dibawa masuk ke dalam negara itu, ia tidak pula boleh dicukai kerana ia bukan diperolehi di negara tersebut semasa wang dibawa masuk.  Skop in adalah lebih sempit daripada skop seluruh dunia.

  1. Skop Perolehan dan Penghantaran (remit)

Skop ini meliputi semua pendapatan yang diperolehi dalam sesebuah negara oleh sesiapa sahaja dan pendapatan yang dibawa masuk oleh orang yang tinggal di dalam negara ini juga boleh diandaikan sebagai telah diperolehi di negara ini dan boleh dicukaikan.

Masalahnya ialah siapakah orang yang patut dicukai ke atas pendapatannya yang dibawa masuk?  Ada dua kriteria penentuan yang boleh digunakan.  Pertama ialah kewarganegaraan.  Jika diandaikan bahawa tiap-tiap warganegera duduk dan tinggal dalam negara tersebut, dia perlulah dicukaikan ke atas pendapatannya yang dibawa masuk.  Bagaimanapun, seorang warganegara tidak semestinya tinggal di negara tersebut.  Oleh itu, asas bermastautin dianggap lebih sesuai kerana tidak kira sama ada seseorang itu warganegara atau tidak, asalkan ia bermastautin di negara itu ia boleh diandaikan menjalankan urusan dengan negara tersebut dan memperolehi pendapatan daripada negara tersebut.  

Asas mengenakan cukai ke atas pendapatan yang dibawa masuk adalah kerana pendapatan itu akan dibelanjakan dalam negara tersebut dan ini menunjukkan kaitan rapat di antara pemilik pendapatan dengan negara yang dia tinggal.

Apabila sistem pencukaian di perkenalkan di Malaya di bawah Ordinan Cukai Pendapatan 1947, kerajaan telah menggunakan asas perolehan.  Walau bagaimanapun, setelah menyedari skop ini tidak begitu praktikal, pada tahun 1968, pindaan dibuat dan mengubah skop ini kepada skop perolehan dan penghantaran yang lebih bersifat kewilayahan.  Skop ini boleh dikatakan lebih praktikal kerana skop ini lebih sempit dari skop seluruh dunia tetapi lebih luas dari skop perolehan.  


  1. Sistem Taksiran Cukai

Taksiran ialah proses mengumpul maklumat pendapatan dan data-data berkait dengan aspek pencukaian bagi tiap-tiap pembayar cukai, membuat pengiraan cukai kena bayar dan mengumumkan jumlah kena bayar kepada pembayar cukai.

Sistem taksiran yang diamalkan di Malaysia sekarang ialah Sistem Taksiran Diri (STD) ataupun taksiran tahun semasa menggantikan (STR) yang diamalkan sebelum ini. Taksiran tahun semasa dimaksudkan pendapatan yang diperolehi dalam suatu tahun semasa ditaksirkan cukai dalam tahun yang sama.  Dalam Belanjawan 1999, pindaan telah dicadangkan bahawa cukai pendapatan berasaskan tahun semasa akan dilaksanakan dalam tahun 2000.  Ini bermakna pendapatan yang diperolehi dalam tahun 2000 akan dikenakan cukai dalam tahun itu juga.

Dalam STD, ada dua fungsi yang penting iaitu fungsi utama dan fungsi bukan utama.  Dalam fungsi bukan utama, terdapat aspek-aspek pengiraan cukai pendapatan yang perlu dibuat oleh pembayar cukai itu sendiri.  


Perkara-perkara ini meliputi pengiraan cukai pendapatan termasuk:

  • pengiraan jumlah pendapatan
  • pengetahuan tentang pendapatan-pendapatan yang dikecualikan cukai
  • pengiraan pendapatan boleh dikenakan cukai dan
  • pengiraan jumlah cukai pendapatan yang perlu dibayar

Dalam STD, jumlah cukai yang perlu dibayar dikira oleh pembayar cukai sendiri.  Ia menjadi tanggungjawab penuh pembayar cukai. Sebaliknya, bagi fungsi utama STD iaitu pengesahan, penyemakan dan pengauditan ke atas jumlah cukai yang dibayar oleh pembayar cukai adalah tanggungjawab LHDN.  Secara tidak langsung, pegawai-pegawai penaksiran dalam Sistem Taksiran Rasmi akan diberikan tugas-tugas lain, seperti pengauditan dan penyiasatan.  Dalam STD, tumpuan diberikan kepada aspek pencegahan.  Memandangkan LHDN akan dapat mengurangkan kerja-kerja penaksiran dalam pelaksanaan tetapi mempunyai masa untuk pengauditan dan penyiasatan maka, sistem baru ini secara tidak langsung boleh menjimatkan kos pentadbiran tetapi meningkatkan hasil cukai dan  ini adalah intipati STD.

Selain Malaysia, negara-negara yang telah menerimapakai STD ialah negara-nagara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, New Zealand dan Jepun.
Sebelum STD diperkenalkan, sistem taksiran yang diamalkan ialah Sistem Taksiran Rasmi(STR).  STR bermaksud cukai yang dikenakan pada sesuatu tahun adalah berasaskan kepada pendapatan yang diperolehi dalam tahun sebelumnya.  Ini bermakna pendapatan yang diperolehi dalam tahun 1998 akan dikenakan cukai pendapatan dalam tahun 1999.  Di sini, tahun 1998 dikenali sebagai tahun asas manakala tahun 1999 dikenali sebagai tahun taksiran.  Tahun asas adalah tahun di mana pendapatan seseorang diperolehi manakala tahun taksiran adalah tahun di mana cukai akan ditaksir dan dibayar.

Dalam STR, pembayar cukai hanya perlu mengisi borang nyata pendapatan dengan memberi semua butir pendapatan bagi tahun taksiran dan LHDN akan membuat taksiran ke atas jumlah pendapatan yang dilaporkan.  LHDN akan memaklumkan kepada pembayar cukai mengenai jumlah cukai pendapatan yang perlu dibayar bagi tahun taksiran itu.

Ini bermakna dalam STR pembayar cukai tidak dikehendaki membuat taksiran sendiri terhadap pendapatan masing-masing, tetapi perlu mengisytiharkan jumlah pendapatan dalam borang nyata pendapatannya.  STR tidak diamalkan di negara-negara maju dengan alasan ia suatu sistem yang tidak berkesan dan produktif.  

Dengan pelaksanaan sistem “taksiran tahun semasa” atau STD dalam tahun 2000, pembayar cukai akan membayar cukai dalam tahun 2000 atas pendapatan tahun 2000 juga.  Bagaimanapun, oleh kerana taksiran dalam tahun 1999 akan dikenakan cukai dalam tahun 2000 dan bayaran perlu dibuat dalam tahun itu juga (tahun 2000).  Ini bermakna pembayar cukai perlu membayar cukai pendapatan untuk dua tahun dalam tahun 2000.

Untuk meringankan beban pembayar cukai daripada membayar cukai pendapatan dua tahun dalam satu tahun, Kerajaan akan melepaskan pendapatan yang diperolehi dalam tempoh asas 1999 daripada cukai pendapatan.  Ini bermakna pembayar cukai tidak dikenakan cukai atas pendapatan bagi tempoh asas 1999 dalam tahun 2000 dan cukai yang perlu dibayar dalam tahun 2000 adalah atas pendapatan bagi tempoh asas 2000 sahaja.  Walaupun, pendapatan tahun asas 1999 dilepaskan dari cukai pendapatan, pembayar cukai dikehendaki melaporkan pendapatan tahun tersebut dalam Borang Nyata Pendapatan bagi tahun taksiran 2000.

STD memang merupakan satu sistem yang mempunyai banyak kelebihan berbanding STR.  Bagaimanapun, untuk memastikan STD berjaya, pungutan cukai haruslah dibuat dengan baik.  LHDN perlu mengemaskinikan sistem pulangan (‘refund’) berikutan dengan potongan berlebihan ke atas pendapatan pembayar cukai dalam masa yang lebih singkat, iaitu antara dua minggu hingga tiga minggu selepas borang nyata diserahkan.























Aktiviti




Ujikan kefahaman anda sebelum meneruskan input selanjutnya…
Silakan semak jawapan anda pada maklumbalas di bawah.

Nyatakan benar atau salah bagi pernyataan di bawah:

  1. Pencukaian ialah satu bayaran wajib yang dikenakan oleh kerajaan kepada seseorang individu kerana menggunakan serta memperolehi kekayaan dan kemudahan negara

  1. Bagi pendapatan  pemastautin yang bersumber dari luar Malaysia tidak akan dikenakan cukai sekiranya ia dibawa masuk ke Malaysia.

  1. Bentuk cukai yang diamalkan di Malaysia terdiri daripada cukai langsung dan cukai tidak langsung

  1. Cukai langsung terdiri daripada cukai kastam, cukai eksais, cukai jualan dan cukai perkhidmatan

  1. Cukai tidak langsung dipungut oleh di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri

  1. Jika tahun asas ialah 1997, tahun taksirannya adalah 1996

  1. Tahun asas adalah tahun di mana pendapatan seseorang diperolehi

  1. Tahun taksiran adalah tahun di mana cukai akan ditaksir dan dibayar

  1. Dalam Sistem Taksiran Rasmi (STR), pendapatan yang diperolehi dalam suatu tahun semasa akan ditaksirkan cukai dalam tahun yang sama

  1. Sistem Taksiran Diri (STD) bermaksud cukai yang dikenakan pada sesuatu tahun adalah berasaskan kepada pendapatan yang diperolehi dalam tahun sebelumnya

  1. Asas pencukaian yang diterimapakai di Malaysia ialah skop perolehan dan penghantaran


Maklumbalas

kepada aktiviti




Maklumbalas 1.1

  1. Benar

  1. Salah

  1. Benar

  1. Salah

  1. Salah

  1. Salah

  1. Benar

  1. Benar

  1. Salah

  1. Salah

  1. Benar










Penilaian kendiri



Tahniah! Anda telahpun menjawab aktiviti dengan jayanya.  Sebelum meneruskannya ke unit selanjutnya… ujikan kefahaman anda semula dan semak jawapan anda untuk kepastian



Soalan 1

Apakah yang anda faham dengan istilah ‘pencukaian’?


SOALAN 2

Siapakah yang bertanggungjawab memungut cukai langsung dan cukai tidak langsung


SOALAN 3

Secara ringkas, huraikan objektif pencukaian.


SOALAN 4

Jelaskan asas dan skop pencukaian yang diterimapakai di Malaysia


SOALAN 5

Terangkan dua perbezaan yang jelas dalam sistem taksiran rasmi (STR) dan sistem taksiran diri (STD)










Maklumbalas kepada

penilaian kendiri




JAWAPAN 1

Pencukaian adalah satu bayaran yang wajib tetapi bukannya denda yang dikenakan oleh kerajaan ke atas penggunaan pendapatan, kekayaan atau asas-asas lain untuk faedah rakyat bersama.


JAWAPAN 2

Tanggungjawab untuk memungut dan mengutip cukai langsung adalah tanggungjawab Lembaga Hasil Dalam Negeri manakala cukai tidak langsung pula adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Kastam  Diraja.


JAWAPAN 3

Objektif pencukaian boleh dibahagikan kepada tiga iaitu:

  1. Cukai sebagai sumber pendapatan kerajaan
Cukai merupakan sumber pendapatan utama kebanyakan kerajaan negara-negara di dunia sama ada negara maju atau membangun.  


  1. Cukai sebagai penggalak pertumbuhan ekonomi

Bagi kebanyakan negara membangun, sistem pencukaian adalah dianggap sebagai satu saluran dan kaedah bagi menggalakkan perkembangan ekonomi.  


  1. Cukai sebagai alat pengagihan semula pendapatan dan kekayaan

Cukai merupakan sumbangan daripada orang yang mampu dan mempunyai lebihan pendapatan kepada kerajaan untuk diagihkan semula kepada orang miskin dan yang memerlukan.  


JAWAPAN 4

Asas dan skop pencukaian yang diterimapakai di Malaysia adalah skop perolehan dan penghantaran (remit).  Skop ini meliputi semua pendapatan yang diperolehi dalam sesebuah negara oleh sesiapa sahaja dan pendapatan yang dibawa masuk oleh orang yang tinggal di dalam negara ini juga boleh diandaikan sebagai telah diperolehi di negara ini dan boleh dicukaikan


JAWAPAN 5

Di antara perbezaan STR dan STD adalah:

  1. Sistem Taksiran Rasmi (STR) ataupun taksiran berasaskan tahun sebelumnya   bermaksud cukai yang dikenakan pada sesuatu tahun adalah berasaskan kepada pendapatan yang diperolehi dalam tahun sebelumnya. Tetapi Sistem Taksiran Diri (STD) ataupun taksiran tahun semasa bermaksud pendapatan yang diperolehi dalam suatu tahun semasa ditaksirkan cukai dalam tahun yang sama.  

  1. Dalam STR pembayar cukai hanya perlu mengisi borang nyata pendapatan dengan memberi semua butir pendapatan bagi tahun taksiran dan LHDN akan membuat taksiran ke atas jumlah pendapatan yang dilaporkan. Manakala dalam STD, jumlah cukai yang perlu dibayar dikira oleh pembayar cukai sendiri.  Ia menjadi tanggungjawab penuh pembayar cukai.