UNIT 1
ORIENTASI, SKOP DAN CABARAN
PEMASARAN ANTARABANGSA
OBJEKTIF AM
Mengetahui dan memahami orientasi, skop dan cabaran pemasaran antarabangsa .
OBJEKTIF KHUSUS
Di akhir unit ini anda sepatutnya dapat :
Mendefinisi pemasaran antarabangsaMenjelaskan dan membezakan unsur-unsur pemasaran boleh kawal dan tidak boleh kawal
Menghuraikan tahap-tahap perkembangan pasaran dunia dan faKtor-faktor yang mempengaruhi perkembangan tersebut
Menerangkan konsep perluasan pasaran domestik, konsep pasaran multidomestik dan konsep pemasaran global
Membincangkan perubahan di dalam orientasi pemasaran antarabangsa
INPUT
- PENGENALAN
Pemasaran antarabangsa secara relatifnya merupakan satu fenomena yang penting pada abad ke 21. Ia merupakan hasil daripada gabungan aktiviti-aktiviti pemasaran domestik dan luar negara yang diintegrasikan untuk memberi sumbangan yang optima kepada pencapaian objektif korporat.
Perlunya pemasar meluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa adalah kerana arus perniagaan antarabangsa telah mengalami perubahan yang hebat kesan daripada penglobalisasian. Persaingan yang sengit dan perubahan persekitaran yang ketara telah menyebabkan banyak syarikat mengejar peluang di negara asing berasaskan “perancangan pemasaran strategik” untuk mereka bertapak disamping menambahkan saham pasaran dan meningkatkan keuntungan. Antara faktor-faktor yang menyebabkan atau mewujudkan pemasaran antarabangsa selain dari faktor asasnya untuk mendapatkan keuntungan , mengembangkan jualan dan mencari peluang pasaran baru atau menjadi pengasas dalam keluaran baru ialah :
- Perubahan ekonomi dunia iaitu perubahan corak pembahagian pasaran daripada pasaran yang diasingkan mengikut sempadan, halangan perdagangan dan perbezaan kebudayaan kepada pasaran dunia tanpa sempadan
- Adanya teknologi maklumat, hubungan pengangkutan yang maju dan kesan perbincangan Perjanjian Am Perdagangan dan tarif ( GATT ) dan Kesatuan Eropah telah membawa kepada pasaran dunia yang seakan-akan tanpa sempadan
- Wujudnya citarasa pengguna yang semakin sama walaupun berada di berlainan negara.
- DEFINISI PEMASARAN ANTARABANGSA
Pemasaran antarabangsa ialah pelaksanaan aktiviti-aktiviti perniagaan yang mengarahkan aliran produk dan perkhidmatan sesebuah syarikat kepada pengguna di lebih dari sebuah negara bagi mendapatkan keuntungan. Ini bermakna, pemasar memasarkan produk atau perkhidmatan mereka melepasi sempadan sesebuah negara.
Apakah perbezaan di antara pemasaran domestik dan pemasaran antarabangsa?
Jawapannya tidak terletak pada konsep pemasaran yang berlainan tetapi pada persekitaran yang di dalamnya rancangan pemasaran mesti dilaksanakan. Keunikan pemasaran luar negeri datangnya daripada masalah-masalah yang tidak biasa dihadapi oleh pemasar di dalam negeri dan berbagai-bagai strategi yang perlu dilakukan untuk mengatasi masalah-masalah tersebut.
Selain daripada strategi-strategi pemasaran yang boleh dikawal seperti produk, harga, promosi dan agihan, pemasar antarabangsa juga perlu menghadapi cabaran-cabaran lain yang tidak boleh dikawal seperti keadaan ekonomi, politik dan perundangan, tingkat teknologi, sosio budaya, persaingan, struktur agihan serta geografi dan infrastruktur sesuatu kawasan.
Unsur-unsur boleh kawal dan tidak boleh kawal ini akan dibincangkan di dalam input yang berikutnya.
Ujikan kefahaman anda sebelum meneruskan input selanjutnya…!!!.
Sila semak jawapan anda pada ruangan maklum balas yang disediakan.
AKTIVITI 1A
- Namakan tiga ( 3 ) jenama produk yang diimport yang pernah anda gunakan.
- Berikan definisi pemasaran antarabangsa.
- Pada pendapat anda, apakah faktor-faktor yang menyebabkan seseorang pemasar mula menceburkan diri di dalam pemasaran antarabangsa ?
INPUT
1.2 UNSUR-UNSUR PEMASARAN BOLEH KAWAL DAN TIDAK BOLEH KAWAL
Aktiviti pemasaran sentiasa berhadapan dengan berbagai pembolehubah persekitaran yang mempengaruhi dan menentukan keputusan-keputusan perniagaan. Unsur-unsur ini terdiri daripada kuasa-kuasa yang sentiasa mencabar operasi dan perjalanan syarikat serta menuntut supaya pemasar membuat keputusan dan tindakan yang sewajarnya agar produk yang ditawarkan di pasaran dapat diterima umum.
Tugas pemasar antarabangsa lebih rumit daripada tugas pemasar domestik kerana pemasar antarabangsa mesti menguruskan sekurang-kurangnya dua atau lebih tingkat ketidakpastian yang tidak boleh dikawal.
Unsur-unsur pemasaran boleh kawal dan tidak boleh kawal boleh ditunjukkan seperti Rajah 1.1
Bulatan dalam menunjukkan unsur boleh kawal yang membentuk kawasan keputusan seorang pemasar, bulatan kedua meliputi semua unsur persekitaran dalam negeri yang mempunyai kesan ke atas keputusan operasi luar negeri, dan bulatan luar mewakili unsur persekitaran luar negara untuk setiap pasaran asing di mana pemasar beroperasi.
PERSEKITARAN TIDAK BOLEH KAWAL LUAR NEGARA
STRUKTUR
AGIHAN
POLITIK & PERUNFDANGAN
PERSEKITARAN TIDAK BOLEH KAWAL DOMESTIK
PERSEKITARAN
BOLEH
KAWAL
PROMOSI
PRODUK
PERSAINGAN
TEKNOLOGI
EKONOMI
HARGA
PERSAINGAN
AGIHAN
POLITIK &
PERUNDANGAN
EKONOMI
SOSIAL &
BUDAYA
GEOGRAFI &
INFRASTRUKTUR
Rajah 1.1
Unsur-unsur Pemasaran Boleh Kawal Dan Tidak Boleh Kawal
Dalam Pemasaran Antarabangsa
- Unsur-Unsur Pemasaran Boleh Kawal.
Ia merupakan unsur yang berada di bawah pengawasan syarikat dan ditentukan oleh pihak pengurusan syarikat. Ia terdiri daripada campuran pemasaran iaitu produk, agihan, harga dan promosi.
Unsur ini boleh diubah dalam jangka panjang dan, biasanya, dalam jangka pendek untuk diselaraskan dengan keadaan pasaran yang berubah-ubah atau dengan objektif syarikat.
- Produk
Pemasar perlu membuat penyesuaian dan pengembangan keluaran bagi pengguna supaya produk dapat diterima umum. Pemasar juga perlu mengkaji dari segi pembungkusan dan pelabelan supaya sesuai dengan jenis dan kegunaan produk itu. Produk yang dikeluarkan juga perlu dipastikan dari segi kualiti dan keselamatan untuk menarik minat pengguna. Pemasar perlu peka dengan perubahan-perubahan dalam citarasa pengguna luar negeri agar produk sentiasa diterima oleh pengguna.
- Agihan
Pemasar perlu mengawal agen-agen dan dokumentasi import dan eksport. Pemasar juga perlu memastikan keselamatan produk semasa pengagihan dengan insurans kargo.
- Harga
Pemasar perlu membuat pemilihan di dalam strategi perletakan harga. Pemasar juga perlu membuat penentuan struktur diskaun ke atas produk dengan melihat kepada kos dan keuntungan yang ingin diperolehi.
- Promosi
Pemasar seharusnya menentukan kaedah promosi yang bersesuaian dengan produk dari segi pengiklanan dan jualan. Begitu juga dengan kawalan ke atas wakil-wakil jualan serta membuat penyelidikan pemasaran.
- Unsur-Unsur Pemasaran Tidak Boleh Kawal Domestik
Unsur-unsur pemasaran tidak boleh kawal domestik yang ditunjukkan dalam Rajah 1.1 oleh bulatan kedua meliputi elemen-elemen di dalam negara yang boleh memberi kesan secara langsung ke atas kejayaan pemasar apabila menceburkan diri di dalam pemasaran antarabangsa. Unsur-unsur ini termasuklah :
- Politik dan perundangan
- Ekonomi
- Struktur persaingan
Keputusan politik negara asal syarikat yang melibatkan polisi yang berkaitan dengan negara-negara luar dapat memberi kesan yang besar ke atas kejayaan sesebuah syarikat yang menceburkan diri di dalam pemasaran antarabangsa. Sebagai contoh, kerajaan Amerika Syarikat telah mengharamkan keseluruhan perdagangan dengan Libya bagi mengutuk sokongan orang-orang Libya ke atas serangan pengganas, mengenakan sekatan ke atas jualan komputer ke Afrika Selatan bagi menunjukkan bantahan ke atas dasar Apartheid serta mengharamkan keseluruhan perdagangan dengan Iraq yang telah memberi ancaman ke atas keselamatan negara mereka. Keputusan politik ini menyebabkan program-program pemasaran antarabangsa syarikat-syarikat seperti IBM, Exxon dan Occidental Petroleum telah disekat oleh unsur-unsur tidak boleh kawal domestik ini.
Persekitaran ekonomi domestik juga memberi kesan ke atas kedudukan persaingan sesebuah syarikat di pasaran antarabangsa. Keupayaan untuk melabur sama ada di pasaran domestik atau di pasaran luar bergantung kepada kedudukan ekonomi domestik. Sekiranya kedudukan ekonomi domestik merosot, ia akan menyekat keupayaan sesebuah syarikat untuk melabur di pasaran luar kerana pelaburan akan dibuat di pasaran domestik bagi meningkatkan kedudukan ekonomi domestik.
Sebagai contoh, pada pertengahan tahun 1980an, nilai matawang Amerika Syarikat terlalu tinggi berbanding dengan nilai matawang beberapa negara lain. Ini menyebabkan barangan Amerika lebih mahal bagi pembeli luar negara berbanding dengan barangan domestik dan menyebabkan jualan untuk eksport adalah berkurangan. Pada tahun 1990an, nilai matawang Amerika telah merosot berbanding dengan matawang dunia dan ini menyebabkan jualan untuk eksport adalah meningkat.
1.2.3 Unsur-Unsur Pemasaran Tidak Boleh Kawal Luar Negara
Unsur-unsur pemasaran tidak boleh kawal luar negara seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 1.1 oleh bulatan luar adalah merangkumi :
- ekonomi
- persaingan
- teknologi
- agihan
- geografi dan infrastruktur
- sosial dan budaya
- politik dan perundangan
Perniagaan yang beroperasi dalam sebahagian besar negara asing mungkin mendapati perbezaan besar dalam kestabilan politik, struktur kelas, dan iklim ekonomi sebagai unsur genting dalam keputusan perniagaan. Pergolakan dinamik dalam sesetengah negara membangun menjelaskan dengan lebih lanjut masalah perubahan mengejut iklim kebudayaan, politik dan ekonomi dalam tempoh masa yang agak pendek memberi kesan ke atas operasi syarikat di negara berkenaan.
Masalah ketidakpastian luar negara dirumitkan lagi oleh “taraf asing” yang kerap dikenakan dan seterusnya menambah kesukaran untuk mentaksir dan meramal dengan betul iklim perniagaan antarabangsa yang dinamik.
Persekitaran politik menawarkan contoh yang paling baik tentang taraf asing ini. Pemasaran luar negeri mesti mempertimbangkan kerumitan politik di negara luar di mana persekitaran politik ini boleh menjadi tersangat kritis, dan anjakan dalam kerajaan kerap mengakibatkan perubahan mengejut yang boleh menyebabkan berlakunya pengambilalihan, pengusiran atau pembatasan besar ke atas operasi syarikat di luar negeri. Ini bermakna, syarikat asing akan sentiasa tertakluk kepada ragam politik kerajaan lebih daripada yang dirasai oleh firma tempatan.
Masalah lain yang biasa juga dihadapi oleh pemasar ialah ketidakupayaan untuk mengenalpasti elemen-elemen yang boleh memberi kesan ke atas satu-satu persekitaran seperti budaya dan bahasa masyarakat asing tersebut. Contoh, penunjuk jalan bahaya dan penunjuk arah mungkin tidak dibaca atau ditafsirkan dengan tepat oleh pemasar luar negeri yang boleh mengakibatkan kekeliruan . Begitu juga dengan cara panggilan seseorang adalah berbeza dari satu negara dengan negara yang lain.
Tahap perkembangan teknologi pula mungkin disalahertikan disebabkan perbezaan yang mungkin wujud di antara negara membangun dan negara tidak membangun.
Untuk menyesuaikan program pemasaran dengan pasaran luar negara, pemasar mestilah berupaya mentafsir dengan berkesan pengaruh dan kesan setiap unsur persekitaran tidak boleh kawal ke atas rancangan pemasaran untuk setiap pasaran asing yang ingin mereka ceburi.
Penyesuaian kebudayaan mungkin tugas yang paling mencabar dan penting yang perlu dihadapi oleh pemasar antarabangsa di mana mereka mesti menyesuaikan usaha pemasaran mereka dengan kebudayaan yang tidak biasa bagi mereka. Oleh itu, pemasar perlu benar-benar mengetahui tentang perbezaan kebudayaan untuk mengelakkan salah faham yang boleh membawa kepada kegagalan program pemasaran. Sebagai contoh, orang Barat mesti mengetahui bahawa putih adalah lambang perkabungan di beberapa bahagian Timur Tengah, berbeza daripada gaun perkahwinan putih dalam kebudayaan Barat.
Olehnitu, untuk mengelakkan sebarang kesilapan, pemasar luar negeri harus sedar akan prinsip “relativisme pemasaran” iaitu, bahawa strategi dan keputusan pemasaran adalah berdasarkan pengalaman, dan pengalaman ditafsirkan oleh setiap pemasar dari segi kebudayaannya yang tersendiri.
Ujikan kefahaman anda sebelum meneruskan input selanjutnya…!!!.
Sila semak jawapan anda pada ruangan maklum balas yang disediakan.
AKTIVITI 1B
Bagaimanakah kedudukan ekonomi domestik memberi kesan ke atas aktiviti syarikat pemasaran antarabangsa ?
INPUT
1.3 TAHAP-TAHAP PERKEMBANGAN PASARAN DUNIA DAN FAKTOR- FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PERKEMBANGAN
Apabila sesebuah syarikat mengambil keputusan untuk menceburkan diri di dalam pemasaran antarabangsa, mereka perlu membuat keputusan tentang bagaimana untuk memasuki pasaran tersebut dan menentukan darjah penglibatan dan komitmen mereka.
Dari sudut pandangan pemasaran, syarikat sebenarnya boleh melakukan sebarang keputusan pelaburan pasaran ke luar negara, iaitu, sama ada pembabitannya hanya terhad kepada menjual produk dengan kuantiti yang sedikit, atau tidak langsung membenarkan perkembangan pasaran ke luar negara, atau syarikat boleh membabitkan diri dengan sepenuhnya dan melaburkan wang dan usaha yang banyak bagi mengembangkan pasarannya ke luar negara.
Kebanyakan syarikat akan melalui tahap-tahap tertentu di dalam perkembangan pemasaran antarabangsa. Strategi-strategi dan taktik-taktik akan berubah mengikut perubahan di dalam tahap-tahap tersebut. Berikut adalah tahap-tahap perkembangan pasaran dunia dan faktor-faktor yang mempengaruhi perkembangan pemasaran antarabangsa.
1.3.1 Tiada Pemasaran Luar Negeri Secara Langsung
Pada tahap ini, tidak ada pengguna yang aktif di pasaran luar negara. Walau bagaimanapun, produk syarikat masih boleh sampai ke pasaran luar melalui jualan yang dibuat kepada syarikat-syarikat perniagaan dan lain-lain pengguna luar yang datang secara terus atau langsung kepada syarikat. Contohnya, pelancong yang datang ke Malaysia membawa pulang produk tempatan seperti kain batik dan barang kraftangan bagi tujuan dijual semula atau untuk simpanan peribadi.
Produk tersebut juga boleh sampai ke pasaran luar melalui pengedar atau pemborong domestik yang menjual produk di pasaran luar tanpa galakan atau pengetahuan pihak pengeluar. Pemasar tidak pernah memikirkan untuk memasarkan produknya ke luar negara, oleh itu, tidak ada aktiviti promosi yang aktif dilakukan di pasaran luar.
1.3.2 “Infrequent Foreign Marketing”
Pada tahap ini, jualan kepada pasaran asing adalah disebabkan oleh berlakunya lebihan semasa bagi produk yang dikeluarkan untuk pasaran tempatan. Lebihan ini mungkin disebabkan oleh pengeluaran yang meningkat pada musim-musim tertentu sedangkan permintaan tidak berubah. Apabila permintaan dalam negeri meningkat dan seterusnya menyerap lebihan yang berlaku, kegiatan jualan ke luar negara akan dihentikan. Contohnya, pengeluaran sayur-sayuran dan buah-buahan pada musim-musim tertentu.
Lebihan juga boleh berlaku disebabkan perubahan citarasa yang mendadak di kalangan pengguna menyebabkan pengeluaran pada tahap yang sama mengalami kejatuhan di dalam permintaan. Ini menyebabkan pemasar terpaksa mengeksport produk tersebut. Apabila lebihan tersebut habis, maka pemasar akan kembali menumpukan aktiviti pemasaran kepada pasaran tempatan.
1.3.3 “Regular Foreign Marketing”
Pada tahap ini, firma mempunyai pelanggan luar negeri yang tetap yang membuat pesanan dari masa ke semasa. Pemasar biasanya akan melantik orang tengah luar atau domestik bagi mengendalikan pasaran antarabangsa. Ataupun syarikat mempunyai tenaga jualan atau anak syarikat sendiri di pasaran luar yang penting. Fokus utama pengeluaran produk masih lagi untuk memenuhi keperluan pasaran domestik dan pemasaran luar negeri adalah menjadi sebahagian daripada strategi pengembangan pasaran syarikat.
Pelaburan di dalam pemasaran dan pengurusan serta pengilangan di luar negara biasanya bermula pada tahap ini. Pada peringkat awal, produk yang dipasarkan adalah sama di antara pasaran tempatan dan luar negara. Namun, terdapat produk yang diubahsuai dan mempunyai sifat-sifat tertentu atau istimewa bagi memenuhi keperluan individu di pasaran luar. Walaubagaimanapun, harga dan polisi keuntungan hampir sama dengan pasaran tempatan, dan pada tahap ini juga, syarikat mula bergantung kepada keuntungan pasaran luar negeri.
- Pemasaran Antarabangsa
Pada tahap ini, firma terlibat sepenuhnya di dalam aktiviti pemasaran antarabangsa. Syarikat mempunyai perancangan pengeluaran untuk pasaran di dalam berbagai negara dan mencari pasaran di seluruh dunia. Pada tahap ini, syarikat mula bergantung kepada hasil dari perniagaan di pasaran luar. Biasanya pada tahap inilah, syarikat francais mula membuka cawangannya di seluruh dunia. Contoh : Kentucky Fried Chicken
- Pemasaran Global
Pada tahap ini, syarikat mengandaikan pasaran luar dan pasaran domestik sebagai satu pasaran. Ia berbeza dengan syarikat antarabangsa atau multinasional yang melihat dunia sebagai satu siri pasaran negara dengan ciri-ciri pasaran yang unik di mana setiap negara mempunyai strategi pemasaran yang berbeza.
Syarikat global membentuk strategi yang mencerminkan keperluan pasaran di kebanyakan negara untuk memaksimakan pulangan melalui aktiviti perniagaan yang seragam di mana ia melibatkan kos yang efektif dan sesuai dikebanyakan negara. Produk adalah diseragamkan untuk pasaran semua negara. Namun harga, promosi dan agihan adalah berbeza, bergantung kepada keadaan dan persekitaran sesebuah negara. Pada tahap ini, syarikat menjadi firma antarabangsa yang bergantung sepenuhnya kepada hasil pemasaran luar negara.
Ujikan kefahaman anda sebelum meneruskan input selanjutnya…!!!.
Sila semak jawapan anda pada ruangan maklum balas yang disediakan
Nyatakan betul atau salah bagi kenyataan-kenyataan di bawah dengan membulatkan jawapan anda :
- “Regular foreign Marketing” berlaku disebabkan oleh lebihan semasa dalam pengeluaran produk . ( Betul / Salah )
- Lebihan produk ini mungkin berlaku disebabkan oleh pengeluaran yang meningkat pada musim-musim tertentu sedangkan permintaan tidak berubah.
( Betul / Salah )
- Apabila seseorang pemasar terlibat di dalam pemasaran antarabangsa, ini bermakna syarikat mula bergantung kepada hasil / pendapatan dari perniagaan di pasaran luar.
( Betul / Salah )
- Di dalam pemasaran global, produk yang dikeluarkan adalah berbeza untuk pasaran satu negara dengan negara yang lain.
( Betul / Salah )
AKTIVITI 1C
INPUT
INPUT
Terdapat tiga konsep yang mengawal aktiviti syarikat-syarikat yang terlibat di dalam pemasaran antarabangsa. Ia terdiri daripada :
- Konsep perluasan pasaran domestik
- Konsep pasaran multidomestik
- Konsep pemasaran global
Aktiviti pemasaran sesebuah syarikat antarabangsa adalah bergantung kepada orientasi atau konsep yang dipilih.
1.4.1 Konsep Perluasan Pasaran Domestik
Konsep ini diamalkan oleh syarikat yang ingin menambahkan jualan produk domestik ke pasaran luar negara. Pada hari ini konsep ini digunakan oleh pengeksport-pengeksport bersaiz kecil atau sederhana sebagai peringkat pertama untuk berdagang di luar negara. Syarikat yang beroperasi mengikut konsep ini menganggap pasaran asing sebagai pasaran kedua penting berbanding dengan pasaran tempatan yang boleh dipuaskan dengan keluaran yang sama. Pasaran asing dilihat sebagai tempat untuk memasarkan lebihan pengeluaran untuk melicinkan pengeluaran domestik, meningkatkan volum pengeluaran untuk mencapai ekonomi bidangan atau untuk meningkatkan margin keuntungan.
Perniagaan domestik merupakan tumpuan utama manakala jualan dari luar negara adalah sebagai satu lanjutan kepada operasi domestik yang dapat memberi keuntungan kepadanya. Walaupun ia meluaskan pasarannya ke luar negara, namun tumpuan syarikat masih berasaskan domestik.
Usaha yang minima dilakukan untuk mengadaptasikan campuran pemasarannya di pasaran luar negara. Syarikat memasarkan produknya dengan cara yang sama kepada pasaran luar negara seperti mana pasaran domestik. Ia akan mencari pasaran di mana pemasarannya adalah serupa dengan pasaran tempatan di mana produk akan dapat diterima oleh masyarakat. Syarikat yang mengamalkan konsep ini cuba mengeksploitasikan peluang pasaran asing dengan menggunakan keluaran dan polisi campuran pemasaran yang sama dengan pasaran domestik. Firma hanya akan melakukan perubahan-perubahan yang penting sahaja bagi memenuhi kehendak yang berbeza mengikut negara.
- Konsep Pemasaran Multidomestik
Orientasi sesebuah syarikat itu beralih kepada strategi pasaran multidomestik setelah ia tahu akan kepentingan perbezaan pasaran luar negara kepadanya. Syarikat yang mengamalkan konsep ini yakin bahawa pasaran luar negara yang ingin ditembusinya adalah berbeza dari pasaran tempatan. Sesebuah syarikat yang mengamalkan konsep ini memasarkan produknya dengan menggunakan strategi yang berbeza bagi setiap negara.
Produk disesuaikan bagi setiap pasaran tanpa perlu menyelaraskan aktiviti-aktiviti pemasaran bagi sesebuah pasaran dengan pasaran yang lain. Begitu juga dengan aktiviti pemasaran yang lain seperti kempen iklan, harga dan keputusan agihan perlu diubahsuaikan mengikut pasaran sasaran.
1.4.3 Konsep Pemasaran Global
Konsep pemasaran global ialah di mana pasaran bagi sesebuah syarikat itu meliputi seluruh dunia. Syarikat seperti ini yang dikenal sebagai syarikat global akan berusaha ke arah meningkakan skil kecekapannya dengan menghasilkan produk yang seragam, berkualiti baik dan dijual pada harga yang berpatutan. Ia juga menjalankan perniagaannya berasaskan kepada andaian bahawa pasaran dunia menuju kearah “persamaan”. Oleh itu, mereka memenuhi kehendak dan keperluan mereka dengan cara yang sama. Pasaran dunia meliputi segmen-segmen pasaran yang mempunyai permintaan yang serupa bagi produk yang sama di seluruh dunia.
Dengan ini, sesebuah syarikat akan cuba mengeluarkan produk yang seragam bagi kesemua pasarannya. Sesetengah keputusan yang dibuat dianggapkan sesuai digunakan di seluruh dunia. Manakala ada keputusan yang mengambilkira pengaruh tempatan (seperti budaya). Dunia dianggapkan sebagai satu pasaran dan syarikat menggunakan strategi pemasaran global.
Konsep pemasaran global melihat pasaran sebagai satu kumpulan negara sebagai satu unit. Ia mengenalpasti kumpulan-kumpulan bakal pembeli yang mempunyai keperluan yang serupa. Sebagai segmen pasaran global, ia membentuk perancangan pemasaran yang serupa di mana-mana sahaja selagi ia tidak bercanggah dengan mana-mana budaya. Pemasaran global juga bererti sesebuah syarikat itu mempunyai perancangan yang seragam tetapi aktiviti pemasarannya boleh diubahsuaikan dengan budaya atau lain-lain aspek supaya ia sentiasa mengikut kehendak pasaran sasaran.
1.5 PERUBAHAN DALAM ORIENTASI PEMASARAN ANTARABANGSA
Perubahan yang signifikan di dalam orientasi antarabangsa wujud apabila syarikat mula bergantung kepada pasaran luar negara untuk menyerap lebihan pengeluaran dan mula bergantung kepada keuntungan dari perdagangan antarabangsa. Perniagaan biasanya bergerak dari satu tahap ke tahap yang lain dalam pemasaran antarabangsa dan jarang berlaku, sesebuah syarikat itu akan melangkaui tahap-tahap yang telah dibincangkan sebelum ini.
Apabila sesebuah syarikat berpindah dari satu tahap ke tahap yang lain, aktiviti pemasaran akan menjadi lebih kompleks dan canggih. Begitu juga dengan darjah penglibatan di peringkat antarabangsa di mana komitmen pihak pengurusan akan berubah. Komitmen ini akan memberi kesan ke atas strategi pemasaran yang tertentu dan keputusan-keputusan syarikat.
Dalam tahap awal pemasaran luar negara, didapati firma biasanya bergantung hampir sepenuhnya kepada firma eksport yang berpengalaman untuk menguruskan tugas pemasarannya. Apabila firma memperolehi lebih banyak pengalaman dan penglibatannya menjadi lebih luas, ia mungkin mengupah kakitangannya sendiri untuk menjual kepada pelanggan luar negara tertentu. Selepas firma mencapai titik pergantungan kepada pasaran asing , barulah ia memulakan tugas pemasaran sepenuhnya dan tidak lagi mengagihkan tanggungjawab pemasaran kepada pihak ketiga.
Operasi perniagaan antarabangsa ini menyebabkan perubahan di dalam corak persaingan yang di bawa oleh pasaran global, kebergantungan kepada ekonomi dunia dan peningkatan di dalam bilangan syarikat pesaing sama ada dari negara maju atau negara membangun. Apabila persaingan dalam pasaran dunia menjadi semakin hebat, maka didapati semakin banyak firma memulakan operasinya dengan berorientasikan pemasaran antarabangsa.
Ujikan kefahaman anda sebelum meneruskan input selanjutnya …..!!!
Sila semak jawapan anda pada ruangan maklum balas yang disediakan
AKTIVITI 1D
- Pada pendapat anda, apakah sebab utama sesebuah syarikat itu menggunakan strategi perluasan pasaran ?
- Bagaimanakah komitmen pihak pengurusan ke atas penglibatan syarikat di pasaran antarabangsa akan mempengaruhi strategi pemasaran dan keputusan-keputusan syarikat ?
PENILAIAN KENDIRI
Anda telah menghampiri kejayaan. Sila cuba semua soalan dalam penilaian kendiri ini dan semak jawapan anda pada maklum balas yang disediakan.
Jika ada masalah yang timbul, sila berbincang dengan pensyarah anda.
Selamat mencuba, semoga berjaya !!!
SOALAN 1-1
Nyatakan unsur-unsur pemasaran boleh kawal di dalam pemasaran antarabangsa.
- _______________________________
- _______________________________
- _______________________________
- _______________________________
SOALAN 1-2
Unsur-unsur pemasaran tidak boleh kawal domestik terdiri daripada :
- ______________________________
- _______________________________
- _____________________________
SOALAN 1-3
Nyatakan unsur-unsur pemasaran tidak boleh kawal luar negara.
- ________________________________
- _______________________________
- _______________________________
- _______________________________
- _______________________________
- _______________________________
- _______________________________
SOALAN 1-4
Bagaimanakah aktiviti pemasaran bagi konsep pemasaran multidomestik ?
SOALAN 1-5
Huraikan ciri-ciri utama konsep pemasaran global ?
SOALAN 1-6
Bezakan di antara ketiga-tiga konsep pemasaran antarabangsa .
SOALAN ESEI
- Jelaskan tentang perkara-pekara berikut :
- Tiada pemasaran luar negeri secara langsung
- “Regular Foreign marketing”
- “Global Marketing”
- Bezakan di antara unsur-unsur pemasaran boleh kawal, unsur-unsur pemasaran tidak boleh kawal domestik dan unsur-unsur pemasaran tidak boleh kawal luar negara.
- Bagaimakah faktor politik dan perundangan luar negara boleh mempengaruhi strategi pemasaran sesebuah syarikat yang beroperasi di pasaran asing?
MAKLUM BALAS
AKTIVITI
Adakah anda telah mencuba dahulu ? Jika “YA”, sila semak jawapan anda.
AKTIVITI 1A
a) Contoh jawapan :
- Swatch - Switzerland
- Potato Chips - Thailand
- Fuji Filem - Jepun
- Definisi pemasaran antarabangsa :
Pemasaran antarabangsa ialah pelaksanaan aktiviti-aktiviti perniagaan yang mengarahkan aliran barangan dan perkhidmatan sesebuah syarikat kepada pengguna di lebih dari sebuah negara bagi mendapatkan keuntungan. Ini bermakna, pemasar memasarkan barangan atau perkhidmatan mereka melepasi sempadan sesebuah negara.
- Faktor-faktor yang menyebabkan seseorang pemasar mula menceburkan diri di dalam pemasaran antarabangsa :
- untuk mendapatkan keuntungan
- untuk mengembangkan jualan
- untuk mencari pasaran baru
- perubahan ekonomi dunia ke arah pasaran dunia tanpa sempadan
- perkembangan teknologi maklumat dan hubungan pengangkutan yang maju
- citarasa pengguna yang semakin sama walaupun di negara berlainan
AKTIVITI 1B
Kesan ekonomi domestik :
- keupayaan untuk melabur
- jika kedudukan ekonomi domestik merosot, ia akan menyekat keupayaan untuk melabur di pasaran antarabangsa
- segala kewangan syarikat akan digunakan untuk melabur di dalam negara bagi meningkatkan keadaan ekonomi negara asal syarikat
AKTIVITI 1C
- Salah
- Betul
- Betul
- Salah
AKTIVITI 1D
- Sebab utama sesebuah syarikat itu menggunakan konsep perluasan pasaran ialah untuk menjual produk-produk yang berlebihan di pasaran domestik.
b) Komitmen yang tinggi menyebabkan pihak pengurusan akan memberikan tumpuan yang lebih kepada operasi antarabangsa. Ia akan memberi kesan yang positif dari segi jumlah pelaburan, perkembangan teknologi , kemudahan-kemudahan yang disediakan serta mengambil daya usaha yang tinggi untuk meningkatkan pasaran luar negara.
MAKLUM BALAS
PENILAIAN KENDIRI
Adakah anda telah mencuba dahulu ? Jika “YA”, sila semak jawapan anda.
SOALAN 1-1
Unsur-unsur pemasaran boleh kawal :
- Produk
- Harga
- Agihan
- Promosi
SOALAN 1-2
Unsur-unsur pemasaran boleh kawal domestik :
- Persaingan
- Ekonomi
- Politik dan perundangan
SOALAN 1-3
Unsur-unsur pemasaran tidak boleh kawal luar negara :
- Ekonomi
- Persaingan
- Teknologi
- Agihan
- Geografi Dan Infrastruktur
- Sosial Dan Budaya
- Politik Dan Perundangan
SOALAN 1-4
Syarikat menganggapkan bahawa setiap negara adalah berbeza, oleh itu strategi pemasaran yang berbeza disediakan bagi setiap pasaran ( negara ). Strategi pemasaran akan diadaptasikan mengikut ciri-ciri setiap pasaran.
SOALAN 1-5
Ciri-ciri utama pemasaran global ialah :
- Pasaran meliputi seluruh dunia
- Produk yang seragam dan berkualiti
- Harga yang berpatutan
- Berasaskan kepada andaian bahawa dunia menuju ke arah persamaan
- Berasaskan kepada anggapan bahawa semua pasaran adalah satu unit yang mempunyai keperluan dan kehendak yang serupa.
SOALAN 1-6
- Konsep perluasan pasaran
- Pasaran tempatan adalah diutamakan
- Ia meluaskan pasaran ke luar negara dengan tujuan untuk menjual produk yang mengalami lebihan pengeluaran
- Oleh itu produk tidak diubahsuaikan
- Strategi pemasaran bagi pasaran luar negara adalah sama dengan strategi pemasaran bagi pasaran tempatan
- Konsep pasaran multidomestik
- Syarikat sedar bahawa setiap pasaran atau negara mempunyai ciri-ciri yang berbeza
- Oleh itu, ia menyediakan strategi yang berbeza bagi setiap pasaran luar negara
- Konsep pemasaran global
- Syarikat menganggap semua pasaran sebagai satu pasaran yang mempunyai ciri-ciri yang serupa
- Oleh itu, strategi yang sama digunakan untuk semua pasaran
- Adaptasi hanya dilakukan jika perlu.
SOALAN ESEI
SOALAN 1
- Tiada pemasaran luar negeri secara langsung
Pada tahap ini, tidak ada pengguna yang aktif di pasaran luar negara. Walaubagaimanapun, produk syarikat boleh sampai ke pasaran luar. Ini mungkin disebabkan oleh jualan yang dibuat kepada syarikat-syarikat perniagaan dan lain-lain pengguna luar yang datang secara terus/langsung kepada syarikat. Contohnya, pelancong membawa pulang produk tempatan bagi tujuan dijual semula atau untuk simpanan peribadi.
Produk tersebut juga boleh sampai ke pasaran luar melalui pengedar atau pemborong domestik yang menjual produk di pasaran luar tanpa galakan atau pengetahuan pihak pengeluar. Pemasar tidak pernah memikirkan untuk memasarkan produknya ke luar negara, oleh itu, tidak ada aktiviti promosi yang aktif dilakukan di pasaran luar.
- “Regular Foreign Marketing”
Pada tahap ini, firma mempunyai pelanggan yang tetap yang membuat pesanan dari masa ke semasa. Pemasar biasanya akan melantik orang tengah luar atau domestik bagi mengendalikan pasaran antarabangsa. Ataupun syarikat mempunyai tenaga jualan atau anak syarikat sendiri di pasaran luar. Fokus utama pengeluaran produk masih lagi untuk memenuhi keperluan pasaran domestik.
Pelaburan di dalam pemasaran dan pengurusan serta pengilangan di luar negara biasanya bermula pada tahap ini. Pada peringkat awal, produk yang dipasarkan adalah sama di antara pasaran tempatan dan luar negara. Namun, terdapat produk yang diubahsuai dan mempunyai sifat-sifat tertentu atau istimewa bagi memenuhi keperluan individu di pasaran luar. Walaubagaimanapun, harga dan polisi keuntungan hampir sama dengan pasaran tempatan, dan syarikat mula bergantung kepada keuntungan pasaran luar.
- “Global Marketing”
Pada tahap ini, syarikat mengandaikan pasaran luar dan pasaran domestik sebagai satu pasaran. Ia berbeza dengan syarikat antarabangsa atau multinasional yang melihat dunia sebagai satu siri pasaran negara dengan cirri-ciri pasaran yang unik di mana setiap negara mempunyai strategi pemasaran yang berbeza.
Syarikat global membentuk strategi yang mencerminkan keperluan pasaran dikebanyakan negara untuk memaksimakan pulangan melalui aktiviti perniagaan yang seragam di mana ia melibatkan kos yang efektif dan sesuai di kebanyakan negara. Produk diseragamkan untuk pasaran semua negara. Namun harga, promosi dan agihan adalah berbeza bergantung kepada keadaan
SOALAN 2
Unsur-unsur pemasaran boleh kawal merupakan unsur yang berada di bawah pengawasan syarikat dan ditentukan oleh pihak pengurusan syarikat. Ia terdiri daripada campuran pemasaran iaitu produk, agihan, harga dan promosi.
Unsur-unsur pemasaran tidak boleh kawal domestik meliputi elemen-elemen di dalam negara yang boleh memberi kesan secara langsung ke atas kejayaan pemasar apabila menceburkan diri di dalam pemasaran antarabangsa. Unsur-unsur ini termasuklah struktur persaingan, ekonomi serta politik dan perundangan
Unsur-Unsur pemasaran tidak boleh kawal luarnegara pula meliputi elemen-elemen di luar negara yang akan memberi kesan ke atas syarikat antarabangsa. Ia merangkumi ekonomi, persaingan, teknologi, agihan, geografi dan infrastruktur, sosial dan budaya, politik dan perundangan.
SOALAN 3
Faktor politik boleh memberi kesan yang mendalam kepada strategi pemasaan sesebuah syarikat yang beroperasi di negara luar. Dasar-dasar yang digubal oleh kerajaan sesebuah negara akan mempengaruhi aktiviti pemasaran syarikat tersebut.
Contoh: Kerajaan Amerika Syarikat telah menyekat jualan komputer dan perisian komputer ke Afrika Selatan sebagai bantahan ke atas dasar apartheid yang dilaksanakan oleh kerajaan Afrika Selatan. Ini menyebabkan syarikat komputer seperti IBM terpakasa mengubah strategi pemasarannya.