September 13, 2012

MEDIA-MEDIA PENGIKLANAN (MEDIA-MEDIA PENGIKLANAN, KELEBIHAN DAN KELEMAHAN)


UNIT 8

MEDIA-MEDIA PENGIKLANAN

(MEDIA-MEDIA PENGIKLANAN, KELEBIHAN DAN KELEMAHAN)


OBJEKTIF



Objektif Am

Memberi pendedahan kepada pelajar mengenai  media-media pengiklanan , kelebihan dan kelemahan setiap media.

Objektif khusus :  Di akhir unit ini  pelajar akan dapat :-

  • Menerangkan mengenai media cetak
  • Menjelaskan mengenai media elektronik.
  • Menerangkan mengenai media luaran
  • Menjelaskan mengenai pos langsung
  • Mengkaji kelebihan setiap media.
  • Mengkaji kelemahan setiap media.



INPUT



8.0   PENGENALAN.
Pada masa kini terdapat banyak media-media yang digunakan untuk mengiklankan sesuatu barangan.  Semuanya bertujuan untuk menyedarkan audien tentang wujudnya barangan dipasaran.  Antara media-media tersebut adalah seperti media cetak, elektronik, media luaran dan pos langsung.

8.1  JENIS-JENIS MEDIA PENGIKLANAN

  • Media Cetak
Pelajar seharusnya mengetahui apakah media cetak.  Ia merangkumi akhbar, majalah dan yang seumpamanya di mana ia dicetak di kertas.  Namun begitu , iklan di media cetak mempunyai ciri-ciri yang tersendiri sehingga ia menjadi pilihan utama bagi sesetengah-sesetengah syarikat bagi mengiklankan barangan mereka.

  • Media Elektronik.
Mengenai media ini pula ia merangkumi radio, televisyen, video dan di internet. Media ini mempunyai pengaruh yang kuat terhadap orang ramai.  Ia melibatkan kesan bunyi, gambar yang hidup dan warna yang mampu meninggalkan kesan yang mendalam pada naluri  audien.


  • Media Luaran.
Ia adalah berbeza sedikit dengan yang di jelaskan seperti di atas di mana, ia melibatkan poster, iklan persinggahan dan aktiviti pengiklanan
Ia lebih bersifat terus kepada audien dan bersifat pelbagai.

  1. Poster.
Poster atau papan iklan, iaitu “billboard” merupakan satu  bentuk pengiklanan luar.  Terdapat ukuran yang standard dan ukuran yang tidak standard bagi papan iklan ini, dan ia biasanya dibina pada struktur tersendiri di atas tanah, di tempat tinggi, pada bangunan atau hanya ditampalkan di dinding.

  1. Iklan Persinggahan.
Iklan persinggahan atau “transit advertising” sebenarnya dibuat dalam bentuk tanda-tanda luaran seperti poster, peragaan, buletin dan sebagainya yang diletakkan di tempat-tempat persinggahan atau kenderaan awam  seperti bas, stesen kereta api, troli, teksi dan sebagainya.

  1. Aktiviti Pengiklanan Luar.
Contohnya syarikat Utusan Pearl & Dean adalah merupakan organisasi utama di negara kita dalam pengiklanan luar.  Pada umumnya terdapat 5 bentuk iklan luar yang dikendalikan oleh organisasi ini iaitu :-
Selamat Datang ke CafĂ© House  PPD
  1. Poster 4 hamparan.Poster Kilau.
  2. Poster Neon.
  3. Iklan 48 hamparan.
  4. Iklan di lapangan terbang.

e) Bunting
Merupakan salah satu media cetak luaran yang popular digunakan pada masa kini. Ia seperti poster di mana reka letaknya secara menegak iaitu tulisan ditulis secara menegak dari atas ke bawah dan ia biasanya digantung di tiang-tiang lampu jalan raya. Contoh-contoh menggunakan bunting ini apabila menyambat satu-satu perayaan seperti ulang tahun sesuatu bandar/bandaraya, hari keputeraan atau jualan “Mega Sale”.

  • Pos  Langsung.
Pos langsung atau “direct mail” merupakan mesej iklan peribadi yang disebarkan kepada pelanggan melalui perkhidmatan pos.  Pengiklanan pos langsung merupakan mesej pengiklanan peribadi, dan mesej biasanya menawarkan barangan atau perkhidmatan yang khusus melalui surat atau menawarkan koleksi barangan melalui katalog dan menjemput sebarang tindakbalas langsung.  Pos langsung juga kerap kali bersifat pemajuan atau promosional , iaitu memberikan maklumat-maklumat barangan dengan menawarkan ciri  atau harga yang istimewa yang dapat diperoleh melalui pengedar-pengedar yang tertentu.
Sebagai contoh : Surat jualan, helaian (leaflet/flier), Folder, Poskad, Katalog dan Majalah Syarikat (House Organ)



AKTIVITI



AKTIVITI 8A
(a) Cuba dapatkan sebuah radio transister dan dengar satu iklan yang disiarkan.  Dalam masa tersebut anda bebas melakukan apa-apa aktiviti sambil mendengar.  Cuba anda terangkan iklan yang anda dengar tadi.  Setiap pelajar perlu memberikan penjelasan secara individu.

  1. Dapatkan sebuah majalah dan kemudian pilih mana satu iklan yang menarik dan mampu mempengaruhi diri anda .  Sila nyatakan alasan-alasan anda.






MAKLUMBALAS AKTIVITI




MAKLUMBALAS AKTIVITI 8A

  1. Jawapan mungkin berbagai-bagai, berdasarkan apa yang pelajar dengar.  Sila dengar penjelasan pelajar dan nilai kenyataan tersebut betul atau salah.

Bangganya dapat jawab…he…he…
Jawapan mungkin juga berbagai-bagai .  Rujuk kenyataan pelajar dan nilai sebab-sebab yang diberikan adakah ia menasabah atau bersesuaian.




INPUT




8.2         KELEBIHAN DAN KELEMAHAN SETIAP MEDIA
.
  • Kelebihan Media Cetak.

  1. Ia di cetak setiap hari dan oleh itu, ia memberi peluang pemasaran kepada pengiklan.
  2. Akhbar boleh didapati di mana-mana dan harganya murah.  Oleh itu, bilangan pembelinya ramai.  Kos bandingannya dengan media yang lain adalah rendah apabila dilihat dari segi jangkauannya yang tinggi.
  3. Akhbar memberi jangkauan yang cepat.  Pada hari pertama akhbar disiarkan, pasaran sasaran sudah dimaklumi tentang barangan atau perkhidmatan.
  4. Majalah merupakan media yang selektif dan mempunyai pembaca-pembaca yang khusus.  Oleh itu pengiklan dapat menghubungi sasarannya dengan lebih tepat.
  5. Iklan-iklan boleh diterbitkan secara sisipan dalam bentuk sample, kupon dan sebagainya.





  • Kelemahan Media Cetak.

  1. Akhbar mempunyai jangka hidup yang sangat pendek, iaitu biasanya sehari sahaja dan berita-berita yang disiarkan pada hari itu dianggap basi pada hari yang berikutnya.
  2. Terdapat banyak iklan dalam akhbar dan oleh itu, terdapat persaingan dengan iklan-iklan yang lain untuk merebut perhatian itu.  Selain itu, ada iklan yang ditenggelamkan oleh iklan-iklan lain.
  3. Kualiti kertas akhbar tidak sesuai untuk iklan berwarna yang bermutu tinggi.
  4. Pembaca majalah biasanya merupakan pembaca yang sama oleh itu terdapat pertindihan audien.  Ini menjadikan kecekapan kos agak tinggi.
  5. Terdapat majalah yang meletakkan iklan di bahagian-bahagian khusus sama ada di hadapan atau di belakang sahaja.  Jikalau hal ini berlaku, maka iklan-iklan itu mungkin tidak akan dapat dibaca dan oleh itu ia tidak mendatangkan kesan.

  • Kelebihan Media Elektronik.

  1. Televisyen mempunyai pengaruh yang kuat kerana ia amat rapat dengan audien, dimana kebanyakan rumah sekarang mempunyai media ini.
  2. Iklan yang disiarkan adalah menarik di mana terdapat warna-warna yang hidup dan dapat ditunjukkan dengan jelas.
  3. Radio adalah media yang popular dan dapat didengar sepanjang masa tidak kira apa yang sedang dilakukan oleh seseorang.
  4. Radio dan televisyen mempunyai audien yang besar dan mempunyai ramai peminat.
  5. Radio mampu mendedahkan iklan beberapa kali dalam masa yang singkat dan ini dapat menjadi motivasi kepada pendengar.

  • Kelemahan Media Elektronik.

  1. Iklan di televisyen terlalu cepat dan kadangkala agar sukar untuk difahami bagi mereka yang kurang pendedahan dan pengetahuan  produk tersebut.
  2. Di dalam masa sekarang ini terdapat siaran di TV yang menjadi pesaing mengikut siaran seperti TV1, TV2, TV3 dan NTV7, jadi persaingan berlaku mengikut siaran yang disiarkan.
  3. Siaran radio hanya dapat didengar dan tidak dapat dilihat.  Ini membataskan keberkesanan khususnya untuk barangan atau perkhidmatan yang perlu dipaparkan secara visual.
  4. Iklan radio adalah ringkas, pendek dan berlalu segera.  Pendengar tidak dapat menyimpan atau membacanya apabila dia suka.
  5. Iklan radio terpaksa bersaing untuk mendapatkan perhatian audien kerana mereka mendengar sambil membuat kerja-kerja lain.

  • Kelebihan Pos Langsung.

  1. Mesej yang disampaikan adalah fleksible kerana ia boleh disampaikan dengan sebarang cara yang disukai oleh pengiklan dan sebanyak mana atau  sedikit mana maklumat yang ingin dikemukakan.
  2. Pos langsung juga boleh ditujukan kepada sebarang kumpulan audien melalui senarai nama yang digunakan sama ada senarai nama dari buku panduan telefon, senarai nama pekerja organisasi, senarai nama keanggotaan persatuan dan sebagainya.
  3. Mempunyai penguasaan yang tinggi ke atas edaran dan kualiti mesej.


  • Kelemahan Pos Langsung.

  1. Cara ini agak mahal kerana kosnya melibatkan perkara-perkara seperti penyediaan bahan yang akan disebarkan seperti brosur, sampul surat, kos mendapatkan atau mengumpulkan senarai projek, kos setem pos dan sebagainya.
  2. Kerap kali juga perkhidmatan pos menghadapi masalah kelambatan dan ini akan memberikan akibat yang tidak baik kepada iklan pos langsung.
  3. Pembaca majalah selalunya ingin membaca rencana atau maklumat yang disukainya dan pada masa yang sama dikemukakan dengan bahan iklan itu sahaja.

  • Kelebihan Media Luaran.

  1. “Billboard” contohnya dihiasi dengan lampu-lampu dan warna yang mampu menarik perhatian audien.
  2. “Transit advertising” pula mampu mencuri perhatian di kala masa terluang oleh audien dan mampu memberi input kepada siapa yang melihatnya.
  3. Kos pengiklanan yang lebih murah berbanding media elektronik dan media cetak.

  • Kelemahan Media Luaran.

  1. Gambar yang dipaparkan adalah pegun ataupun tetap.
  2. Mesej yang hendak disampaikan adalah amat terbatas.
  3. Ada lokasi yang tidak sesuai dan menggangu, ini  menyebabkan tiada tumpuan daripada audien.


AKTIVITI



AKTIVITI 8B

  1. Nyatakan secara berkumpulan kebaikan media cetak.  Setiap pelajar perlu menghuraikan maklumat tersebut berserta contoh.
  2. Nyatakan secara berkumpulan keburukan media elektronik.  Setiap pelajar perlu menghuraikan maklumat tersebut berserta contoh.



????????????





MAKLUMBALAS AKTIVITI




MAKLUMBALAS AKTIVITI 8B

  1. i.  Setiap akhbar mempunyai jenis pembaca yang berlainan dan pengiklan dapat menentukan pasaran sasarannya.
ii.  Akhbar merupakan media yang diberikan promosi yang baik oleh penerbitnya sendiri dan di samping itu, pada umumnya ia mempunyai imej yang baik.

  1. i.  Iklan radio adalah ringkas, pendek dan berlalu segera.  Pendengar tidak dapat menyimpan atau membacanya semula apabila dia suka.
ii.  Iklan radio terpaksa bersaing untuk mendapatkan perhatian khalayak kerana mereka mendengar radio biasanya sambil melakukan tugas-tugas lain seperti membaca buku, memandu dan sebagainya.







PENILAIAN KENDIRI



PENILAIAN KENDIRI


  1. Dengan mendengar radio dan menonton tv, pilih satu iklan yang sama dan kaji keberkesanan dari segi mesej yang disampaikan mana yang lebih jelas.
( 10 markah )

  1. Dengan membaca akhbar dan majalah pilih juga satu iklan yang sama dan kaji keberkesanan dari segi mesej yang disampaikan, manakah yang lebih menarik.  ( Cuba dapatkan keratan iklan berkenaan untuk dijadikan rujukan )
(10 markah)      

  1. Cuba buat analisa secara perkiraan setiap media sebagai contoh antara majalah dengan akhbar atau antara radio dengan tv. Media manakah yang lebih murah.
(10 markah)

  1. Apakah yang dimaksudkan dengan iklan persinggahan atau “transit advertising” cuba pelajar kenalpasti contoh-contohnya dan cara mana yang lebih ketara dipraktikan di Malaysia pada masa kini.
(10 markah)





MAKLUMBALAS PENILAIAN KENDIRI



Maklumbalas Penilaian Kendiri

  1. Television adalah lebih berkesan kerana ia lebih menarik dan audien memberi tumpuan yang lebih.

  1. Majalah adalah lebih berkesan kerana kualiti kertas yang baik dan berwarna-warni  dan memfokuskan pada pasaran sasaran yang tepat.

  1. TV adalah lebih mahal berbanding radio manakala majalah adalah lebih mahal berbanding dengan akhbar.

  1. Contohnya : poster, peragaan, buletin dan sebagainya.