September 13, 2012

FUNGSI DAN KESAN PENGIKLANAN (FUNGSI DAN KESAN PENGIKLANAN DARI PELBAGAI ASPEK)


UNIT 2


FUNGSI  DAN KESAN PENGIKLANAN

(FUNGSI DAN KESAN PENGIKLANAN DARI PELBAGAI ASPEK)


OBJEKTIF



Objektif am :

Memahami fungsi-fungsi pengiklanan terhadap pemasaran, komunikasi,
pendidikan, ekonomi dan sosial.


Objektif khusus :

Di akhir unit ini anda sepatutnya dapat :-


  • Menerangkan fungsi iklan terhadap pemasaran dan komunikasi.

  • Menghuraikan fungsi iklan terhadap pendidikan,ekonomi dan sosial.

  • Membincangkan kesan iklan terhadap ekonomi.

  • Menenghuraikan kesan iklan terhadap sosial.





INPUT


  1.      PENGENALAN

Pelajar akan melihat bagaimana fungsi pengiklanan berperanan didalam menyalurkan maklumat kepada pihak-pihak tertentu dan kesannya terhadap masyarakat samada dari segi ekonomi mahupun sosial.


  1. Fungsi Pengiklanan.

Pengiklanan mempunyai fungsi-fungsinya yang tersendiri, iaitu terhadap pemasaran, komunikasi, pendidikan, ekonomi dan sosial.  Fungsinya ini mampu untuk memberikan sesuatu yang bermakna kepada orang ramai.

2.1.1Fungsi Iklan Terhadap Pemasaran.

Iklan dapat menyalurkan maklumat dengan meluas , cepat dan berkesan.  Ia merupakan elemen di dalam promosi.  Pengeluar dapat menggunakan kaedah ini bagi melariskan jualan.  Ia juga membantu orang ramai bagi mendapatkan sesuatu produk yang diperlukan.
Contoh :-
Iklan di televisyen, radio, majalah, suratkhabar dan internet semuanya ini mampu meningkatkan jualan di pasaran. Ini kerana kita menonton televisyen, mendengar radio dan membaca suratkhabar dan melayari halaman internet setiap har,i maka ini memberi pengaruh besar kepada minda dan pemikiran kita. Oleh itu media-media ini begitu luas digunakan sebagai alat penyalur informasi berkenaan dengan produk dan perkhidmatan dan mampu mempertingkatkan jualan di pasaran.

Seterusnya kita akan melihat bagaimana pula pengiklanan dikaitkan dengan 4 P.




2.1.1.1 Kaitan Iklan Dengan 4 P


2.1.1.1.1  Pengiklanan Dengan Keluaran (Produk)

Iklan memainkan peranan yang penting untuk menunjukkan perbezaan antara satu produk dengan produk yang lain.  Alasannya  kerana jika tiada perbezaan antara produk lain pelanggan tidak dapat tahu mengenai produk sesebuah syarikat.

Terdapat 3 cara pembezaan produk :-

  1. Pembezaan Nyata -  perubahan yang dapat dikenalpasti atau dilihat dengan jelas melalui iklan.  
Contoh : jenama, rekabentuk, pembungkusan, warna, saiz.
Contoh : perubahan warna seperti Milo (hijau), Ovaltine (Merah) dan Vico (kuning)

  1. Pembezaan yang tidak nyata – pembezaan yang tidak jelas dari pandangan kasar.
Contoh Iklan sos- menggunakan bahan-bahan segar. Iklan ubat gigi ( Fresh & White ) – dimana kandungan ditambah supaya menjadi lebih segar.
  

  1. Pembezaan kerana didorong – pengguna didorong melalui iklan
Contoh : Rokok dilarang dibuat iklan jadi ada cara lain yang digunakan untuk mengiklan rokok tersebut secara tidak langsung seperti bolasepak yang ditaja Dunhill.





Iklan juga mempunyai kaitan rapat dengan Kitaran Hayat Produk.  Huraian di bawah akan menjelaskan dengan lebih mendalam lagi akan perkara ini.



Perkaitan Pengiklanan Dengan Kitaran Hayat Produk (KHP)

Peringkat Pengenalan


Iklan digunakan untuk mengenalkan produk baru  di   pasaran. Produk baru seperti bubur ayam yang diperkenalkan oleh McDonald.

Iklan juga memperkenalkan jenama baru bagi produk yang telah sedia ada di pasaran contoh makanan segera bukan sahaja KFC, Maggie, McDonald tetapi banyak lagi jenama lain yang keluar di pasaran selepas mee Maggie diperkenalkan seperti Mee In My Mug, Bubur Segera dan lain-lain.

    
       Peringkat Perkembangan / Pertumbuhan.

Produk telah dikenali ramai, jualan bertambah dimana orang ramai amat memerlukannya.  Pada masa ini iklan menjadi semakin penting.  Lebih berbentuk promosi jualan, meletakkan harga yang lebih murah dan terpaksa bersaing dengan keluaran lain dan penting syarikat mengadakan perubahan ke atas produk. Contoh yang ketara adalah telefon selular(cell-phone) yang mana harga makin murah dan ciri-ciri yang semakin canggih mengikut perkembangan teknologi.

          Peringkat Kematangan.

Pada peringkat ini wujudnya pelanggan yang setia terhadap  produk. Permintaan yang stabil dan pelanggan baru tidak banyak  yang membeli. Iklan digunakan untuk mengingatkan
pelanggan yang produk itu masih ada dipasaran. Iklan tidak kerap disiarkan cuma sekali-sekala sebagai mengingati pengguna terhadap produk tersebut. Contoh-contoh iklan Trojan, Axion, Marigold dan sebagainya.

          Peringkat Kejatuhan

Peringkat ini di mana produk telah mengalami kemerosotan jualannya. Biasanya pada peringkat ini pelanggan akan beralih ke produk lain kerana produk atau jenama produk tersebut tiada di pasaran lagi. Produk-produk minuman seperti Kickapoo, Mountain Dew, Scweppes telah tidak ada di pasaran maka iklan jenama produk tersebut tidak disiarkan lagi. Di sini pihak syarikat perlu melakukan strategi pemasaran bagi mewujudkan semula pengguna jenama produk tersebut dan menyiarkan iklan menyatakan produk tersebut telah kembali ke pasaran.

     
2.1.1.1.2   Pengiklanan Dengan Harga ( Price )

  1. Permintaan Pasaran.
Sejauh mana penerimaan sesuatu produk dan perkhidmatan di pasaran?. Di sini hukum penawaran dan permintaan ada diamalkan iaitu jika permintaan pasaran adalah tinggi maka  harga produk tersebut akan menjadi tinggi. Maka peranan iklan menjelaskan bahawa harga sesuatu produk itu tinggi adalah disebabkan kualiti produk tersebut. Seperti produk lampin bayi pakai buang Pampers dengan jenama lain di mana Pampers lebih mahal kerana kualitinya. Contoh-contoh lain seperti detergen Dynamo dengan cecair cucian lain di mana Dynamo mahal sedikit kerana permintaannya tinggi.

  1. Kos Pengeluaran Dan Kos Penghantaran.
Jika kos pengeluaran meningkat dan kos penghantaran meningkat maka harga produk akan meningkat.   Iklan biasanya akan menunjukkan kesukaran bagi menghasilkan sesuatu produk.  Contohnya Minyak Masak Seri Murni yang mana penghasilannya sukar iaitu melalui proses pemeringkatan.  Jadi jika harganya tinggi orang ramai yang melihat iklan akan faham keadaannya.



  1. Persaingan.
Syarikat-syarikat akan bersaing antara satu sama lain dengan mengiklankan produk mereka.  Oleh itu orang ramai akan membandingkan mana produk yang lebih baik.  Oleh itu iklan akan cuba menonjolkan produk merekalah yang terbaik.  
Contoh: Sabun Ekonomi Handalan lebih bermutu dan mempunyai harga yang lebih rendah berbanding dengan serbuk cuci yang lain.


  1. Objektif Korporat
Syarikat akan cuba menggambarkan di dalam iklan imej yang diinginkan.  Jika syarikat meletakkan imej yang tinggi maka iklan yang disiarkan haruslah menunjukkan imej yang tinggi sesuai dengan kehendak syarikat pengeluar  contohnya Dunhill, jadi syarikat akan memastikan iklan tersebut setanding dengan imej yang dikehendaki.


2.1.1.1.3   Pengiklanan Dengan Agihan (Place)

  1. Agihan Intensif
Agihan yang dibuat secara meluas.  Pemasar akan mengagihkan ke merata kawasan supaya mudah diperolehi oleh orang ramai. Iklan perlu ditunjukkan sekerap yang mungkin dan memberi maklumat di mana tempat yang mudah untuk mendapatkan  produk tersebut. Contoh produk baru di pasaran seperti syampu Sunsilk boleh didapati di gedung-gedung membeli-belah dan kedai-kedai yang berdekatan di tempat pengguna.

  1. Agihan Selektif
Memilih tempat-tempat yang tertentu sahaja untuk jualan produk.  Iklan perlu tunjukkan di mana produk ini boleh didapati. Contoh-contoh produk kosmetik dan penjagaan badan seperti Citra Ayu, BML dan  Marie France Bodyline.
(iii)     Agihan Eksklusif
Biasanya untuk barangan mewah.  Agihan yang digunakan adalah terhad.  Hanya terdapat di tempat-tempat yang tertentu sahaja.  Iklan jarang dibuat dan  hanya memilih media yang sesuai dan terhad bagi golongan yang tertentu sahaja. Contoh-contoh  seperti kereta BMW, Mercedes dan Volvo jarang menggunakan iklan di media massa tetapi sebaliknya di media cetak dalam majalah-majalah tertentu.




          2.1.1.1.4      Pengiklanan Dengan Promosi.

  1. Iklan  disiarkan di televisyen atau radio kemudian disusuli dengan jurujual pergi dari rumah ke rumah membuat promosi bagi mendapatkan jualan.

  1. Iklan dan publisiti contohnya sidang akhbar diadakan bagi
mewujudkan komunikasi dua hala dengan ini dapat membetulkan tanggapan yang salah terhadap sesuatu produk.


  1. Fungsi Iklan Terhadap Komunikasi.

Iklan menyampaikan maklumat dan mesej kepada orangramai.    
Pelbagai cara boleh digunakan antaranya dengan menggunakan  
perkataan, gambar, audiovisual dan berbagai cara terkini.  Ia memberi
peluang kepada orangramai untuk mentafsir mesej daripada iklan
yang didengar atau dilihat.
 Contoh :-  Iklan Notis Awam
 Memberitahu mengenai sesuatu pihak telahpun bangkrap,   
 perletakkan jawatan dan sebagainya.   






  1. Fungsi Iklan Terhadap Pendidikan.

Memberi pengetahuan mengenai cara penggunaan sesuatu produk.   
Mengajar pengguna menggunakan perkhidmatan dengan cara yang betul. Langkah demi langkah akan ditonjolkan supaya orang ramai faham.
Contoh :-  Iklan Smartshop memaparkan alat-alat senaman untuk kesihatan.  Ia mengajar pengguna dengan jelas cara-cara yang betul menggunakan alat senaman.

  1. Fungsi  Iklan Terhadap Ekonomi.

Iklan, mampu untuk meningkatkan jualan syarikat dan seterusnya menambahkan keuntungan.  Prestasi syarikat akan berada dalam keadaan baik  kerana orang ramai akan mencari-cari produk yang diiklankan. Oleh yang demikian tidak hairan jikalau kita lihat syarikat akan membelanjakan wang yang banyak bertujuan membuat pengiklanan.

Pengguna juga mampu membuat perbandingan produk mana yang terbaik di pasaran.  Perlulah melihat iklan-iklan yang disiarkan bagi mendapatkan maklumat yang berguna dengan ini  ekonomi rumahtangga juga mampu diawasi jika pelanggan bijak didalam pembelian.

  1. Fungsi Iklan Terhadap Sosial.

Membantu memperbaiki taraf hidup yang lebih baik dengan adanya produk yang pelbagai di pasaran.  Produk-produk ini akan digunakan bagi membantu kerja-kerja seharian dengan lebih cepat dan berkesan.
Contoh :  Pada zaman dahulu kita lihat membasuh pakaian menggunakan tangan tetapi dengan ada iklan akan mampu menyedarkan orang ramai akan kemunculan peralatan mencuci pakaian dan ada yang tidak perlu menyidai pakaian di luar seperti menggunakan mesin pengering.

Contoh : Fesyen berpakaian mampu mempengaruhi personaliti dan pergaulan sesama kumpulan.  Di mana satu pihak akan membeli dan mempengaruhi pihak yang lain supaya mereka akan dianggap sebagai berada di dalam satu kumpulan.




AKTIVITI




AKTIVITI 2A



Arahan :  Pelajar-pelajar dikehendaki memikirkan semula apa yang telah dipelajari dan mengapplikasikan kepada keadaan yang sebenar.


1. Dengan memberikan contoh-contoh yang sesuai ,jelaskan fungsi-fungsi  
pengiklanan yang berkaitan dengan faktor pendidikan dan ekonomi dan para pelajar dikehendaki mencari produk-produk yang berkaitan dengan faktor tersebut dan terangkan kefahaman anda mengenai cara penggunaanya.


2. Pelajar-pelajar dikehendaki menunjukkan  produk yang mereka miliki  dan  
   menjelaskan  dari mana datangnya kesedaran mendapatkan produk tersebut.




MAKLUMBALAS AKTIVITI




MAKLUMBALAS AKTIVITI 2A

Jawapan  1 :

Contoh produk : Alat senaman , sabun basuh, dan seumpamanya.

Faktor Pendidikan :  Iklan mengajar para pengguna tentang cara penggunaannya  sesuatu produk atau perkhidmatan.  Contohnya seperti iklan barangan senaman oleh Smartshop.   Contoh lain ialah iklan keselamatan di rumah oleh Dian P. Ramlee dimana perkara-perkara yang melalaikan kita mungkin akan menyebabkan kematian kepada anak kita.

Faktor Ekonomi :  Iklan mempengaruhi faktor ekonomi dengan meningkatkan jualan dan imej sesuatu perniagaan.  Pengguna yang melihat iklan  juga mampu memikirkan barangan mana yang lebih murah dan lebih menguntungkan.

Jawapan 2 :

Produk :  kasut, jam, pakaian dan lain-lain lagi

Kesedaran datang dengan melihat iklan di media-media.

Iklan dapat mendidik seseorang itu cara menggunakan sesuatu produk dengan cara yang betul.



INPUT



2.2 Kesan Iklan Terhadap Ekonomi.

      Pengiklanan begitu berperanan besar di dalam perniagaan. Bagi pihak pengeluar  
      iklan akan dapat meningkatkan pengeluaran hasil dari permintaan yang  
      menggalakkan daripada orang ramai.  Produk akan dapat dipelbagaikan dan  
      diperbaharui demi permintaan yang menggalakkan hasil dari iklan yang dibuat.

Tahun
1990
1991
1992
Pendapatan Perkapita ( RM)
6,209
6,817
7,541
KDNK                 ( % )
9.8
8.8
8.0
Pengangguran       ( % )
5.6
4.3
4.1

Jadual  2.1: Petunjuk Penting Mengenai Ekonomi Malaysia.


Berdasarkan jadual 2.1 didapati pendapatan per kapita dari tahun 1990 hingga 1992 adalah meningkat.  Manakala kadar pengganguran pula adalah sebaliknya.  Ia mempunyai kaitan dari segi kuasa beli orang ramai.  

Oleh itu pengeluar akan lebih banyak mengadakan pengiklanan jika pendapatan per kapita dalam keadaan baik iaitu pada tahun 1992 di
mana kemampuan membeli lebih tinggi berbanding dengan tahun 1990.

Bagi pihak media pengiklanan seperti televisyen, radio, majalah dan sebagainya sama-sama berperanan menyedarkan orang ramai akan wujudnya produk di pasaran.  Media yang lebih berpengaruh akan mengenakan kadar bayaran iklan yang lebih tinggi kepada syarikat yang ingin mengiklankan produk mereka.  Ini secara tidak langsung melibatkan juga harga produk yang akan ditetapkan.

MEDIA
1990
1991
1992
Suratkhabar
44
43.5
42.5
Televisyen
43
40
39.5
Majalah
6
8.5
10
Radio
-
2
2
Lain-lain
7
6
6

Jadual 2.2 : Perbelanjaan Pengiklanan Berdasarkan Media (%)


Media juga berperanan memberikan kesan peningkatan ekonomi.  Berdasarkan jadual 2.2 diatas didapati peranan suratkhabar dan televisyen menyedarkan orang ramai supaya membeli produk di pasaran.  Kedua-dua media ini mampu menarik pelanggan berbanding media-media lain.


Bagi pelanggan yang bijak mengatur belanjawan keluarga, tidak akan terlalu terpengaruh dengan apa-apa yang dipaparkan.  Pelanggan sebegini akan mengawasi agar tidak mudah terpengaruh  kerana setiap pembelian melibatkan wang ringgit bagi memenuhi keperluan keluarga.  Pelanggan perlu bijak di dalam membuat keputusaan pembelian bagi mendapatkan kepuasan yang sepadan.  Secara amnya masyarakat dapat dibahagikan kepada dua. Iaitu mereka yang peka dengan maklumat pengiklanan dan yang tidak peka pada maklumat pengiklanan.




                 2.3 Kesan Iklan Terhadap Sosial.

Masyarakat terpengaruh dengan keadaan di sekelilingnya. Ada di antara masyarakat ini yang gemar terikut-ikut dengan apa yang dipunyai oleh rakan-rakan mereka.  Mereka ini mudah dipengaruhi oleh iklan yang disiarkan di televisyen, radio dan sebagainya. Kesan iklan ini mempengaruhi masyarakat  supaya membeli produk mereka. Namun begitu ada kesan-kesan positif terhadap iklan yang disiarkan.

Kesan baik:-

  1. Iklan dapat memberitahu  produk-produk yang terkini dengan ini dapat membantu menjalankan aktiviti seharian dengan lebih mudah dan berkesan. Contohnya telefon bimbit yang memudahkan perhubungan sesama manusia walau dimana anda berada.

  1. Menjadikan pelanggan yang mempunyai maklumat dan mampu    
membanding produk mana yang lebih murah dan mencadangkan kepada kawan-kawan mereka.  Oleh syarikat perlu mengeluarkan produk yang berkualiti bagi menjamin sambutan orang ramai.

Kesan buruk:-

  1. Iklan pula mampu mempengaruhi diri seseorang berserta dengan rakan-rakan dimana  sejumlah wang yang besar digunakan bagi memenuhi hasrat diri dan terpengaruh dengan kawan-kawan bagi menunjukkan kelebihan diri yang mana kesannya akan dirasa sendiri bila mengalami kesempitan kewangan.  


  1. Iklan juga kadang-kala agak mengelirukan dan adanya unsur-unsur penipuan di mana iklan yang disiarkan agak keterlaluan maklumat berkenaan kebaikan produk tersebut.  Jadi orang ramai perlulah berhati-hati sebelum membuat keputusan membeli.






AKTIVITI



AKTIVITI  2B

Arahan :  Pelajar-pelajar dikehendaki memikirkan semula apa yang telah dipelajari dan mengaplikasikan kepada keadaan yang sebenar.


1.  Terangkan kesan-kesan pengiklanan keatas  masyarakat dari segi baik dan  
     buruknya.



2.  Pelajar-pelajar dikehendaki menyatakan jumlah wang yang ada mereka bawa
    sekarang dan menyenaraikan apakah barang yang akan dibeli mengikut keperluan  
    dan motif membeli barangan tersebut.




MAKLUMBALAS AKTIVITI



MAKLUMBALAS AKTIVITI 2B

Jawapan 1

Kesan Baik : -
Melalui pengiklanan ini, pelanggan mempunyai pelbagai pilihan barangan dan mampu membuat penilaian dengan tepat.  Contohnya serbuk pencuci yang banyak dipasaran seperti Ekonomi Handalan, Trojen , Kleenex dan sebagainya.  Jadi peranan masyarakat menilai berdasarkan maklumat yang ada dalam diri seseorang.  Jika kita mempunyai kesedaran maklumat yang baik mengenai produk tersebut sudah tentu ia mampu membuat keputusan yang bijak.  Masyarakat harus peka dengan media iklan tetapi tidak seharusnya mempercayai keseluruhan apa yang dipaparkan.  Harus memastikan kesahihannya dengan apa cara juapun, tidak tertipu iklan yang dipaparkan.

Kesan Buruk :-
Melalui pengiklanan ini dapat menggalakkan pembelian tanpa rancangan.  Biasanya pembelian tanpa rancangan ini melibatkan barangan yang tidak perlu seperti kosmatik mahal dan lain-lain.  Sebagai contoh jualan yang diadakan di Parkson yang begitu mempengaruhi pembelian walaupun keperluan tidak mendesak.  Keinginan yang tidak dapat dikawal (nafsu) sentiasa berhasrat untuk membeli apa-apa sahaja yang ditawarkan.  Kesannya kewangan keluarga akan terjejas hasil pembelian yang tidak berasaskan keperluan.




Jawapan 2

RM 30.00, RM 45.00 dan lain-lain lagi.

Contoh akan membeli buku, makanan, pakaian, peralatan pembelajaran dan sebagainya.

Motif pembelian tersebut untuk keperluan hidup, menjaga tubuh badan supaya sihat  atau keperluan bersosial

Mendapat kesedaran daripada pengiklanan di televisyen, radio, majalah dan sebagainya.




PENILAIAN KENDIRI



PENILAIAN KENDIRI


1. Bagaimana cara pemasar mengiklankan sesuatu produk dengan berkesan dan  
mampu mendidik orangramai supaya memahami menggunakan sesuatu produk dengan betul.
(25 markah)


2. Di dalam keadaan ekonomi yang berkembang pesat ini, permintaan terhadap  
   barang-barang dan perkhidmatan semakin meningkat.  Dengan adanya pengeluaran  
   secara besar-besaran, pengguna dapat membuat pembelian ke atas pelbagai bentuk
   barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan di pasaran.  Berdasarkan maklumat
   yang diperolehi melalui pengiklanan, setiap pengguna boleh membuat suatu pilihan
   yang tepat untuk menyesuaikan produk dengan keperluan, citarasa dan taraf
   kehidupan masing-masing.

   Bincangkan tiga fungsi pengiklanan yang dimaksudkan dengan kenyataan di atas.


(25 markah)




MAKLUMBALAS PENILAIAN KENDIRI





MAKLUMBALAS PENILAIAN KENDIRI

Jawapan soalan 1

Fungsi iklan terhadap pendidikan.


Jawapan soalan 2

Fungsi iklan terhadap Ekonomi – Sila huraikan berdasarkan kes.

Fungsi iklan terhadap Sosial – Sila huraikan berdasarkan kes.

Fungsi iklan terhadap Pemasaran. – Sila huraikan berdasarkan kes.