UNIT 5
ETIKA KEPROFESIONALISME
5
Unit
OBJEKTIF AM
Memahami dan menghayati isu-isu moral dalam profesyen yang akan diceburi.
OBJEKTIF KHUSUS
Di akhir unit anda dapat :
- menyatakan kod-kod etika keprofesionalan
- mengetahui kepentingan kod etika dalam dunia profesion
5.1 KOD ETIKA
INPUT
PENGENALAN
Pengertian  etika menurut Kamus Dewan ialah prinsip moral atau nilai-nilai akhlak  yang menjadi pegangan seseorang individu, kumpulan, persatuan dan  pekerjaan. Etika juga boleh di definisikan sebagai sains moral dan  prinsip-prinsip moral. Ia bertanggungjawab menentukan tindakan seseorang  itu samada baik ataupun buruk. Etika dalam erti kata lain adalah  mematuhi nilai moral. Kesimpulanya etika ialah satu kod peraturan  (susunan undang-undang) yang bertujuan untuk mengatur dan memberi  panduan tingkahlaku kepada individu, kumpulan atau sasaranya dalam  menjalankan tanggungjawab mereka.
Etika  keprofesionalan (kerjaya) bermaksud satu set peraturan atau  undang-undang yang telah ditetapkan yang mempunyai hubungkait dengan  satu-satu bidang kerjaya yang bertujuan untuk memastikan setiap bidang  kerjaya tersebut mencapai matlamat sasarannya. Contohnya Kod etika dalam  bidang kehakiman, kedoktoran, pendidikan dan sebagainya.
5.1.1 KOD ETIKA KEDOKTORAN
Persatuan Perubatan Dunia telah menjadikan Deklarasi Geneva pada tahun 1947 sebagai etika dalam bidang perubatan iaitu :
- Doktor berikrar dengan sesungguhnya untuk mendidikasikan hidupnya untuk perkhidmatan kemanusiaan
- Doktor akan memberikan penghormatan kepada guru dan rasa terhutang budi kepada mereka.
- Doktor akan melaksanakan professionnya dengan ikhlas dan berintegrasi.
- Kesihatan pesakit adalah keutamaan.
- Doktor akan memelihara rahsia yang diamanahkan
- Doktor akan mengekalkan sedaya upaya dalam kekuasaan integriti dan tradisi professional perubatan
- Sahabat adalah saudara
- Doktor tidak akan membenarkan pertimbangan agama, kerakyatan, keturunan, parti politik atau kedudukan sosial mempengaruhi tanggungjawab terhadap pesakit.
- Doktor akan mengekalkan integriti kehidupan manusia sejak awal walaupun di bawah ancaman dan tidak akan menggunakan pengetahuan peribatan bertentangan dengan undang-undang kemanusian.
- Doktor melakukan janji ini dengan penuh ikhlas, bebas dan integriti.
Hasil  Deklarasi Geneva pada tahun1947 tersebut akhirnya dijadikan sebagai  asas kepada penggubalan kod etika perubatan dunia. Sebanyak enam kod  etika perubatan yang diteripakai secara menyeluruh dalam bidang  perubatan iaitu :
- Seorang doktor mestilah mengekalkan standard (tahap pencapaian) yang tinggi dalam tingkah laku profesional
- Seseorang doktor mestilah melaksanakan profesionalnya tanpa dipengaruhi oleh motif untuk mencari untung
- Berikut ini dikira sebagai tindakan beretika:
- Sebarang iklan peribadi kecuali yang diluluskan oleh kod etika
- Perubatan kebangsaan bersubahat dengan sebarang bentuk perkhidmatan perubatan di mana doktor tidak mempunyai kebebasan profesionalnya.
- Menerima sebarang wang yang dikenakan kepada pesakit selain dari bayaran profesional perubatan yang sebenarnya walaupun dengan pengetahuan pesakit
- Sebarang tindakan atau nasihat yang boleh melemahkan rangsangan fizikal dan mental manusia hanya boleh dilakukan untuk kepentingan pesakit.
- Seorang doktor dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dalam menggunakan penemuan baru atau teknik-teknik rawatan baru.
- Seorang doktor diberikan kebenaran atau kuasa terhadap bidang kepakaran sahaja.
Etika Tanggungjawab Doktor Kepada Pesakit
- Seorang doktor mestilah sentiasa mempunyai sikap untuk menyelamatkan nyawa pesakit.
- Seorang doktor mestilah mendedikasikan sepenuh tumpuan dan segala sumber ilmu pengetahuannya kepada pesakitnya. Apabila penghuraian atau rawatan diluar batas keupayaannya, ia mesti cuba mendapatkan bantuan perkhidmatan doktor yang memiliki keupayaan yang diperlukan.
- Seorang doktor mestilah memelihara sepenuhnya kerahsiaan semua perkara yang ia tahu berkaitan pesakitnya kerana kepercayaan yang di berikan kepadanya.
- Seorang doktor mestilah memberikan perhatian kecemasan sebagai tanggungjawab kemanusiaan kecuali ia yakin orang lain mahu dan boleh melakukannya.
Etika Tanggungjawab Doktor Sesama Doktor
- Seorang doktor berkewajiban melayani rakan sejawatnya sepertimana ia mengharapkan layanan yang sama dari orang lain
- Seorang doktor tidak boleh mengambil pesakit dari rakan-rakannya.
- Seorang doktor mestilah mematuhi prinsip Deklarasi Geneva.
5.1.2 KOD ETIKA PERGURUAN
Guru  mempunyai tanggungjawab yang besar dalam membimbing pelajar untuk  mencapai kemajuan sepenuhnya dalam kehidupan mereka. Bagi menjamin  matlamat tersebut tercapai para guru dalam menjalankan tugas dan  tanggungjawab, mereka perlu mematuhi kod etika perguruan yang telah  ditetapkan. Kod etika perguruan dirumuskan kepada empat perkara perkara  pokok iaitu tanggungjawab terhadap pelajar, tanggungjawab terhadap ibu  bapa, tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara dan tanggungjawab  terhadap rakan sejawat dan profesion perguruan.
A. Tanggungjawab Terhadap Pelajar
- Lebih mengutamakan kebajikan dan keselamatan pelajar kami dari hal-hal lain.
- Bersikap adil terhadap setiap orang pelajar tanpa mengira faktor-faktor jasmani, mental, emosi, politik, ekonomi, sosial, keturunan dan agama.
- Merahsiakan maklumat iktisas atau sulit mengenai pelajar, kecuali kepada mereka yang berhak mengetahuinya.
- Membimbing atau mengajar seoarang pelajar dalam darjah sendiri atau dalam mata pelajaran – mata pelajaran yang diajar di bilik darjah tanpa sebarang bayaran.
- Menunjukkan sesuatu cara pakaian, pertuturan dan tingkahlaku yang dapat memberikan contoh yang baik kepada pelajar
- Memelihara dan memperbaiki kecekapan iktisas melalui pengkajian, penyelidikan, lawatan dan menghadiri kursus iktisas, persidangan, mesyuarat atau seminar supaya pengajaran kami mencapai mutu yang setingginya.
B. Tanggungjawab Terhadap ibu bapa
- Menghormati tanggungjawab utama ibu bapa terhadap anak-anak mereka
- Berusaha mewujudkan hubungan mesra dan kerjasama yang erat di antara institusi pendidikan dengan rumah tangga
- Menganggap semua maklumat yang diberikan oleh ibu bapa mengenai keadaan rumah tangga atau mengenai anak mereka sebagai sulit dan tidak membocorkannya kepada sesiapa, kecuali kepada mereka yang berhak mengetahuinya
- Memberikan maklumat kepada ibu bapa demi kepentingan anak-anak mereka dan menggunakan maklumat yang diterima daripada ibu bapa secara teliti dan bijaksana.
- Mengelakkan diri daripada menggunakan atau dipengaruhi oleh kedudukan sosial dan ekonomi ibu bapa pelajar.
- Mengelakkan diri daripada mengeluarkan kata-kata atau melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan kepercayaan pelajar terhadap ibu bapa atau penjaga mereka.
C. Tanggungjawab Terhadap Masyarakat dan Negara
- Mengelakkan diri dari menyebarkan sesuatu ajaran yang boleh merosakkan kepentingan pelajar, masyarakat atau negara, ataupun yang bertentangan dengan rukun negara.
- Memupuk setiap pelajar dengan sikap dan nilai yang dapat membantu dan membimbing mereka untuk menjadi warganegara yang taat setia, bertanggungjawab dan berguna, menghormati orang-orang yang lebih tua dan menghormati adanya perbezaan kebudayaan, keturunan dan agama.
- Menghormati masyarakat tempat kami berkhidmat dan memenuhi segala tanggungjawab sebagai seorang warganegara dan sentiasa sanggup mengambil bahagian dalam sebarang kegiatan masyarakat.
- Memberi sumbangan yang cergas untuk meninggikan kehidupan moral kebudayaan dan kecendiakawanan masyarakat.
- Berpegang kepada tingkah laku bersopan yang diterima oleh masyarakat dan menjalani kehidupan kami sehari-hari dengan baik.
D. Tanggungjawab Terhadap Rakan Sejawat dan Profesion Perguruan
- Mengelakkan diri daripada membuat sebarang kenyataan atau ulasan yang boleh mencemarkan nama baik seorang guru di hadapan pelajar atau ibu bapa, atau berbuat sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah seoarang guru.
- Tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh menjejaskan kecekapan kami sebagai guru.
- Berusaha dengan sepenuhnya menunaikan tanggungjawab kami dengan rajin dan bersungguh-sungguh dan mengekalkannya sejajar dengan kemajuan iktisas dan sosial.
- Sentiasa bersedia membantu rakan sejawat kami, terutamanya mereka yang baru dalam profesion perguruan
- Sentiasa mengawasi diri kami supaya tidak mencemarkan nama baik profesion perguruan.
- Akan menjadi ahli sebuah pertubuhan guru.
Berdasarkan  kepada kod etika perguruan yang telah disenaraikan tadi menunjukkan  kepada kita betapa prihatinnya pihak-pihak yang terlibat untuk menjamin  masa depan profesion perguruan berada pada tahap yang sepatutnya. Ukuran  kejayaan seorang guru bukanlah hanya sekadar berjaya dalam pengajaranya  tetapi haruslah juga mempunyai sahsiah yang mulia agar guru sentiasa  dihormati oleh pelajar secara khususnya dan masyarakat amnya.
5.1.3 KOD ETIKA PERBANKAN / PERNIAGAAN            
Bank  merupakan sebuah institusi keewangan yang menjalankan operasinya  berasaskan kepada peraturan-peraturan yang telah ditetapakan. Walaupun  sesebuah bank bertaraf swasta dan mempunyai matlamat untuk mendapatkan  keuntungan dalam operasinya, dimasa yang sama bank-bank tersebut terikat  dengan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan yang bertujuan untuk  memastikan tidak berlakunya unsur-unsur penipuan dan penindasan kepada  pelanggannya. Kod etika bank yang telah dibentuk adalah merangkumi :
- Kejujuran
- Keadilan
- Kerahsiaan
- Integriti
Etika Bank Elak Konflik Kepentingan
Sebagai  jaminan supaya tidak berlakunya konflik kepentingan individu,  kakitangan bank terikat dengan beberapa kod etika dalam menajalankan  tugas mereka iaitu :
- Kakitangan bank tidak boleh berurusan dengan pelanggan yang mempunyai kepentingan samada sebagai pemilik tunggal, secara kongsi, pemilik saham, memberi pinjaman atau orang yang berhutang. Jika hal ini berlaku, ia perlu dilaporkan serta merta kepada pegawai atasan.
- Kakitangan juga tidak dibenarkan mendakwa pihak pengurusan atau dilantik sebagai pendakwa, pentadbir atau pemegang amanah harta pelanggan. Melainkan mendapat kebenaran dari lembaga pengarah atau sebagainya.
- Kakitangan bank tidak dibenarkan menjalankan kerja-kerja luar selain daripada tugas rasmi institusi keewangan di tempat ia bekerja pejabat waktu pejabat kecuali mendapat kebenaran daripada majikan.
- Kakitangan bank juga tidak boleh menerima pemberian yang mahal seperti hadiah dari pelanggan dan pembekal. Namun hadiah sempena perayaan yang tidak mempunyai nilai komersial dibenarkan jika tidak mempengaruhi tugas kerja.
- Kakitangan bank tidak meminta atau memaksa pelanggan supaya memberinya hadiah. Ini bertentangan dengan Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989. Jika disabit kesalahan, seseorang itu boleh didenda tidak lebih daripada RM 10 juta atau dipenjara selama 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Kewartawanan  merupakan satu bidang kerja yang penting kerana ianya  berkaitan dengan  penyebaran maklumat. Justeru,  bagi pihak yang terlibat dalam bidang  ini haruslah sentiasa memastikan mereka tidak tergelincir dari landasan  sebenar sebagai seorang wartawan. Pengabaian terhadap etika kewartawanan  akan berlakunya penyebaran berita palsu atau fitnah yang akhirnya akan  merugikan banyak pihak dalam sesebuah negara dan akan menyebabkan  nilai-nilai kemanan dan kesejahteraan tergugat. Sehubungan dengan itu  beberapa etika kewartawanan telah ditetapkan bagi memastikan profesion  kewartawanan sentiasa berada pada kedudukan yang sebenarnya iaitu :
- Laporan harus benar-benar bijak dan tepat supaya peristiwa yang dilaporkan memberi erti atau sumbangan kepada kehidupan manusia.
- Orang ramai harus diberi kesempatan untuk menyampaikan fikiran , ulasan atau teguran.
- Liputan luas harus diberi mengenai kegiatan yang boleh dijadikan contoh oleh satu golongan dari hal golongan lain dalam masyarakat.
- Laporan harus meliputi tindak tanduk manusia yang boleh dihargai atau di teladani samada yang kebaikan atau keburukan dengan kesan dan akinatnya.
- Laporan luas patut dibuat tentang kwjayaan usaha manusia, hasil ciptaan atau kebijaksanaanya dari semasa kesemasa.
- Menghormati kebenaran dan hak orang ramai untuk membaca laporan yang benar
- Mempertahankan dua prinsip penting : kebebasan mencari dan mencetak laporan secara jujur dan hak mengulas dan menegur secara adil
- Laporan dibuat harus berdasarkan fakta-fakta yang jelas dari sumber yang jelas dan sah.
- Cara yang digunakan untuk mendapat berita, gambar dan dokumen penting hendaklah secara jujur dan adil.
- Setiap wartawan hendaklah sanggup menyiarkan kembali kenyataan yang benar jika kesilapan berlaku dalam laporan pertama.
- Berita yang didapati “persetujuan mendedahkan sumbernya” hendaklah dipelihara dengan teguh.
- Elakan kesalahan besar dengan sengaja termasuk plagiarisme, fitnah, umpat, tohmah, caci, tuduhan tanpa asas, rasuah dalam bentuk apa sekalipun dengan dorongan supaya dicetak atau disembunyikan sesuatu.
- Tindak-tanduk kepada sebarang tekanan, paksaan atau ancaman untuk mempengaruhi keputusan terhadap laporan, cerita atau alasan yang difikirkan penting dan patut diketahui umum.
Untuk memastikan anda faham tajuk ini, sila lakukan aktiviti berikut …………….
AKTIVITI 5 A
Jawab soalan-soalan berikut :
5.1 Etika Keprofesionalisme bermaksud ___________________________________
_______________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________
5.2 Senaraikan EMPAT profesion yang mempunyai etika profesionalnya yang tersendiri
1.___________________________    3.______________________________
2.___________________________    4.______________________________
5.3 Mengapakah Etika Profesionalisme itu penting kepada sesuatu profesion ?
Bolehkah anda menjawab soalan-soalan tadi… kalau tak boleh anda perlu membuat ulangkaji yang lebih …. OK mari kita semak jawapan anda…
MAKLUMBALAS AKTIVITI 5 A
5.1 Etika Profesionalisme bermaksud  satu set peraturan atau undang-undang yang telah ditetapkan yang  mempunyai hubungkait dengan satu-satu bidang kerjaya yang bertujuan  untuk memastikan setiap bidang kerjaya tersebut mencapai matlamat  sasarannya
5.2 EMPAT profesion yang mempunyai Etika Profesional:
1. Wartawan
2. Doktor
3. Guru
4. Perbankan
5.3 Etika Keprofesionalan penting kerana :
1. Menjadi garispanduan kepada sesuatu profesion
2. Untuk mencapai matlamat dan sasaran dalam kerjaya
3. Memastikan sesuatu profesion itu dihormati 
4. Mengelakkan sebarang pertindihan kepentingan
5. Menjadikan sesuatu profesion itu “ baik ” dari perspektif moral
5.2 BUDAYA KERJA NEGATIF
Dalam  suasana kerja yang semakin maju dan kompleks, kita akan dapati bahawa  untuk berjaya dalam sesuatu kerja, seseorang itu memerlukan lebih  daripada sekadar rajin dan tekun bekerja serta berdedikasi walaupun kita  tidak dapat menafikan kepentingan kualiti-kualiti tersebut. Budaya  seperti inilah yang diperlukan untuk menjayakan sesebuah organisasi.    Sebaliknya, terdapat juga budaya kerja negatif yang boleh menyekat  kejayaan dan kecemerlangan sesebuah organisasi. Antara contoh budaya  kerja negatif yang berlaku di pejabat-pejabat dan organisasi-organisasi  ialah politik pejabat      ( Office –Politics ), lompat kerja, budaya kiasu serta kronisme dan nepotisme.
5.2.1 OFFICE POLITICS ( POLITIK PEJABAT )
Mengikut  pakar pengurusan, politik pejabat atau politik tempat kerja dimaksudkan  sebagai memburu minat sendiri apabila menghadapi suatu tentangan yang  nyata ataupun yang dibayangkan. Pada masa yang sama, politik juga tidak  semestinya berupa penyimpangan , berunsur penipuan ataupun  ketidakikhlasan. Pendek kata aktiviti politik pasti akan wujud dalam  setiap proses pengurusan. Ada berbagai-bagai cara dan taktik yang akan  digunakan oleh pekerja-pekerja “politikus” ini dalam mendapatkan  cita-citanya. Antaranya ialah :
- Cuba menaikkan kedudukan dan reputasinya dengan mengumpan situasi yang boleh mendatangkan kehormatan atau nama baik dan tanggapan yang positif terhadap dirinya – contohnya mengaku atau menerima kehormatan atau kepujian bagi kerja-kerja yang dibuat oleh pekerja lain.
- Memuji secara berlebihan terhadap seseorang yang mempunyai kuasa untuk menentukan perkembangan kerjayanya pada masa hadapan.
- Taktik politik dua hala iaitu dengan menolong seseorang itu agar ia diyakini oleh pekerjanya ataupun ia menolong menutup atau mengelakkan seseorang yang telah melakukan kesilapan itu dari mendapat malu di khalyak pekerja lain.
- Cuba mewujudkan suasana berpuak-puak di mana satu puak mempunyai kuasa yang lebih daripada yang lain.
- Menjatuhkan nama baik dan maruah individu lain.
Budaya politik pejabat yang tidak sihat ini boleh mendatangkan kesan-kesan negatif kepada sesebuah organisasi , antaranya ialah :
- Mengganggu keberkesanan dan produktiviti organisasi apabila kehendak sendiri diutamakan berbanding kehendak organisasi.
- Boleh melumpuhkan seseorang pekerja itu untuk maju ke hadapan
- Mewujudkan budaya kerja yang tidak ikhlas
- Melemahkan kepercayaan antara satu sama lain
5.2.2 LOMPAT KERJA
Lompat  kerja ialah suatu tindakan seseorang yang suka melakukan perpindahan  kerja dari satu tempat kerja ke tempat yang lain. Ia sudah dianggap  sebagai satu kebiasaan di dalam dunia pekerjaan pada hari ini. Perbuatan  ini adalah didorong oleh beberapa faktor antaranya :
- Keinginan untuk mendapatkan pendapatan yang lumayan
- Pengaruh rakan sebaya
- Kerja yang tidak sesuai dengan kebolehan diri
- Menambah pengalaman sedia ada
- Terdapat masalah dalaman yang berlaku di dalam sesebuah organisasi
Kesan  daripada isu lompat kerja ini ialah sesebuah organisasi itu akan  kehilangan tenaga-tenaga pakar dan profesional dan seterusnya akan  mengganggu kelancaran organisasi tersebut. Tindakan mereka ini juga akan  mendorong pekerja-pekerja lain untuk mengamalkan budaya lompat kerja  ini. 
5.2.3 KRONISME DAN NEPOTISME
Istilah “Kronisme” diambil dari perkataan Inggeris “ crony ” yang membawa maksud  konco , sahabat ,teman atau kakitangan. Nepotisme juga berasal dari perkataan Inggeris “nepotism”  yang bermaksud pilih keluarga atau yang ada hubungan persaudaraan.  Budaya Kronisme dan Nepotisme boleh diertikan sebagai mengutamakan  sahabat handai, “klik”, ahli keluarga atau yang mempunyai talian  persaudaraan dalam sesuatu urusan dan pekerjaan yang hendak dilakukan.  Antara punca amalan kronisme dan nepotisme ini berlaku ialah kerana  hendak menjaga hubungan persahabatan atau persaudaraan yang telah sedia  terjalin. Pihak pengurusan sudah semestinya bimbang akan perkara ini  kerana ia kadangkala boleh memutuskan hubungan tersebut. Kesan daripada  budaya ini ialah sesuatu pekerjaan itu tidak dapat dilakukan dengan  cemerlang kerana kriteria utama dalam pemilihannya ialah kerana ada  hubungan persahabatan atau persaudaraan dengan pihak pengurusan.  Orang-orang yang mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut akan  diabaikan kerana budaya negatif ini. Ini akan menyebabkan mereka akan  hilang minat untuk memberikan sumbangan yang terbaik dalam organisasi  tersebut. Selain daripada itu, budaya ini juga boleh melonggarkan  hubungan antara staff atau kakitangan yang terbabit. Hasil kerja sesuatu  organisasi juga akan terjejas sekiranya  ia dilakukan oleh oleh  orang-orang yang tidak berkelayakan. 
5.2.4 BUDAYA KIASU
Budaya  Kiasu bermaksud kegilaan atau kerakusan dalam mengejar kemewahan tanpa  menghiraukan orang lain. Budaya ini mempunyai banyak perkaitan dengan  sikap materialistik atau mementingkan kebendaan. Perlakuan ini adalah  fitrah semulajadi manusia, namun ia akan berubah menjadi berbahaya jika  tidak dikawal dan dibendung. Punca utama terjadinya budaya ini ialah  kerana ingin menikmati kemewahan yang lebih. Dorongan nafsu yang kuat  mendorong seseorang menindas dan menganiayai orang lain demi untuk  mengejar kemewahan duniawi. Walaupun hati mengakui perbuatan itu salah  namun akal tidak mampu untuk mengalahkan keinginan nafsu yang telah  menguasai pemikiran individu tersebut. Contohnya, walaupun tahu berzina  itu perbuatan terkutuk ,namun  ia masih dilakukan demi untuk mengejar  kemewahan dan kesenangan hidup tanpa menghiraukan pertimbangan agama,  moral dan masyarakat.  
Kesan  budaya kiasu ialah berlakunya penindasan ke atas hak orang lain. Ia  juga boleh membawa kepada hubungan yang tidak sihat di kalangan ahli  sesebuah organisasi. Selain itu, ia juga boleh melalaikan seseorang  daripada tugasan utamanya kerana terlalu asyik mengejar kemewahan.
AKTIVITI 5 B
Jawab soalan-soalan berikut :5.4 Berikan pengertian ringkas istilah-istilah berikut :
a) “Office Politics” ( Politik Pejabat )
b) Lompat Kerja
c) Budaya Kiasu
5.5 Bezakan antara Kronisme dan Nepotisme.
5.6 Berikan TIGA sebab mengapa seseorang itu mengamalkan budaya kiasu.
Mari kita semak jawapan anda…..
MAKLUMBALAS AKTIVITI 5 B
5.4  Pengertian istilah istilah :
    a) Office Politics ialah satu bentuk etika kerja yang negatif seperti mengampu  
         majikan, memfitnah rakan-rakan, suka bermuka-muka atau berpura-pura di hadapan 
         ketua.
    b) Lompat kerja ialah suatu tindakan seseorang yang suka melakukan perpindahan 
        kerja dari satu tempat kerja ke tempat yang lain. 
    c) Budaya Kiasu ialah kegilaan atau kerakusan dalam mengejar kemewahan tanpa 
        menghiraukan orang lain. Budaya ini mempunyai banyak perkaitan dengan sikap 
        materialistik atau mementingkan kebendaan
- Kronisme bermaksud mengutamakan sahabat handai dan konco-konco dalam
       sesuatu 
       urusan atau pekerjaan yang hendak dilakukan manakala Nepotisme pula  
       mengutamakan ahli keluarga atau yang mempunyai hubungan persaudaraan .
5.6 Tiga sebab mengapa seseorang itu mengamalkan Budaya Kiasu :
     a) Ingin menikmati kemewahan yang lebih
     b) Dorongan nafsu yang kuat mengatasi pertimbangan akal
     c) Kurang pegangan agama dan nilai-nilai moral
5.3 PERANAN INDIVIDU DALAM KERJAYA
Alam  pekerjaan merupakan suatu alam yang mencabar seseorang. Seseorang  pekerja itu perlu menguasai dan mendalami kemahiran-kemahiran tertentu  sebelum melangkah ke alam pekerjaan. Teori-teori yang diperolehi semasa  menuntut di kolej atau universiti adalah tidak memadai jika tidak  disertai dengan kemahiran-kemahiran untuk membolehkannya  menjadi  seorang pekerja yang cekap dan berjaya. Antara kemahiran –kemahiran yang  perlu dikuasai oleh seseorang pekerja ialah hubungan atau interaksinya  dengan pihak-pihak lain seperti majikan ( ketua ) , rakan sekerja dan  juga pelanggan.
i. Hubungan Dengan Majikan
     Hubungan yang baik dengan majikan adalah penting kerana mereka  merupakan orang pertama yang akan dihubungi oleh seseorang pekerja  apabila berhadapan dengan sesuatu masalah yang berkaitan dengan  pekerjaannya. Budaya menghormati majikan perlu diwujudkan supaya setiap  arahan yang diberikan akan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya. Selain  itu, perjumpaan dengan ketua juga penting untuk mewujudkan komunikasi  dua hala bagi mendapatkan maklumat-maklumat mutakhir organisasi. 
ii. Hubungan Dengan Rakan Sekerja
     Rakan sekerja merupakan orang yang sentiasa berada di sekeliling kita  dalam menjalankan kerja-kerja kita seharian. Oleh itu, seseorang pekerja  harus menjalinkan hubungan yang baik dengan rakan sekerjanya . Jika  wujud hubungan yang tidak baik di kalangan rakan sekerja, maka akan  berlaku suasana tidak harmoni di tempat kerja. Kesannya, matlamat  organisasi tersebut tidak akan dapat dicapai dengan sempurna. Oleh itu ,  sikap hasad dengki, ego , mementingkan diri sendiri dan tidak  menghormati rakan sekerja perlu dikikis untuk kejayaan sesebuah  organisasi.    
iii.Hubungan Dengan Pelanggan
     Setiap organisasi mempunyai piagam pelanggannya yang tersendiri yang  berperanan untuk menentukan garis panduan  ketika berurusan dengan  pelanggan. Pelanggan amat penting kepada sesebuah organisasi     kerana  merekalah yang akan menentukan keberkesanan sesuatu  projek atau produk  yang dihasilkan . Oleh itu, seseorang pekerja yang berurusan dengan  pelanggan perlu mematuhi piagam pelanggan yang telah ditetapkan untuk  menjadikan organisasinya dihormati dan mendapat penghargaan pelanggan.
5.3.1 CIRI-CIRI PEKERJA YANG BAIK
     Dalam menempuh alam pekerjaan di zaman ini, kita akan dapati bahawa  untuk berjaya dalam pekerjaan, seseorang memerlukan lebih daripada  sekadar rajin dan tekun bekerja dan berdedikasi walaupun tidak dapat  dinafikan kepentingan kualiti-kualiti tersebut. Bagi seseorang pekerja  yang ingin berjaya dan kreatif dalam kerjaya, beliau perlu menghadapi  cabaran. Cabaran perlu untuk mendorong kita berusaha untuk mencapai  hasil dalam masa yang ditentukan atau mencapai hasil yang baik dengan  masa yang sedikit. 
     Perbezaan antara pekerja yang cekap dan berkesan ialah dari segi  melaksanakan sesuatu tugas yang diberikan . Kecekapan dalam kerja  bermakna melaksanakan kerja dengan betul seperti yang dikehendaki  manakala keberkesanan ialah melaksanakan kerja yang diberikan dengan  tepat. 
     Antara perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh seorang pekerja  ialah objektif dan hasil sesuatu tugas itu. Perkara ini penting dalam  kerja seharian kita , terutama sekali apabila kita menghadapi tekanan  kerana terlalu banyak kerja yang perlu diuruskan. Sesuatu kerja akan  menjadi kelam kabut dan tidak menentu apabila tiada panduan dari segi  objektif dan hasil yang perlu diusahakan. 
     Di samping memberikan perhatian kepada objektif dan hasil kerja,  pekerja juga harus melihat dan menilai kembali objektifnya sekerap yang  mungkin. Ini disebabkan objektif dan hasil yang diharapkan oleh pihak  pengurusan akan berubah-ubah mengikut keadaan.  Pekerja yang bijak dan  cekap selalunya produktif. Mereka tahu perkara yang penting dalam kerja  mereka bukanlah bilangan kerja yang dapat mereka uruskan, tetapi yang  menentukan kejayaan dan produktiviti dalam kerja ialah kerja yang dapat  disiapkan dan yang boleh menunjukkan hasil. 
5.4 JENAYAH KOLAR PUTIH    
Dalam  sesebuah masyarakat, baik di mana mereka berada, di Timur atau di Barat  , kejadian jenayah adalah suatu perkara yang tidak boleh dielakkan.  Jenis-jenis jenayah yang dilakukan oleh individu adalah berbeza-beza  mengikut kaum, bangsa, status sosial, umur dan jantina. Dalam sesebuah  masyarakat, jenayah bukan saja dilakukan oleh individu yang tidak  berpelajaran atau berpendidikan, tetapi di kalangan pekerja yang  berpendidikan tinggi pun jenayah tetap berlaku. Hanya jenayah yang  mereka lakukan sahaja lebih canggih dan sukar dikesan.
Jenayah  yang sering dilakukan oleh golongan berpendidikan tinggi, berpengaruh  dan dihormati adalah jenayah yang dikenali sebagai “ Jenayah Kolar Putih “. Jenayah ini selalunya dilakukan untuk mengaut keuntungan peribadi. Antara contoh jenayah ini ialah seperti :
- Seorang eksekutif di sesebuah syarikat yang memberikan pinjaman kepada individu tertentu di mana beliau sendiri adalah rakan kongsi dalam perniagaan itu.
- Doktor yang melakukan pembedahan yang tidak perlu , hanya untuk mendapatkan wang.
- Ahli perniagaan yang dengan sengaja membesar-besarkan perbelanjaannya.
5.4.1 RASUAH 
Antara  bentuk-bentuk jenayah kolar putih yang sering berlaku (major ) di  kalangan masyarakat kita ialah rasuah atau korupsi. Ia bermaksud suatu  perbuatan atau tindakan seseorang atau kumpulan yang memberi atau  menerima sesuatu bagi mendapatkan sesuatu keistimewaan. Rasuah yang  salah di sisi undang-undang ialah perbuatan yang melanggar peraturan  atau undang-undang. Rasuah boleh berlaku dalam banyak cara. Antara  bentuk-bentuk rasuah ialah :
- Wang dan harta
- Kedudukan dan pengaruh
- Balasan,ganjaran, diskaun, komisen dan bonus
- Tawaran dan akujanji
- Perkhidmatan dan pertolongan
- Peluang dan kesempatan
- Kepentingan, keistimewaan dan hak milik
Tahukah anda bagaimana rasuah itu berlaku …….. Sebenarnya kita boleh mengkategorikan rasuah seperti berikut….
- KATEGORI RASUAH
Secara umumnya rasuah boleh dikategorikan seperti berikut :
Politik WangRasuah
Pecah AmanahSalahguna Kuasa
Penipuan
Pecah  amanah bermaksud seseorang yang menyalahgunakan kepercayaan dan  tanggungjawab yang diberikan kepadanya untuk kepentingan peribadinya  ataupun orang lain yang ada hubungan dengannya. Contohnya seperti  pegawai-pegawai yang sanggup melakukan bermacam-macam aktiviti yang  tidak beretika kerana lebih mengutamakan arahan ketua daripada  undang-undang kerajaan. 
Penipuan  bermaksud suatu perbuatan curang atau dalam bentuk kata-kata dusta  dengan tujuan untuk memperdaya orang lain. Contohnya , seorang pegawai  yang menipu ketuanya dengan tujuan untuk mendapat  keistimewaan-keistimewaan tertentu dalam organisasinya.
Salahguna  kuasa pula bermaksud seseorang yang menggunakan kedudukan dan pangkat  yang ada padanya untuk kepentingan peribadi. Perbuatan ini dilakukan  oleh golongan  yang  mempunyai pangkat dan pengaruh dalam sesebuah  organisasi. Contohnya,  seseorang pegawai yang meluluskan kontrak kepada  pihak-pihak tertentu dan menerima wang atau keistimewaan-keistimewaan  tertentu sebagai balasannya.
Politik  wang pula bermaksud pemberian sogokan ( rasuah ) dalam konteks politik  dalam bentuk wang ringgit, lesen, tender, saham, kemudahan istimewa,  jawatan, percutian dan sebagainya. 
5.4.3 JENAYAH KOMPUTER
 Pengetahuan  terhadap penggunaan komputer bukan lagi satu perkara yang menghairankan  dalam masyarakat kita. Sebaliknya sudah agak ketara sekarang bahawa  kita sudah bergantung secara total terhadap komputer untuk terus hidup  dalam masyarakat moden ini. Maka kewujudan komputer dalam bidang  pekerjaan juga tidak dapat dinafikan. Jenayah komputer bermaksud  sebarang perbuatan yang salah di sisi undang-undang dengan menggunakan  sistem komputer seperti mencuri maklumat atau wang. Secara tidak  langsung, jika tiada satu tindakan awal tidak digubal untuk mematahkan  komplot jenayah komputer ini, ia boleh menjadi satu aktiviti yang utama  pada masa akan datang. Bermacam-macam cerita pernah didengar tentang  program yang tersilap dalam komputer. Contohnya seperti jumlah akaun  simpanan wang yang bertukar jumlahnya dan ada kalanya hilang terus .  Kadang-kadang memori komputer terhapus , bayaran yang telah dijelaskan  timbul semula dan sebagainya. Jenayah komputer agak sukar untuk dikesan.  Contohnya di Amerika, seorang teller wang yang telah menggelapkan wang  sebanyak 1.5 juta , mengambil masa tiga tahun sebelum pihak pengurusan  dapat mendedahkan kes itu.
Jenayah  seperti ini sudah tentu dilakukan oleh orang-orang yang mempunyai  pengetahuan yang mendalam tentang sistem dan program komputer. Jenayah  komputer boleh berlaku dalam berbagai-bagai bentuk sama ada manipulasi,  membuang, menukar , mengubahsuai atau merosakkan data dan maklumat dalam  komputer. Komputer telah digunakan untuk melesap, memanipulasi, mencuri  wang atau barang lain dan maklumat rahsia. Oleh itu komputer juga boleh  dijadikan sahabat setia dalam sebarang angkara komputer. 
- FAKTOR-FAKTOR JENAYAH KOLAR PUTIH
Secara  umumnya, faktor-faktor yang menggalakkan berlakunya jenayah kolar putih  ini boleh dikategorikan kepada tiga faktor asasi ( utama ) iaitu :
- Kelemahan kawalan dalam diri
- Kelemahan kawalan dalam organisasi ( jabatan )
- Wujudnya peluang
Kurang pegangan agama
Ego untuk menunjukkan kekayaan
Suka berjudi dan berhutang
Kelemahan kawalan
dalam diri
Tamak untuk mengumpul harta dgn cepat
Ingin hidup mewah dengan cepat
Rajah  di atas menunjukkan kelemahan-kelemahan yang ada pada seseorang yang  boleh mendorongnya untuk melakukan jenayah kolar putih. 
Kelemahan kepimpinan
Kurang publisiti terhadap perkhidmatan jabatan
Kelemahan kawalan dalam jabatan
Kurang ketelusan dalam menjalankan tugas
Tiada saluran pengaduan pelanggan
Arahan yang tidak jelas
Rajah  di atas menunjukkan kelemahan-kelemahan yang ada dalam sesebuah  organisasi dan jabatan yang membuka ruang kepada individu-individu yang  berkepentingan untuk melakukan amalan rasuah dan korupsi.
Pembangunan yang tidak seimbang antara fizikal dan spiritual
Budaya tersirat golongan-golongan tersirat
Kelemahan dalam sistem pentadbiran
Wujudnya Peluang-peluang
Amalan tradisi dan budaya masyarakat yang suka memberi hadiah
Kelemahan peruntukan undang-undang
Rajah  di atas pula menunjukkan bahawa adanya peluang-peluang dan ruang-ruang  tertentu yang terdapat dalam sistem pentadbiran negara, perkhidmatan  awam, peruntukan undang-undang dan juga budaya masyarakat yang boleh  mendorong masyarakat untuk terjebak dalam jenayah kolar putih.
- BAHAYA DAN KESAN JENAYAH KOLAR PUTIH
Jenayah  Kolar Putih boleh mendatangkan kesan yang buruk dan membahayakan  individu, masyarakat dan juga negara. Antara kesan-kesannya ialah :
- Mengakibatkan kerosakan dan mencemarkan maruah, bangsa dan negara
- Ketidakadilan dalam pengagihan peluang dan sumber negara di kalangan rakyat
- Meningkatkan lagi inflasi dan kos hidup melalui naiknya harga barang dan perkhidmatan
- Mengundang pelbagai masalah dan penyakit sosial serta penyelewengan
- Mengancam keharmonian dan kesejahteraan rakyat.
- LANGKAH-LANGKAH PENCEGAHAN
Jenayah  Kolar Putih perlu dibendung dengan segera agar kestabilan dan  keharmonian masyarakat negara ini dapat dipelihara. Antara cadangan  langkah-langkah yang boleh dibuat ialah :
- Memantapkan lagi pendidikan agama dan moral di dalam institusi keluarga, sekolah dan masyarakat
- Penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas.
- Mengadakan kempen-kempen kesedaran melalui seluruh media massa dan jentera pentadbiran negara
- Menghidupkan budaya nasihat-menasihati dan tegur-menegur.
Kesimpulannya  jenayah kolar putih boleh meruntuhkan sistem kehidupan harmoni sesebuah  negara dan mengundang pelbagai penyakit soaial dalam masyarakat.  Pendidikan agama dan nilai-nilai mulia akan mampu membina kekuatan  dalaman seseorang bagi mengawal diri daripada terjebak dalam gejala ini.  Setiap individu pula hendaklah memainkan peranan masing-masing dengan  berkesan dalam memerangi jenayah ini dengan apa cara sekalipun.
AKTIVITI 5 C
Jawab soalan-soalan berikut :
5.7  Berikan pengertian Jenayah Kolar Putih  serta nyatakan contohnya.
5.8  Apakah faktor-faktor berlakunya Jenayah Kolar Putih?
5.9  Apakah yang dimaksudkan dengan Jenayah Komputer serta berikan contohnya?
5.10  Nyatakan EMPAT bentuk Rasuah .
Bolehkah anda menjawab soalan-soalan tadi… kalau tak boleh anda perlu membuat ulangkaji yang lebih …. OK mari kita semak jawapan anda…
MAKLUMBALAS AKTIVITI 5 C
5.7 Jenayah Kolar Putih bermaksud Jenayah yang sering dilakukan oleh golongan   
      berpendidikan tinggi, berpengaruh dan dihormati . Contohnya ialah seperti seorang   
      eksekutif di sesebuah syarikat yang memberikan pinjaman kepada individu tertentu di 
      mana beliau sendiri adalah rakan kongsi dalam perniagaan itu.
5.8  Faktor-faktor berlakunya Jenayah Kolar Putih :
i.  Kelemahan kawalan dalam diri
            ii. Kelemahan kawalan dalam organisasi ( jabatan )
iii.Wujudnya peluang 
5.9  Jenayah Komputer bermaksud sebarang perbuatan yang salah di sisi undang-
       undang dengan menggunakan sistem komputer seperti mencuri maklumat atau wang. 
       Contohnya seperti manipulasi, membuang, menukar , mengubahsuai atau 
       merosakkan data dan maklumat dalam komputer. 
5.10  Empat bentuk Rasuah :
- Wang dan harta
- Kedudukan dan pengaruh
- Balasan,ganjaran, diskaun, komisen dan bonus
- Tawaran dan akujanji
PENILAIAN KENDIRI
Jawab soalan-soalan berikut :
Soalan Satu.
Antara faktor-faktor berlakunya Jenayah Kolar Putih ialah kelemahan kawalan dalaman diri. Huraikan.
Soalan Dua.
Amalan Rasuah semakin berleluasa di kalangan masyarakat kita pada hari ini. Berikan pandangan anda untuk membendung gejala ini.
Soalan Tiga
Office Politics ( Politik Pejabat ), Lompat Kerja dan Budaya Kiasu adalah bentuk-bentuk etika kerja yang negatif. Jelaskan faktor-faktor berlakunya gejala ini.
Mari kita semak jawapan anda………..
MAKLUMBALAS KEPADA  PENILAIAN KENDIRI
1. Kelemahan kawalan diri :
i. Kelemahan dan kekurangan iman dan nilai-nilai kebaikan
ii. Sikap ingin hidup mewah melebihi punca pendapatan
iii.Tamak untuk mengumpul harta dan cepat kaya
iv. Keegoan untuk menunjukkan kekayaan
2. Langkah-langkah membendung gejala Rasuah :
- Memantapkan lagi pendidikan agama dan moral di dalam institusi keluarga, sekolah dan masyarakat
- Penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas.
- Mengadakan kempen-kempen kesedaran melalui seluruh media massa dan jentera pentadbiran negara
- Menghidupkan budaya nasihat-menasihati dan tegur-menegur.
3. Faktor-faktor berlakunya budaya Office Politics, Lompat Kerja dan Budaya Kiasu :
    i. Ingin hidup mewah dengan cepat
    ii. Kurang pengetahuan agama dan nilai-nilai murni
    iii. Dorongan nafsu yang mengatasi pertimbangan akal