UNIT 10
PEMBENTUKAN STRATEGI PEMASARAN GLOBAL
PERLETAKAN HARGA
OBJEKTIF AM
Mengetahui dan memahami tentang polisi-polisi harga, faktor-faktor yang mempengaruhi perubahan harga dan aspek-aspek pentadbiran harga
OBJEKTIF KHUSUS
Di akhir unit ini anda sepatutnya dapat :
Menerangkan polisi-polisi harga yang meliputi objektif harga, parallel imports, pendekatan terhadap penetapan harga antarabangsa dan leasing.
Menghuraikan faktor-faktor yang mempengaruhi perubahan harga iaitu kos eksport, cukai, tarif dan kos pentadbiran, turun naik pertukaran, perbezaan nilai matawang dan kos orang tengah.
Menjelaskan aspek-aspek pentadbiran harga iaitu penetapan harga mengikut kumpulan industri dan mengikut pengaruh kerajaan.
INPUT
10.0 PENGENALAN
Reformasi ekonomi seperti pembentukan Kesatuan Eropah membawa kepada peluang-peluang baru dalam pasaran dan persaingan. Apabila sesebuah syarikat global mencari pasaran maka harga merupakan satu alat persaingan yang penting. Pemasar berhadapan dengan set angkubah baru bagi setiap pasaran seperti tarif, kos, sikap, persaingan, turun naik matawang, kaedah penetapan harga / price quotation dan strategi pemasaran.
10.1 POLISI HARGA
Syarikat yang memasarkan produk di beberapa buah negara akan menghadapi pelbagai masalah berkait dengan polisi harga. Aktiviti harga banyak bergantung kepada negara tuan rumah, jenis produk, persaingan dan pelbagai factor lain. Harga dan syarat-syarat jualan tidak boleh dilakukan dengan hanya berasaskan kriteria domestik.
- Objektif Penetapan Harga.
Pemasar antarabangsa mempunyai dua pilihan dalam membuat keputusan mengenai penetapan harga:
- Harga digunakan sebagai satu alat untuk mencapai objektif pemasaran seperti mencapai tingkat jualan atau syer pasaran tertentu dalam jangkamasa tertentu. Sebagai contoh, pemasar menetapkan harga sebanyak RM450 bagi sebuah kamera untuk mencapai tingkat syer pasaran sebanyak 30% dalam pasaran kamera bagi tahun depan.
- Harga sebagai satu elemen yang stabil dalam keputusan perniagaan. Syarikat yang mengeksport inventori lebihan , tidak menekankan perniagaan luaran dan melihat jualan eksport sebagai satu sumbangan yang pasif kepada volum jualan keuntungan adalah objektif harga terpenting.
Jika sesebuah syarikat mempunyai kawalan yang lebih tinggi dalam menetapkan harga jualan sesuatu produk, maka kemampuannya untuk mencapai objektif atau matlamat pemasaran adalah lebih baik. Walaubagaimanapun, adalah sukar untuk mengawal harga akhir. Dalam keadaan seperti ini, syarikat akan menggunakan kaedah penentuan harga bersih kilang iaitu di mana harga yang diterima untuk barang apabila dihantar dari loji.
Proses pengawalan harga bagi pengguna akhir adalah lebih kompleks. Jika lini keluaran adalah lebih luas maka bilangan negara yang dieksport adalah lebih banyak. Selain dari menghadapi persaingan harga mengikut negara, produk sesebuah syarikat terpaksa melindungi dirinya dari persaingan dalam syarikat dan pelanggannya. Jika sesebuah syarikat besar tidak mempunyai kawalan yang berkesan, produknya akan bersaing dengan cawangan atau anak syarikatnya sendiri. Jika sesebuah syarikat yang besar tidak mempunyai kawalan yang berkesan, produknya akan bersaing dengan cawangan atau anak syarikatnya sendiri.
- “Parallel Imports”
Disebabkan harga sesuatu produk mungkin berbeza-beza di antara sesebuah pasaran, produk yang dijual di sesebuah negara mungkin dieskpot ke negara lain dan dengan harga yang lebih murah yang dikenakan di negara tersebut. Ini menyebabkan berlakunya masalah “parallel import” atau “gray market”. Contohnya syarikat pengeluar jam dari Jepun mengeksport produknya ke negara Filipina dengan harga yang agak rendah. Produk ini dieksport dari Filipina ke negara ke tiga di mana ia akan bersaing dengan produk yang sama yang telah dijual pada harga yang lebih tinggi. Parallel import akan menjejaskan tingkat harga. Ia berpunca dari persaingan harga yang tidak berkesan dan kurangnya kawalan dari pihak luar.
Parallel import terjadi apabila pengimport membeli produk dari pengedar dari sesebuah negara dan menjualnya semula ke negara lain kepada pengedar yang bukan menjadi ahli dalam sistem pengedaran pengeluar. Amalan ini memberi keuntungan yang tinggi jika perbezaan harga produk di negara-negara yang berlainan adalah tinggi.
Antara faktor-faktor yang mendorong pengedar untuk melakukan parallel import ialah:
- Perbezaan Dalam Nilai Matawang Diantara Sesebuah Negara Dan Negara Lain
Sebagai contoh, jika matawang Amerika Syarikat adalah tinggi berbanding matawang Jerman, produk keluaran syarikat Amerika yang dieksport ke Jerman akan dibeli dari pengedar Jerman pada harga yang rendah dan dijual semula ke Amerika Syarikat. Harga produk yang dijual semula di Amerika Syarikat akan menjadi lebih rendah dari yang sedia ada.
- Bekalan Produk Yang Terhad Dalam Sesuatu Pasaran Mengakibatkan Harga Yang Amat Tinggi.
Sebagai contoh bilangan Mercedes Benz yang terhad di pasaran Amerika Syarikat. Pasaran parallel import terjadi disebabkan kepulangan orang-orang Amerika Syarikat yang tinggal di Jerman.
- Sekatan Import Akibat Kuota Dan Tariff Yang Tinggi.
Sebagai contoh, negara India mempunyai struktur duti import tiga peringkat ke atas barangan komputer dari 50-80%. Hasil dari itu, sebahagian besar dari jualan komputer tempatan datang dari “gray market”.
- Perbezaan Harga Yang Besar Di Antara Negara.
Sebagai contoh peniaga di Jepun menetapkan harga yang tinggi terhadap barangan pengguna yang dijual di pasaran Jepun. Oleh itu harga barangan Jepun yang dijual di negara lain adalah lebih rendah dari di Jepun. Contohnya orang-orang Jepun membeli kamera buatan Jepun dari peruncit di New York melalui katalog dan menjualnya semula di Jepun pada harga yang lebih rendah dari harga pasaran Jepun. Tambahan pula, nilai Yen yang tinggi menyebabkan harga adalah tidak besar.
- Perbezaan Harga Adalah Besar Dari Kos Pengangkutan Di Antara Pasaran.
Perbezaan cukai dan struktur harga yang berbeza di antara sesebuah negara menyebabkan harga produk yang sama adalah berbeza di negara yang berlainan. Akibatnya sesebuah syarikat akan bersaing di sesebuah negara dengan produk keluarannya sendiri yang diimport dari negara lain pada harga yang rendah.
Bagi menghalang terjadinya “gray market”, sesebuah syarikat hendaklah :
- mempunyai sistem kawalan yang kukuh
- menetap dan memantau kawalan yang dapat polisi saluran agihan
Di sesetengah negara, pihak pemasar mendapat bantuan dari mahkamah. Sebagai contoh, di Taiwan, mahkamah telah memutuskan dua buah syarikat yang mengimport Coca Cola dari Amerika Syarikat ke Taiwan telah menyalahi undang hak-hak tandaniaga Syarikat Coca Cola dan pemegang lesen tunggalnya. Syarikat terbabit dilarang dari mengimport, memperagai atau menjual produk yang mempunyai tanda niaga Coca Cola. Walau bagaimanapun tidak semua negara mendapat sokongan seperti itu dari pihak mahkamah. Di negara Jepun, parallel import tidak menyalahi undang-undang.
Parallel import memberi kesan jangka panjang bagi produk yang mempunyai tandaniaga. Ini adalah kerana :
- kualiti barangan yang dibeli tidak terjamin
- tiada jaminan ditawarkan terhadap pembelian produk
- perkhidmatan selepas jualan yang sah tidak ditawarkan
- penjual tidak dapat memberi jaminan terhadap alat gantian yang sah
- Pendekatan Terhadap Penetapan Harga Antarabangsa.
- Penentuan Harga Kos Berubah vs Kos Penuh
Firma yang menetapkan harga barangan berasaskan kos hendaklah memastikan sama ada mereka memilih pendekatan kos berubah atau kos penuh.
- Penentuan Harga Kos Berubah
Firma hanya mementingkan kos-kos marginal atau kos tambahan dalam pengeluaran barangan yang dijual di pasaran luar negara. Mereka menganggapkan jualan luar negara sebagai satu jualan bonus dan menganggapkan pulangan ke atas kos berubah merupakan satu sumbangan kepada keuntungan bersih. Firma boleh menetapkan harga yang kompetitif di pasaran luar negara. Tetapi disebabkan firma menjual produk di luar negara pada harga bersih yang lebih rendah dari pasaran tempatan mereka boleh didakwa sebagai melakukan lambakan. Dengan ini mereka terdedah kepada antilambakan seperti tarif atau denda yang akan menjejaskan kelebihan bersaing mereka.
- Penentuan Harga Kos Penuh
Syarikat yang menetapkan harga produk mereka dengan menggunakan pendekatan ini menekankan bahawa semua barangan yang dijual adalah serupa. Tidak wujud perbezaan dari segi kos dan setiap unit produk menanggung bahagiannya dalam jumlah kos tetap dan kos berubah.
Kedua-dua polisi di atas digunakan oleh pemasar antarabangsa.
- Harga Penarahan Dan Penembusan
Keputusan sama ada untuk menggunakan penetapan harga tarahan atau penembusan bergantung kepada beberapa faktor iaitu tahap persaingan, inovasi produk dan ciri-ciri pasaran.
- Harga Tarahan
Polisi ini digunakan jika produk disasarkan kepada pasaran yang tidak sensitif dan sanggup bayar lebih untuk mendapatkan nilai. Polisi harga tarahan digunakan oleh pemasar dalam beberapa situasi iaitu jika
- bekalan adalah terhad bagi tujuan memaksimakan hasil jualan dan untuk memadankan permintaan dan penawaran.
- sesebuah syarikat itu adalah satu-satunya pengeluar produk baru tersebut atau yang inovatif bagi tujuan untuk memaksimakan keuntungan sehingga persaingan memaksa harga diturunkan.
- sesuatu pasaran itu mempunyai dua tahap pendapatan – iaitu yang kaya dan miskin.
Kos merupakan halangan utama penetapan harga yang akan menarik perhatian dan minat pasaran berpendapatan rendah supaya pemasar menetapkan harga yang tinggi dan mengagihkan produk kepada golongan berpendapatan tinggi.
- Penembusan
Polisi harga penembusan dugunakan untuk menggalakkan perkembangan pasaran dan mendapatkan syer pasaran dengan menawarkan produk pada harga yang rendah. Polisi ini sering digunakan untuk memperolehi dan pertahankan syer pasaran sebagai satu cara untuk mengawal persaingan. Walabagaimanapun bagi negara yang mengalami perkembangan ekonomi yang cepat dan mampan di mana sebahagian besar dari populasi berpindah kepada golongan kelas pertengahan, polisi ini digunakan bagi menggalakkan perkembangan pasaran dengan persaingan yang minima.
Harga penembusan adalah strategi yang lebih menguntungkan berbanding tarahan jika ia memaksimakan pulangan atau jualan dan membina syer pasaran sebagai asas persaingan yang bakal dihadapi.
- Pemajakan
Pemajakan adalah alat pemasaran pembiayaan-harga yang penting bagi pembelian peralatan maka penggunaannya adalah semakin meluas di peringkat antarabangsa. Syarat pajak biasanya dari satu hingga lima tahun dan bayaran dibuat secara bulanan atau tahunan. Yuran pemajakan meliputi perkhidmatan pengendalian, pembaikan dan alatganti.
Kebanyakan system pemajakan adalah serupa di peringkat antarabangsa dan tempatan. Ia adalah lebih penting dalam pasaran antarabangsa kerana ia membolehkan pemajak untuk mendapatkan peralatan yang mahal pada kos tahunan yang minima. Ini merupakan suatu yang penting dalam pasaran yang kekurangan modal dan kewangan yang terhad.
Sistem pemajakan menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan . Ini adalah penting terutama bagi negara yang kekurangan juruteknik dan mekanik terlatih.
Sesetengah negara menyokong sistem pemajakan dengan menawarkan beberapa kemudahan seperti :
- Menawarkan insentif modal bagi menggalakkan perbelanjaan terhadap kilang dan peralatan baru.
- Pelbagai insentif cukai diberikan kepada firma yang melaburkan dalam peralatan modal. Pengeksport boleh mengelakkan risiko dengan mengikut kontrak dalam menyatakan harga dalam nilai matawang negaranya sendiri. Walaubagaimanapun penyewa lebih suka kontrak yang menggunakan nilai wangnya supaya pengeksport yang menanggung risiko.
Kontrak untuk pengaturan pemajakan dalam luar negara adalah serupa. Faktor-faktor yang mendorong untuk menggunanakan pemajakan serta kekurangannya adalah sama iaitu:
- Ia membuka pintu untuk suatu segmen besar firma luar negeri yang dibiayai secara nominal dan boleh dijual berdasarkan pajak tetapi mungkin tidak dapat dibeli dengan wang tunai.
- Pemajakan boleh mengurangkan masalah dengan menjual peralatan yang baru atau sedang diuji kaji kerana ia membabitkan risiko yang kurang untuk pengguna.
- Pemajakan membantu menjamin penyelenggaraan dan perkhidmatan yang lebih baik untuk peralatan luar negeri.
- Hasil pajak cenderung untuk menjadi stabil daripada jualan langsung mengikut suatu tempoh masa.
Terdapat beberapa kekurangan dalam pemajakan di peringkat antarabangsa iaitu :
- Bagi negara yang mengalami inflasi, kontrak pemajakan yang meliputi pengendalian dan bekalan alatganti boleh membawa kepada kerugian di penghujung tempoh kontrak. Negara yang paling menarik untuk memajak adalah negara yang paling mungkin mengalami masalah inflasi lingkaran.
- Masalah lain bekait dengan pemajakan adalah penurunan nilai matawang, pengambilalihan atau risiko-risiko politik yang akan terus dihadapi oleh pemasar antarabangsa sepanjang tempoh pajakan.
Ujikan kefahaman anda sebelum meneruskan input selanjutnya…!!!.
Sila semak jawapan anda pada ruangan maklum balas yang disediakan.
AKTIVITI 10A
Apakah pendapat anda tentang kesan parallel imports kepada
- Pengguna
- Pemasar antarabangsa
INPUT
- 2 PENINGKATAN HARGA
- Kos Eskport
Pengguna sering mendapati produk yang dikeluarkan dan dijual di negara sendiri relatifnya tidak mahal tetapi ia dijual pada harga yang tinggi di negara asing. Mereka sering mengandaikan bahawa harga tersebut adalah disebabkan perbuatan mengambil keuntungan berlebihan. Pengeluar cuba menyelesaikan masalah ini dengan mengeksport produk tersebut ke pasaran baru tetapi mereka dapati harga yang tinggi mencerminkan kos pengeksportan yang tinggi.
Sebagai contoh, sesuatu produk yang dikeluarkan di Malaysia pada harga RM1,000.00 Apabila ia dijual dinegara Jepun, harganya meningkat kepada RM3,00.00 Ini adalah disebabkan produk itu melalui beberapa peringkat sebelum sampai ke pengguna akhir seperti kos pengangkutan, insurans, pembungkusan, tariff, saluran agihan yang lebih panjang, keuntungan yang besar diambil oleh orang tengah, cukai khas, kos pentadbiran dan turun naim kadar pertukaran. Kos ini semakin tinggi apabila ia melibatkan perpindahan barangan dari sebuah negara ke negara yang lain.
Pengeluar - Pengekport
Pengimport
Pengedar Tempatan:
Syarikat yang bertanggungjawab terhadap jualan dan perkhidmatan
Pengguna Akhir / Industri
Pada setiap peringkat seperti di atas, harga ditambah yang menjadikan harga akhir tinggi.
10.2.1.1 Cukai, Tarif Dan Kos-Kos Pentadbiran
Tarif atau duti adalah bentuk pencukaian yang khas yang mungkin dikenakan untuk tujuan melindungi pasaran atau untuk menambah hasil kerajaan. Tarif adalah yuran yang dikenakan apabila baranag dibawa masuk ke dalam sesebuah negara yang lain. Tingkat tarif biasanya dinyatakan sebagai kadar duti dan boleh dikenakan sebagai khusus ad valorem atau kombinasu kedua-duanya. Duti khusus adalah caj sama rata untuk setiap unit fizikal yang diimport sebagai contoh 20 sen untuk setiap busyel gandum yang diimport.
Duti ad valorem dikenakan sebagai peratusan nilai barang yang diimport misalnya 25% dari nilai pakaian yang diimport. Tarif kombinasi termasuk kedua-dua caj khusus dan ad valorem misalnya RM1 untuk setiap kamera tambah 15% daripada nilainya.
Tarif dan bentuk cukai import yang lain bertindak untuk mendiskriminasikan semua barang dari luar negeri. Yuran untuk sijil import atau pemprosesan pentadbiran lain boleh menjadi sangat tinggi hingga ia sebenarnya menjadi cukai import. Banyak negara mempunyai cukai pembelian atau cukai eksais yang diperlukan bagi pelbagai kategori baranag, cukai nilai ditambah atau cukai pusing ganti yang dipergunakan apabila keluara tersebut melalui saluran agihan dan cukai jualan runcit. Cukai seperti ini menambah harga akhir barang tetapi secara amnya ia tidak mendiskriminasi terhadap barang dari luar negeri. Tarif merupakan cukai berdiskriminasi yang utama yang mesti diambil kira dalam membuat perhitungan dengan persaingan dari luar negeri.
10.2.1.2. Inflasi
Inflasi yang tinggi memerlukan pengubahsuaian harga untuk menutupi pertambahan kos. Disebabkan keadaan inflasi tidak sama di pasaran yang berbeza, pemasar menghadapi pelbagai masalah dan risiko yang kompleks.
Jika kadar inflasi adalah tinggi di negara pengekport, firma tidak dapat mengubah harga seperti mana yang diperlukan. Oleh itu ia terpaksa menyerap peningkatan harga dalam harga input.
Jika inflasi adalah tinggi di negara pengimport sama ada harga dinaikkan atau tidak adalah bergantung kepada reaksi pengguna di negara berkenaan, kawalan kerajaan dan kos-kos tambahan dalam perubahan harga, pemprograman komputer atau sistem catatan jualan dan lain-lain aktiviti berkait dengan penetapan harga.
Jika bayaran dari pengimport dijangka tertunda dan pengimport berada di negara yang mengahadpi inflasi, kadar inflasi harus diambilkira di dalam penetapan harga produk.
10.2.1.3 Turun-Naik Kadar Pertukaran
Kadar pertukaran sering berubah mengikut keadaan ekonomi. Ini bermakna nilai mata wang pada masa hadapan tidak dapat ditentukan. Oleh itu urusniaga pengekport sering mendesak supaya segala urusniaga dibuat dengan menggunakan nilai matawang negara pengeksport dan perlindungan nilai hadapan menjadi semakin biasa.
- Perbezaan Nilai Matawang
Pemasar antarabangsa turut menghadapi risiko akibat pertukaran nilai matawang sesebuah negara relatif kepada matawang negara lain. Sebagai contoh nilai matawang Amerika Syarikat yang rendah menyebabkan eksportnya meningkat kerana pemasar mempunyai pilihan sama da untuk mengurangkan harga dan meluaskan syer pasaran atau mengekalkan harga dan mengumpul keuntungan yang lebih tinggi. Pemasar antarabangsa perlu bersikap proaftif di dalam menetapkan harga produknya kerana ia perlu mengambilkira variasi dalam nilai matawang.
- Kos Orang Tengah Dan Pengangkutan
Selain kos-kos di atas, pemasar antarabangsa turut menghadapi masalah dan risiko berkaitan dengan saluran agihan dan pengangkutan kerana struktur agihan adalah berbeza di negara-negara berlainan. Pola pemasaran dan panjangnya saluran adalah berbeza di setiap negara. Kepelbagaian saluran agaihan yang digunakan untuk mengagihkan produk ke pasaran dan kurangnya ‘mark-up” yang standard menyebabkan pengeluar tidak sedar akan harga akhir sesuatu produk. Antara faktor-faktor yang mempengaruhi harga ialah kos pergudangan dan pengendalian hantaran. Kos pengangkutan turut meningkatkan apabila barangan dipindah dari negara pengeksport ke negara pengimport. Kos pengangkutan ini meliputi kos pembungkusan, insurans dan pengendalian barangan menyebabkan kos-kos tambahan di kenakan kerana di banyak negara tariff import adalah berasaskan pengangkutan, insurans, penghantaran. Ini menyebabkan harga akhir meningkat sehingga melebihi dua kali ganda.
SALURAN AGIHAN DAN KESANNYA
TERHADAP KOS DAN HARGA AKHIR PRODUK
RM50.00Rajah diatas menunjukkan bagaimana peningkatan harga berlaku bagi pemasar antarabangsa yang mempunyai saluran agihan yang panjang. Kos-kos tambahan pada setiap peringkat memainkan peranan yang penting di dalam menentukan harga akhir sesuatu produk.
RM30.00PERUNCIT
RM10.30
PEMBORONG
PENGEKSPORT
PENGGUNA
RM1.50RM5.00
PENGELUAR
Ujikan kefahaman anda sebelum meneruskan input selanjutnya…!!!.
Sila semak jawapan anda pada ruangan maklum balas yang disediakan.
AKTIVITI 10B
Dapatkan satu produk yang pernah anda beli. Berdasarkan produk pilihan anda, kenalpasti faktor-faktor yang membawa kepada tambahan kos sehingga harga akhir yang dibayar untuk mendapatkan produk tersebut.
INPUT
- PENENTUAN HARGA TERTADBIR
Ia berkaitan dengan cubaan untuk menetapkan harga untuk keseluruhan pasaran. Harga seperti ini mungkin diatur melalui kerjasama pesaing, kerjasama kerajaan nasional, negeri atau kerajaan tempatan atau melalui persetujuan antarabangsa. Amnya matlamat akhir kesemua kegiatan ini mempengaruhi penetapan harga.
- Penetapan Harga Mengkut Kumpulan Industri.
Pelbagai bentuk cubaan dibuat oleh pengeluar untuk menetapkan harga di pasaran. Ia sering dilakukan dalam pelbagai bentuk iaitu persetujuan, pengaturan, kombinasi, pakat sulit, kartel, komunikasi untung, kumpulan untung, perlesenan paten, persatuan perdagangan, kepimpinan harga, penentuan harga biasa dan persejutuan yang formal antara firma. Antara bentuk yang dikaitkan secara langsung dengan pemasaran antarabangsa ialah perlesenan paten, kartel dan persatuan perdagangan.
- Persetujuan Perlesenan Paten
Dalam industri di mana rekaan baru teknologi adalah amat penting, persetujuan paten atau proses adalah bentuk kombinasi antarabangsa yang paling biasa dilakukan. Dalam kebanyakan negara, persetujuan perlesenan paten adalah sah di sisi undang-undang kerana pemilik paten itu memberi lesen yang esklusif kepada seseorang dalam sesebuah negara lain untuk mengeluarkan keluaran berkenaan. Pemegang paten boleh mengawal sempadan wilayah dan disebabkan monopoli beliau juga boleh mengawal penentuan harga.
- Kartel
Kartel akan wujud apabila pelbagai pengeluar yang mengeluarkan produk yang sama berkerja sama untuk mengawal pasaran bagi jenis produk yang dikeluarkan. Persatuan kartel mungkin menggunakan persetujuan yang formal untuk menentukan harga, menetapkan tingkat pengeluaran dan jualan untuk syarikat yang mnyertainya, memperuntukkan wilayah pasaran dan juga mengagihkan semula untung. Dalam beberapa keadaan organisasi kartel itu mengambil alih keseluruhan fungsi jualan, menjual barang semua pengeluar dan mengagihkan untung yang diperolehi. Walaupun terdapat kritikan terhadap kartel tetapi mereka menegaskan bahawa langkah ini dapat menghapuskan persaingan yang hebat dan membolehkan kemajuan teknik yang lebih tinggi dan harga yang lebih rendah kepada pengguna. Antara bentuk-bentuk kartel ialah OPEC.
- Persatuan Perdagangan
Persatuan perdagangan boleh wujud sebagai kartel yang ketat dan tegas atau hanya sebagai organisasi perdagangan tidak formal yang secara tidak langsung berkaitan dengan penentuan harga, bahagian pasaran atau tingkat pengeluaran. Kebanyakan persatuan perdagangan mengumpulkan maklumat tentang harga dan urus niaga di dalam industri tertentu. Matlamat umum persatuan perdagangan ialah untuk melindungi dan mengekalkan struktur penentuan harga yang paling dapat diterima secara umumnya oleh ahli-ahli industri.
- Penetapan Harga Yang Dipengaruhi
Aktiviti kerajaan dan pentadbiran turut mempengaruhi harga akhir sesuatu produk yang dieksport. Kerajaan boleh mengenakan kawalan harga terhadap produk tertentu bagi tujuan untuk melindungi pengguna atau industri berkenaan. Ia dilakukan dalam bentuk harga lantai dan harga bumbung. Selain itu, kawalan terhadap perubahan harga atau margin keuntungan maksimum juga dilakukan. Kerajaan juga menawarkan subsidi bagi membantu mengurangkan harga barangan untuk meningkatkan daya saing sesebuah syarikat dalam pasaran global. Walaubagaimanapun eksport barangan yang dibantu oleh subsidi kerajaan dilihat oleh negara pengimport sebagai lambakan kerana harga barangan itu menjadi murah. Dalam hal ini pesaing domestik memberi tekanan kepada kerajaan supaya mengenakan “countervailing tariff” supaya barangan import mempunyai harga yang sama dengan barangan yang dikeluarkan oleh syarikat tempatan.
Ujikan kefahaman anda sebelum meneruskan input selanjutnya…!!!.
Sila semak jawapan anda ruangan maklum balas yang disediakan.
AKTIVITI 10C
Namakan beberapa produk yang mana harganya dikawal oleh kerajaan.
INPUT
- PERDAGANGAN BALAS (COUNTERTRADE) SEBAGAI ALAT PENETAPAN HARGA.
Di negara-negara yang kekurangan tukaran wang asing, sesebuah firma bersetuju untuk menerima produk sesebuah negara sebagai satu bahagian dari bayaran kepada barangan yang dieskport ke negara tersebut. Perdagangan balas adalah transaksi komersil yang dilaksanakan berkaitan bayaran terhadap penghantaran barangan dan atau perkhidmatan sebagai tambahan kepada atau sebagai ganti kepada penyelesaian kewangan. Terdapat beberapa bentuk countertrade seperti berikut:
- Barter atau Tukar Barang
Barter ialah pertukaran barangan atau perkhidmatan tanpa pemindahan wang dalam jangka pendek iaitu satu atau kurang dari satu tahun dan dinyatakan dalam bentuk kontrak. Semua bentuk perdagangan balas adalah berdasarkan kepada dua atau lebih dari dua kontrak berasingan. Ia meliputi kompensasi penuh atau separa penuh dan kontrak itu selalunya meliputi satu atau lebih dari satu tahun.
- Barter Klasik
Barter klasik adalah di mana kedua-dua pihak bertindak sebagai pembeli dan penjual dalam pertukaran yang dipersetujui doleh kedua-dua belah pihak. Barangan yang ditukarkan adalah barangan industri, barangan pengguna, perkhidmatan atau komoditi. Walaubagaimana pun sistem ini amat jarang berlaku dalam pasaran.
- Closed End Barter
Ia agak berbeza dengan sistem barter kerana salah seorang dari rakan niaga telahpun mempunyai pembeli bagi produk yang akan diniagakan sebelum kontrak dibuat. Selalunya ia adalah rakan kongsinya yang bertempat di kawasan membangun yang lebih ekonomik. Cara ini mengurangkan risiko yang terdapat pada sistem barter.
- Clearing Account Barter
Ia berdasarkan kepada persetujuan antara kerajaan.
- Lain-Lain Bentuk Perdagangan Balas
- Urusjanji Pampasan
Ia membabitkan bayaran dalam bentuk barang dan wang tunai. Seorang penjual menyerahkan sesuatu barangan kepada pembelinya di negara asing dan mendapat 75% dari bayarannya dalam tunai manakala 25% dalam bentuk barangan lain.
- Pembelian Balas (Counter Purchase)
Ia merupakan jenis perdagangan balas yang paling kerap digunakan. Dalam perdagangan pembelian balas, dua kontrak dirundingkan. Penjual bersetuju untuk menjual produk pada harga yang telah ditetapkan kepada pembeli dan mendapat bayaran dalam bentuk wang tunai. Walaubagaimanapun kontrak pertama bergantung kepada kontrak kedua yang merupakan persetujuan oleh penjual asal untuk membeli barang daripada pembeli sebanyak jumlah amaun kewangan yang sama dengan yang terbabit dalam kontrak pertama atau peratusan daripada amaun tersebut yang telah ditetapkan.
- STRATEGI PENETAPAN INTRA SYARIKAT
Apabila sesebuah firma meluaskan pasarannya ke pasaran antarabangsa, usahasama, sistem agihan milik syarikat dan lain-lain aktiviti pemasaran, harga yang dikenakan kepada gabungan yang berlainan adalah isu utama di dalam membuat keputusan harga. Harga yang dipindahkan daripada operasi atau unit jualan di sebuah negara ke unit syarikat di tempat lain mungkin disesuaikan untuk meningkatkan untung akhir syarikat secara keseluruhan. Kebaikannya adalah :
- Mengurangkan kos duti dengan menghantar produk ke negara yang mengenakan tariff yang tinggi pada harga pindahan yang minimum supaya asas duti dan duti akan menjadi rendah
- Memudahkan penghantaran pulang dividen. Apabila penghantaran pulang dividen dibatasi oleh dasar kerajaan, pendapatan tak nampak boleh dikeluarkan dalam bentuk harga yang tinggi untuk keluaran atau komponen yang dihantar ke unit dalam negara tersebut.
- Pengurangan cukai pendapatan dalam negara yang mengekan cukai yang tinggi dengan meletakkan harga yang berlebihan ke atas barang yang dipindahkan ke unit dalam negara tersebut; untung akan terhapus dan dianjakkan ke negara yang mengenakan cukai yang rendah. Anjakan untung seperti ini boleh juga digunakan untuk memperbaiki penyata kewangan dengan menambah untung yang dilaporkan dalam negara yang dilakukan pinjaman dan pembiayaan lain.
Objektif keseluruhan sistem penetapan harga intrasyarikat termasuklah :
- Memaksimumkan untung untuk perbadanan secara keseluruhan
- Memudahkan kawalan syarikat induk
- Menawarkan kepada pengurusan di semua peringkat dalam kedua-dua bahagian keluaran dan bahagian antarabangsa suatu asas yang mencukupi untuk menyelenggara, membangun dan mendapatkan kepujian kerana keberuntungannya sendiri.
Harga pindahan terlalu rendah adalah tidak memuaskan kepada jabatan pengeluaran kerana hasil keseluruhannya akan kelihatan tidak memuaskan; harga yang terlalu tinggi pula menjadikan operasi antarabangsa kelihatan tidak baik dan menghadkan keberkesanan pengurus luar negara.
Pemasar antarabangsa mempunyai empat pilihan pengaturan untuk menentukan harga produk bagi pindahan intrasyarikat iaitu:
- Jualan pada kos perkilangan tempatan tambah tokokan yang piawai
- Jualan pada kos pengeluar yang paling cekap dalam syarikat tambah tokokan yang piawai
- Jualan pada harga yang terunding
- Jualan selengan menggunakan harga yang sama dengan sebut harga yang diberi kepada pelanggan yang bebas.
Daripada keempat-empat pengaturan ini pindahan selengan adalah yang paling mudah diterima oleh bahagian luar negara. Akan tetapi asas yang sesuai untuk pindahan intrasyarikat bergantung kepada sifat anak syarikat serta keadaan pasaran. Jika dasar penetapan harga tidak sesuai ia boleh memberi sumbangan yang banyak kepada keuntungan syarikat secara keseluruhannya.
Ujikan kefahaman anda sebelum meneruskan input selanjutnya…!!!.
Sila semak jawapan anda pada ruangan maklum balas yang disediakan.
AKTIVITI 11C
Kenapakah sesebuah negara itu memilih untuk menjalankan urusniaga secara perdagangan balas?
PENILAIAN KENDIRI
Anda telah menghampiri kejayaan. Sila cuba semua soalan dalam penilaian kendiri ini dan semak jawapan anda pada maklum balas yang disediakan.
Jika ada sebarang masalah yang timbul, sila berbincang dengan pensyarah anda.
Selamat mencuba semoga berjaya !!!!!
SOALAN 10-1
Bezakan antara harga tarahan dan penembusan dalam pemasaran antarabangsa.
SOALAN 10-2
Senaraikan LIMA faktor yang mempengaruhi peningkatan kos dalam memasarkan produk di pasaran asimg.
SOALAN 10-3
Namakan TIGA (3) bentuk pengaturan penetapan harga yang dilakukan oleh firma-firma secara berkumpulan.
SOALAN 10-4
Apakah masalah utama yang dihadapi oleh pengeksport di dalam menjalani urusniaga secara perdagangan balas?
SOALAN 10-5
Jelaskan konsep pemindahan harga.
MAKLUM BALAS
AKTIVITI
Adakah anda telah mencuba dahulu ? Jika “YA”, sila semak jawapan anda.
AKTIVITI 10A
Kesan parallel imports kepada
- Pengguna – dapat membeli produk dengan harga yang lebih mura tetapi tidak dapat kelebihan dari segi waranti, perkhidmatan selepas jualan dan alat gantian.
- Pemasar - Persaingan yang tinggi, ahli saluran agihan yang tidak berpuashati dengan sistem
AKTIVITI 10B
Contoh: Cokelat yang diimport dari negara Eropah
Faktor yang menyebabkan harga meningkat ialah:
- Margin keuntungan yang diambil oleh pengimport
- Kos pengangkutan dari Eropah ke Malaysia
- Kos pergudangan setelah cokelat sampai ke Malaysia
- Cukai yang dikenakan oleh kerajaan
- Kos iklan dan promosi di Malaysia
- Margin keuntungan yang dikenakan oleh peruncit di Malaysia
AKTIVITI 10C
Antara produk di bawah kawalan kerajaan ialah harga beras, susu, gula, minyak petrol dan minyak masak.
MAKLUM BALAS
PENILAIAN KENDIRI
Adakah anda telah mencuba dahulu ? Jika “YA”, sila semak jawapan anda.
SOALAN 10-1
- Harga tarahan ialah di mana pemasar antarabangsa menetapkan harga yang tinggi di pasaran asing. Ia dilakukan untuk menarik pasaran berpendapatan tinggi dan untuk mendapatkan pulangan yang tinggi.
- Harga penembusan ialah di mana pemasar antarabangsa menetapkan harga yang rendah dalam pasaran asing bagi tujuan untuk menarik minat pasaran tersebut dan meluaskan syer pasaran.
SOALAN 10-2
Lima faktor yang mempengaruhi dalam peningkatan harga sesuatu produk yang diekpsort ialah cukai, tarif dan kos pentdabiran, inflasi, turun naik kadar pertukaran , perbezaan nilai matawang, kos orang tengah dan pengangkutan.
SOALAN 10-3
Tiga bentuk berkumpulan yang dilakukan oleh firma untuk mengawal harga ialah kartel, persatuan perdagangan dan persetujuan perlesenan paten.
SOALAN 10-4
Menetapkan harga yang tepat dengannilai produk yang ditatwarkan
Menjual produk yang diperolehi daripada perdagangan tukar barang setelah diterima
SOALAN 10-5
Pemindahan harga adalah harga yang ditetapkan terhadap produk yang dijual dalam sesebuah korporat seperti dari satu bahagian ke bahagian lain atau kepada anak syarikat negara asing.