September 13, 2012

PENGIRAAN CUKAI PENDAPATAN


PENGIRAAN
CUKAI PENDAPATAN


  • OBJEKTIF:




Objektif Am:  
Mempelajari dan memahami apakah pelepasan-pelepasan yang boleh diperolehi oleh seseorang pembayar cukai.

Objektif khusus:  

Di akhir unit ini, anda dapat :

  • Mengenal pasti pelepasan-pelepasan         
     bagi setiap individu pembayar cukai

  • Mengira pendapatan  boleh cukai dan
     cukai kena bayar.




   Input


  1. PENGENALAN

Pengiraan pendapatan yang boleh dicukai bermula dengan mencampurkan punca-punca pendapatan daripada semua sumber.  Pendapatan yang dikumpulkan dari semua punca ini dikenali sebagai pendapatan terkumpul/agregat. Kerugian perniagaan dalam tahun asas dan derma dalam bentuk tunai akan dijadikan tolakan di dalam menentukan jumlah pendapatan.  Dalam menentukan jumlah pendapatan yang boleh dicukaikan, beberapa pelepasan akan ditolak.

Pelepasan-pelepasan termasuklah pelepasan untuk diri sendiri, pelepasan isteri, pelepasan suami, pelepasan anak-anak, pelepasan premium insurans nyawa dan caruman dalam skim yang diluluskan atau KWSP, pelepasan perubatan dan lain-lain.

Pelepasan-pelepasan hanya akan diberikan kepada pemastautin sahaja.  Dalam menuntut pelepasan-pelepasan cukai, seseorang pembayar cukai perlu mengemukakan maklumat-maklumat yang berkaitan dalam borang nyata pendapatan.

Bagi individu yang tidak bermastautin, pelepasan untuk bukan pemastautin (Seksyen 130, ACP 1967) akan diberikan apabila beberapa syarat dipenuhi (tidak akan dibincangkan dalam modul ini).







  1. Kerugian dan derma yang diluluskan

Pemberian tunai / derma

Menurut Seksyen 44(6) ACP 1967, apabila seseorang membuat derma dalam bentuk tunai kepada kerajaan, kerajaan negeri, kerajaan tempatan, institusi atau organisasi yang diluluskan, maka bayaran-bayaran ini boleh ditolak di dalam mengira jumlah pendapatan.  Hanya pemberian dalam bentuk tunai sahaja dibenarkan.

Jumlah derma yang boleh ditolak adalah tertakluk kepada   pendapatan agregat yang ada.  Derma yang tidak dapat ditolak dalam tahun semasa kerana tidak mempunyai pendapatan agregat atau pendapatan agregat kurang daripada tolakan akan lupus dan tidak boleh dibawa ke hadapan untuk ditolak daripada pendapatan tahun berikutnya.

Mulai tahun taksiran 1994, mana-mana individu yang menyumbang kepada Tabung Perumahan Kos Rendah (TPKR) dalam tempoh di antara 1 November 1993 hingga 31 Januari 1994, layak untuk menuntut tolakan dua kali ke atas jumlah yang disumbangkan.  Bagi sumbangan-sumbangan yang diterima selepas daripada tarikh ini, potongan yang dibenarkan adalah bersamaan dengan jumlah yang disumbangkan.

Dalam belanjawan 1994, sumbangan tunai sehingga RM100,000 bertujuan untuk membina atau melengkapkan perpustakaan awam, sekolah dan institusi pengajian tinggi boleh dibenarkan sebagai satu tolakan daripada pendapatan kasar perniagaan seseorang.  Kerajaan seterusnya memperluaskan skop tolakan ini meliputi skop tolakan individu yang tidak menjalankan perniagaan.



  1. Pelepasan individu yang layak dituntut

Pelepasan diri

Menurut Seksyen 46 ACP 1967, setiap individu akan diberikan pelepasan diri dengan tujuan untuk mengurangkan pendapatan boleh cukai.  Sebelum tahun taksiran 2000, yang juga merupakan tahun taksiran semasa pertama, pelepasan individu yang diberikan adalah sebanyak RM5,000. Manakala mulai tahun taksiran 2000 (tahun taksiran semasa) pelepasan diri adalah sebanyak RM8,000.  Tambahan RM 5,000 akan diberikan jika individu berkenaan adalah cacat dan kurang upaya.




Pelepasan isteri / bekas isteri

Menurut Seksyen 47 (1) ACP 1967, individu layak menuntut pelepasan isteri jika isterinya tidak bekerja dan juga apabila isteri memilih untuk membuat taksiran bersama (bagi isteri yang bekerja sahaja).  Pelepasan isteri yang adalah sebanyak RM 3,000 dan tambahan RM2,500 akan diberikan jika isteri cacat.  Pelepasan isteri yang dibenarkan hanyalah untuk seorang isteri sahaja.

Pelepasan suami

Mulai Tahun Taksiran 2002, apabila si isteri bekerja dan si suami tidak bekerja kerana kurang upaya, si isteri layak menuntut pelepasan suami sebanyak RM3,000.

Pelepasan anak

Menurut Seksyen 48 ACP 1967, anak didefinisikan sebagai anak sendiri, anak tiri atau anak angkat yang sah menurut undang-undang Malaysia ataupun luar Malaysia.

Seseorang individu layak untuk menerima pelepasan anak (anak-anak), sekiranya pada tahun asas berkenaan, anak tersebut masih belum berkahwin dan mematuhi salah satu daripada syarat berikut:

  1. anak tersebut berumur di bawah 18 tahun
  2. anak tersebut menuntut sepenuh masa di sekolah, kolej, universiti atau pertubuhan pendidikan yang serupa
  3. anak tersebut berkhidmat di bawah artikelship untuk mendapatkan kelayakan profesional atau
  4. anak tersebut tanpa mengira umur, mengalami kecacatan samada dari segi mental mahupun fizikal.

Pelepasan anak-anak di bawah (a) hingga (c) di atas adalah sebanyak RM800 (seorang), manakala bagi (d), pelepasan yang dibenarkan adalah sebanyak RM5,000 setiap seorang.

Namum, pelepasan untuk anak-anak boleh dituntut melebihi daripada pelepasan biasa sekiranya syarat-syarat berikut dipatuhi:

  1. bagi anak-anak yang belum berkahwin, berumur lebih daripada 18 tahun atau genap 18 tahun dan menuntut secara sepenuh masa di universiti, kolej atau pertubuhan pendidikan yang setaraf dengan institusi pengajian tinggi atau sedang berkhidmat di bawah satu artikelship untuk mendapatkan kelayakan profesional.

Di dalam kes ini, jika Ketua Pengarah berpuashati bahawa jumlah yang dibelanjakan berkaitan dengan anak atau anak-anak berkenaan, potongan melebihi RM800 dibenarkan.

Bagi anak-anak yang menuntut di dalam negeri, jumlah potongan yang dibenarkan adalah empat kali ganda dari pelepasan biasa iaitu sebanyak RM3200 maksimum (RM800 x 4) setiap seorang.  Jika perbelanjaan adalah kurang dari RM3200, maka pelepasan yang akan diberikan adalah terhad kepada perbelanjaan sebenar.  Tetapi jika perbelanjaan melebihi pelepasan iaitu RM3200, maka pelepasan yang akan diberikan adalah tertakluk kepada pelepasan sebenar iaitu RM3200.

Bagi anak-anak yang menuntut di luar negara, pelepasan yang dibenarkan adalah sebanyak RM800 seorang sahaja.  Walau bagaimanapun, bagi anak-anak yang mula menuntut di luar Malaysia sebelum 1 Januari 1994, pelepasan yang dibenarkan adalah empat kali ganda iaitu RM3,200.  Manakala bagi yang telah mula menuntut di luar Malaysia dari 1 Januari 1994 hingga 16 Oktober 1997, pelepasan yang akan diberikan adaah dua kali ganda dari pelepasan biasa iaitu RM1,600 (RM800 x 2).

  1. Bagi individu yang bermastautin di Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak) dalam tahun asas yang mempunyai anak (anak-anak) yang menuntut secara sepenuh masa di universiti, kolej atau pertubuhan pendidikan yang setaraf dengan institusi pengajian tinggi atau sedang berkhidmat di bawah satu artikelship untuk mendapatkan kelayakan profesional di Semenanjung Malaysia.

Di dalam keadaan ini, potongan yang dibenarkan ialah empat kali ganda dari pelepasan biasa iaitu sebanyak RM3,200


Bagaimana pula bagi anak-anak yang bekerja sambilan ketika belajar dan mempunyai pendapatan?

Dalam keadaan ini, jika anak-anak yang dituntut pelepasan itu mempunyai pendapatan sendiri melalui kerja separuh masa, perbandingan perlulah dibuat di antara jumlah pendapatan yang diterima dengan jumlah pelepasan yang layak dituntut.

Jika pendapatan yang diterima oleh anak (anak-anak) tersebut melebihi daripada jumlah pelepasan yang dibenarkan, maka tiada sebarang pelepasan yang akan diberikan berkaitan dengan anak (anak-anak) tersebut.

Jika pendapatan yang diterima oleh anak (anak-anak) tersebut kurang daripada jumlah pelepasan yang dibenarkan, maka pelepasan yang boleh diberikan berkaitan dengan anak tersebut adalah pelepasan biasa sahaja iaitu RM800 sahaja untuk seorang.

Premium insurans nyawa dan KWSP

Menurut seksyen 49 (1) ACP 1967, individu yang bermastautin dan telah:

  1. membayar premium insurans nyawa
  2. mencarum samada pekerja atau bekerja sendiri dalam satu skim yang diluluskan atau dalam kumpulan wang simpanan pekerja (KWSP)

  1. membayar caruman berkaitan dengan pencen atau skim yang diluluskan untuk balu dan anak-anak yatim di bawah mana-mana undang-undang bertulis

Maka jumlah bayaran agregat (a), (b) dan (c) dibenarkan sebagai pelepasan cukai tetapi tertakluk kepada jumlah maksimum sebanyak RM5,000. Tetapi, jika jumlah yang dibayar kurang daripada jumlah maksimumnya, pelepasan adalah setakat jumlah yang dibayar sahaja.

Hanya caruman yang wajib yang dibuat oleh pekerja sahaja yang dibenarkan sebagai pelepasan (caruman majikan tidak termasuk sebagai tolakan pelepasan).  Mulai Januari 1996, kadar sumbangan KWSP oleh pekerja adalah 11% dan mulai Jun 2001, kadar sumbangan KWSP oleh pekerja adalah 9%.

Menurut Seksyen 49 (3), bayaran insurans yang dibenarkan adalah insurans yang dibuat ke atas:-

  1. nyawa pembayar cukai
  2. nyawa isteri pembayar cukai
  3. nyawa suami (jika isteri sebagai pembayar cukai)
  4. nyawa gabungan suami dan isteri
  5. nyawa gabungan suami atau dua atau lebih isteri-isterinya

Perlu diingatkan bahawa jika insurans nyawa diambil oleh pembayar cukai ke atas nyawa anaknya atau gabungan antara pembayar cukai dengan anaknya, maka ia tidak layak untuk mendapat pelepasan ini.




Premium insurans pendidikan dan manfaat perubatan

Mulai tahun taksiran 1996, seseorang individu yang membayar premium insurans untuk tujuan perubatan ataupun premium insurans bagi pendidikan samada bagi dirinya, isteri (atau suami, jika pembayar cukai adalah isteri) dan anak-anak, berhak mendapat pelepasan tambahan bagi premium ini sehingga jumlah maksimumnya ialah RM2,000.

Mulai Tahun Taksiran 2000 (tahun asas 2000), jumlah maksimumnya adalah sebanyak RM3,000. Bagaimanapun, jika jumlah yang dibayar kurang daripada jumlah maksimumnya, pelepasan adalah setakat jumlah yang dibayar sahaja.


Belanja perubatan kerana penyakit serius

Mulai Tahun taksiran 1997, pelepasan ke atas perbelanjaan perubatan berkaitan dengan penyakit serius diberikan sehingga jumlah maksimumnya adalah sebanyak RM5,000.  Pelepasan ini akan diberikan ke atas perbelanjaan perubatan diri pembayar cukai, pasangan (isteri/suami) dan anak-anaknya.  Tuntutan ini mestilah dibuktikan dengan resit yang dikeluarkan oleh pengamal perubatan yang diluluskan. Di antara penyakit serius yang dimaksudkan adalah meliputi AIDS, Parkinson, buah pinggang, barah, leukimia dan penyakit yang seumpamanya.      


Kos melanjutkan pelajaran

Seterusnya, dalam usaha kerajaan melahirkan tenaga mahir untuk tujuan industri yang semakin pesat, suatu pelepasan pendidikan sehingga nilai maksimumnya adalah RM2,000 diberikan kepada pembayar cukai yang melanjutkan pelajaran di institusi dalam negara bagi tujuan meningkatkan kemahiran dalam bidang teknikal dan vokasional.


Perubatan ibubapa

Seseorang individu yang bermastautin di Malaysia juga layak untuk menerima pelepasam sehingga jumlah maksimumnya RM5,000 untuk perbelanjaan perubatan yang dikenakan ke atas ibubapa mereka.  Bagaimanapun, pelepasan ini hanya akan diberikan jika tuntutan dibuat bersama resit perbelanjaan perubatan yang diperolehi daripada doktor yang diluluskan sahaja.  Ibubapa merujuk kepada ibubapa kandung dan juga ibubapa angkat.  Jika jumlah perbelanjaan tidak melebihi jumlah maksimum, jumlah pelepasan yang dibenarkan adalah setakat yang dibelanjakan sahaja.






Pembelian Alat-alat sokongan Perubatan

Jumlah maksimum yang dibenarkan adalah sebanyak RM5,000 sebagai pelepasan bagi pembelian alat-alat sokongan perubatan untuk kegunaan sendiri (jika beliau tidak berupaya atau cacat) atau untuk isteri, anak-anak dan juga kedua-dua ibubapanya.  Tetapi jika perbelanjaan pembelian tidak melebihi jumlah maksimumnya, jumlah pelepasan adalah tertakluk kepada jumlah perbelanjaan sebenarnya.


  1. Rebat-rebat

Menurut Seksyen 6A ACP 1967, rebat adalah tolakan yang dibenarkan selepas pengiraan jumlah cukai kena bayar.  Rebat hanya akan diberikan kepada individu yang bermastautin sahaja dan di antara rebat yang layak adalah rebat diri, rebat isteri dan rebat zakat.

Rebat diri dan isteri

Menurut Seksyen 6A(2) ACP 1967, rebat yang diberikan bagi satu-satu tahun taksiran sebelum tahun taksiran 2001 ialah RM110 untuk individu yang mendapat pelepasan diri dan juga RM60 untuk isteri. Rebat hanya akan diberikan kepada seseorang pembayar cukai jika pendapatan boleh cukainya adalah kurang daripada RM10,000 sahaja.

Mulai tahun taksiran 2001, rebat diri dan isteri telah meningkat kepada RM350 dan akan diberikan kepada seseorang pembayar cukai jika pendapatan boleh cukainya adalah kurang daripada RM35,000.


Rebat zakat fitrah dan zakat pendapatan

Bagi umat Islam, segala pembayaran zakat adalah dibenarkan sebagai tolakan sepenuhnya daripada cukai kena bayar dan selepas ditolak rebat diri dan isteri.   Segala pembayaran yang dibuat perlulah disertakan resit sah yang dikeluarkan oleh pihak majlis agama atau mana-mana pihak yang berkenaan.

Namun, sekiranya jumlah rebat (diri dan isteri) dan zakat melebihi jumlah cukai kena bayar, lebihan tersebut akan lupus dan tidak akan dipulangkan kepada individu berkenaan dan juga tidak boleh dijadikan sebagai satu kredit untuk mengurangkan tanggungan di masa akan datang.






  1. Cara-cara menentukan pendapatan yang dikenakan cukai (seksyen 5 ACP 1967)

Taksiran cukai bermula dengan memastikan tempoh asas bagi setiap sumber pendapatan.  Pengiraan bermula mengikut urutan di bawah iaitu:-

  1. menentukan pendapatan kasar bagi setiap sumber
  2. mengira pendapatan larasan bagi setiap sumber
  3. menentukan pendapatan berkanun bagi setiap sumber
  4. menentukan pendapatan agregat dengan menjumlahkan kesemua pendapatan berkanun dari pelbagai sumber
  5. mengira jumlah pendapatan
  6. menentukan pendapatan bercukai
  7. menentukan cukai kena bayar berdasarkan kepada kadar cukai yang sesuai dikenakan
  8. menetapkan cukai kena bayar



  1. Pendapatan kasar

Pendapatan kasar seseorang daripada sesuatu sumber untuk tempoh asas bagi sesuatu tahun taksiran mestilah pendapatan kasar untuk tempoh itu yang ditentukan mengikut peruntukan Sek 13.  Di antaranya adalah:-

  1. pendapatan tunai bagi barang-barang yang dijual atau perkhidmatan yang diberi
  2. semua hutang yang terbit daripada barang-barang yang dijual dan perkhidmatan yang diberi
  3. pendapatan berupa barangan
  4. hutang perniagaan yang dapat kembali setelah ia dihapuskira sebagai hutang lapuk
  5. pembayaran insurans yang diterima berhubung dengan kerugian perniagaan


  1. Pendapatan larasan dan kerugian larasan Seksyen  40 dan 41, ACP 1967

Pendapatan larasan seseorang daripada sesuatu sumber untuk tempoh asas bagi suatu tahun taksiran ditentukan dengan menolak perbelanjaan yang dibenarkan daripada pendapatan kasarnya setelah mengambilkira semua bayaran serta perbelanjaan yang semata-mata dilakukan semasa tempoh itu untuk menghasilkan pendapatan kasar tersebut.  Kerugian larasan berlaku apabila pendapatan larasan untuk tempoh asas bagi suatu tahun taksiran kurang daripada jumlah perbelanjaan yang dibenarkan bagi sumber tersebut

  1. Pendapatan berkanun

Pendapatan berkanun (jika ada) seseorang daripada suatu sumber untuk tahun taksiran terdiri daripada:-

  1. amaun pendapatan larasan (sekiranya ada) daripada sesuatu punca untuk tempoh asas bagi tahun yang sama: campur
  2. caj atau caj-caj imbangan; tolak
  3. amaun elaun modal dan elaun imbangan


  1. Pendapatan Agregat (sek 43 ACP 1967 )

Setelah pendapatan berkanun daripada setiap sumber ditentukan, pendapatan-pendapatan berkanun akan dijumlahkan (dikumpul). Terdiri daripada:-

  1. agregat bagi pendapatan berkanun daripada setiap sumber perniagaan dan TOLAK kerugian larasan sumber-sumber perniagaan yang tidak dapat ditolak pada tahun-tahun sebelumnya
  2. agregat pendapatan berkanun daripada setiap sumber lain daripada sumber perniagaan


  1. Jumlah Pendapatan (sek 44 ACP)

Daripada pendapatan agregat bagi sesuatu tahun taksiran itu, ditolak pula potongan berikut untuk mendapat jumlah pendapatan bagi tahun taksiran itu:-

  1. kerugian larasan tahun asas bagi sesuatu tahun taksiran
  2. potongan Jadual 4, 4A dan 4B (potongan bagi perbelanjaan mencari galian yang gagal)
  3. derma atau sumbangan kepada kerajaan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempat atau institusi-institusi yang diluluskan oleh Ketua Pengarah LHDN











  1. Pendapatan boleh cukai

Dalam menentukan jumlah pendapatan yang boleh dicukaikan, beberapa pelepasan akan ditolak.  Di antaranya ialah:

  1. pelepasan diri
  2. pelepasan isteri (jika isteri tidak bekerja)
  3. pelepasan anak-anak
  4. pelepasan insurans nyawa dan caruman skim yang diluluskan
  5. dan lain-lain


  1. Cukai Kena Bayar

Cukai kena bayar hanya akan dikira selepas pendapatan boleh cukai ditentukan.  Kadar cukai adalah berbeza mengikut tingkat pendapatan seseorang pembayar cukai.  Semakin tinggi pendapatan boleh cukainya, semakin tinggi kadar cukai kena bayar dan sebaliknya.































       Aktiviti




Ujikan kefahaman anda sebelum meneruskan input selanjutnya…..Sila semak jawapan anda pada maklumbalas di halaman berikutnya. SELAMAT MENCUBA DAN MAJU JAYA!!


Aktiviti 6.1

En.  Faizal, berpendapatan RM30,000 bagi tahun 2001 telah berkahwin pada 31.8.1957 sempena Hari Kemerdekaan Malaysia.  Isteri beliau adalah seorang yang cacat dan tidak bekerja.  En Faizal telah membeli alat sokongan kepada isterinya berjumlah RM6,000 dan juga telah membawa isterinya membuat rawatan, RM4,500 telah dibelanjakan.  Di samping itu, En.  Faizal juga telah membayar zakat berjumlah RM120.

Kirakan pendapatan boleh cukai En. Faizal bagi tahun taksiran 2001 (semua resit perbelanjaan telah disertakan bersama-sama)

Aktiviti  6.2

Tentukan pelepasan anak-anak yang boleh dituntut oleh En. Kamal untuk tahun taksiran 2001 berdasarkan maklumat berikut:

  1. Anak pertama berusia 23 tahun, belajar di sebuah universiti di England bermula September 1993.  Jumlah yang dibelanjakan RM12,000
  2. Anak kedua berusia 21 tahun, sedang belajar di universiti di Australia bermula 1.4.1994.  Jumlah yang dibelanjakan oleh En Kamal ialah sebanyak RM10,5000
  3. Anak ketiga berusia 20 tahunsedang menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia.  En. Kamal telah membelanjakan sebanyak RM1,200.  Anak ini bekerja sambilan sebagai jurutunjuk di UKM dan melaporkan pendapatan sebanyak RM1,400
  4. Anak keempat berusia 18 tidak lagi bersekolah dan sedang menggangur
  5. Anak kelima berusia 16 tahun, cacat akal dan tidak bersekolah
  6. Anak keenam, berusia 14 tahun di hantar ke Singapura untuk bersekolah di sana
  7. Anak ketujuh, berusia 7 tahun, baru bersekolah dan tinggal bersama dengan En. Kamal




Aktiviti 6.3

En Amer merupakan pemastautin dan pengarah urusan di Syarikat Hi-Q Bhd. dengan ditawarkan RM 9,500 sebulan. Butir-butir pendapatannya yang lain ialah:
Bonus         2 bulan gaji
Pendapatan sewa bersih RM 9,800
Dividen bersih (diremit) RM 5,200

Beliau telah berpisah dengan isterinya pada dua tahun lalu dan telah melangsungkan perkahwinan dengan setiausahanya, Pn. Liza pada 12 Jun 2001 dan telah berhenti kerja selepas berkahwin.

Maklumat tambahan:

  1. En. Amer membelanjakan sebanyak RM 4,800 untuk rawatan ibunya yang sakit (resit disertakan)
  2. En.Amer membelanjakan sebanyak RM 3,000 untuk rawatan anaknya di hospital Tawakkal kerana sakit leukemia
  3. En. Amer mencarum sebanyak 11% daripada gajinya di dalam KWSP
  4. En. Amer membayar premium insurans nyawa sebanyak RM 2000 ke atas nilai modal sebanyak RM30,000
  5. Fatin adalah anak pertama En Amer dengan bekas isterinya.  Berusia 24 tahun dan masih belajar di Australia. Memulakan pengajian pada 1 Okt 1994 dan perbelanjaan pengajian yang terlibat adalah sebanyak RM 3,000 dan resit disertakan
  6. Atira adalah kedua En Amer dengan bekas isterinya.  Berusia 20 tahun dan sedang menuntut di Universiti Utara Malaysia
  7. Murni adalah anak ketiga En. Amer dengan bekas isterinya.  Beliau merupakan pelajar matrikulasi Universiti Kebangsaan Malaysia.  Murni begitu manja dengan bekas isterinya dan enggan tinggal bersama En. Amer
  8. Pn. Liza disahkan mengandung tiga bulan pada bulan Ogos 2001 dan selamat melahirkan anak tidak cukup bulan (tetapi normal) pada bulan Disember 2001 di Pusat Rawatan Pakar Sentosa, Kuala Lumpur
  9. En Amer membayar zakat berjumlah RM 1200 pada 31 Disember 2001

Dikehendaki:

Kirakan jumlah cukai perlu bayar oleh En Amer bagi tahun asas 2001.









Maklumbalas

kepada aktiviti





Maklumbalas 6.1:

Encik Faizal Tahun taksiran 2001:
Jumlah pendapatan RM30,000
Tolak pelepasan: diri 8,000
Isteri 3,000
Tambahan isteri cacat 2,500
Alat sokongan asas 5,000(maksimum)
Rawatan perubatan tidak dibenarkan
     18,500
Pendapatan boleh cukai   11,500


Maklumbalas 6.2

  1. RM3,200
  2. RM1,600
  3. RM3,200
  4. Tiada pelepasan
  5. RM5,000
  6. RM800
  7. RM800







Maklumbalas 6.3

Encik Ameer , Tahun taksiran 2001:

S4(b) Gaji (9,500 x 12) 114,000
Bonus (9,500 x 2)  19,000                     133,000

S4( c) Dividen  5,200
S4(d) Sewa  9,800
Jumlah pendapatan 148,000
Tolak pelepasan: Diri 8,000
Isteri 3,000
Anak 1-  Fatin 3,200
         2 – Atira 3,200
         3 – Murni 3,200
         4 – baru lahir        800
Rawatan ibu 4,800
KWSP + insurans 5,000(mak.) ( 31,200)
(11% x 114,000 =12,540)
Insuran  = 2,000
  
Pendapatan boleh cukai 116,800
Pengiraan cukai :
100,000 pertama 15,775
16,800 @ 28%  4,704
20,479
Tolak zakat  1,200
Cukai perlu bayar 19,279
















                           Penilaian kendiri



Tahniah! Anda telahpun menjawab aktiviti dengan jayanya.  Sebelum meneruskannya ke unit selanjutnya… ujikan kefahaman anda semula dan semak jawapan anda untuk kepastian.  




Soalan 6.1

En. Johari sebagai seorang eksekutif dengan Amin Construction di Damansara semenjak 1 Januari 1995.  Beliau terpaksa menghadapi banyak masalah akhir-akhir ini sehingga diberhentikan oleh majikannya pada 31 Disember 2001.  pihak majikan telah membayar sejumlah RM29,000 sebagai pampasan di atas pemberhentian beliau.

Berikut adalah pendapatan-pendapatan yang diperolehi beliau bagi tahun berakhir 31 Disember 2001:

Gaji RM 2,200
Bonus (tahun kewangan berakhir 30 September 2001) 4,400
Elaun pembantu rumah 300 sebulan
Elaun perjalanan 300 sebulan
Tukang kebun (pekerja syarikat) 300 sebulan
Kereta dan pemandu disediakan oleh majikan 450 sebulan

En. Johari telah disediakan sebuah rumah berperabot oleh majikannya di mana majikannya membayar sewaan berjumlah RM1,500 sebulan termasuk RM200 sebulan untuk perabot.  Pihak syarikat telah menetapkan syarat bahawa En. Johari perlu membayar sewa tahunan RM3,000.


Lain-lain maklumat:

  1. Beliau telah membuat caruman kepada kumpulan wang yang tidak diluluskan bagi tahun berkenaan.  Caruman ini berjumlah RM18,000 telah dikembalikan kepada beliau di mana ianya termasuk caruman beliau RM4,500 dan faedah dari caruman sebanyak RM4,000.
  2. En.  Johari telah dapat membuktikan kepada ketua pengarah LHDN bahawa sejumlah RM4,000 telah dilibatkan dalam urusan perjalanan rasminya.  Ini dibuktikan dengan resit-resit yang dihantar ke LHDN
  3. Beliau mempunyai seorang isteri yang bekerja sebagai pendidik di sebuah sekolah rendah di Damansara
  4. Beliau telah membuat caruman KWSP sebanyak RM2,900 manakala isterinya membuat caruman berjumlah RM1,300 bagi tahun berkenaan
  5. Mereka mempunyai tiga orang anak yang masing-masing sedang belajar di sekolah menengah di Kuala Lumpur
  6. En. Johari membayar premium insurans nyawa RM100 sebulan bagi tahun berkenaan
  7. En.  Johari telah membelanjakan RM3,500 untuk membeli insurans pendidikan bagi anak-anaknya
  8. En. Johari telah membuat bayaran fitrah RM12.50 dan zakat pendapatan sejumlah RM100
  9. En Johari membeli saham dalam Syarikat Cepat Maju dan menerima dividen bersih sebanyak RM600 pada tahun berkenaan
  10. Pada 31 Oktober 2000, En.  Johari telah membeli sebuah komputer peribadi untuk keluarganya bernilai RM4,500


Anda dikehendaki mengira pendapatan boleh cukai dan cukai kena bayar oleh En. Johari bagi tahun taksiran 2001jika:

  1. Pelepasan anak dituntut oleh beliau.
  2. Pelepasan anak dituntut oleh isteri beliau.



Soalan 6.2

En.  Taufik dan isterinya, Pn Alia bermastautin di Labuan mengemukakan butir-butir yang berikut bagi tahun taksiran 2001
En. Taufik
Pn. Alia
Pendapatan:
Penggajian
99,000
30,000
Dividen (bersih)
8,600
3,600
Sewa (bersih)
22,000
12,000



Maklumat tambahan:

  1. Anak-anak:( kesemuanya belum berkahwin)
    • Afiq berumur 22 tahun, masih belajar di United Kingdom dan bapanya membelanjakan RM5,000 setahun  atas pelajarannya
    • Akil, berumur 20 tahun berada di USM, Pulau Pinang dan beliau mendapat biasisiwa RM4,500
    • Aida berumur 15 tahun menuntut di sebuah sekolah menengah di Singapura
    • Alin berumur 10 tahun dan bersekolah rendah di Labuan
    • Alimin berumur 7 tahun berada di sekolah khas untuk anak-anak cacat akibat daripada terkena penyakit yang merbahaya.

  1. En. Taufiq membayar RM2,500 setahun sebagai premium ke atas insurans nyawanya sendiri.  Harga polisinya yang diambil bernilai RM50,000
  2. Puan Alia juga membayar premium sebanyak RM1,500 setahun ke atas insurans nyawanya dan harga polisi diambil bernilai RM25,000
  3. En Taufiq dan isterinya mencarum 9% daripada pendapatan penggajian mereka ke dalam KWSP yang diluluskan
  4. En Taufiq membelikan sebuah kerusi roda berharga RM4,400 untuk ibunya dan juga membelanjakan RM2,950 bagi membiayai bil perubatannya sepanjang tahun 2001
  5. Puan Alia telah menderma sebanyak RM500 ke rumah anak yatim di Labuan
  6. Bagi menambahkan pengetahuannya dalam bidang teknologi maklumat, En Taufiq belajar di sebuah kolej swasta dan membayar yuran tahunan sebanyak RM5,200
  7. Puan Alia telah membelanjakan sebanyak RM2,200 setahun bagi insurans pendidikan anaknya Afiq dan menuntut pelepasan bagi anak tersebut
  8. En Taufiq telah membelanjakan RM120 sebulan untuk bil perubatan Alimin bagi tahun berkenaan
  9. En Taufiq dan Puan Alia membayar zakat sebanyak RM1,000 dan RM550 masing-masing dalam tahun 2001


Anda dikehendaki:

  1. mengira pendapatan boleh cukai dan cukai kena bayar En. Taufiq (pelepasan anak dituntut olehnya)
  2. mengira pendapatan boleh cukai dan cukai kena bayar Puan Alia.

































Maklumbalas kepada

penilaian kendiri




Maklumbalas 6.1:

i. Encik Johari: Tahun taksiran 2001 (Pelepasan anak-anak diambil oleh beliau)

S 13 (1)(a) Gaji(2,200 x 12) 26,400
Bonus (9/12 x 4,400)  3,300
Elaun pembantu rumah
(300 x 12 )  3,600
Elaun perjalanan
(300 x 12)  3,600 36,900

S 13(1)(b) Tukang kebun(300 x 12) 3,600
Kereta (450 x12) 5,400 Perabut (200 x 12) 2,400 11,400
S 13(1)(c ) Nilai kediaman 11,070
(30% x 36,900 = 11,070
atau NTK 1,300 x 12 = 15,600)
terendah 11,070
S 13(1)(d) KWSP yang tidak diluluskan  9,500
S 13(1)(e) Pampasan 29,000
Tolak pengecualian
(4,000 x 7) (28,000) 1,000

Pendapatan kasar penggajian 69,870







Tolak belanja-belanja :
Belanja perjalanan rasmi  (3,600)
Pendapatan larasan penggajian  66,270
Campur : Dividen (600 x 100/72)       833
Jumlah pendapatan  67,103

Tolak : Pelepasan Diri 8,000
Anak-anak (3 x 800) 2,400
KWSP 2,900
Insuran nyawa 1,200
Insuran pendidikan 3,000 (17,500)
Pendapatan boleh cukai 49,603



Pengiraan cukai :
    35,000 pertama 2,025
    Lebihan 14,603@ 15% 2,190.45
               4,215.45
Tolak: zakat 100.00
fitrah  12.50
komputer 400.00
sek.110
(833 x 28% ) 233.00   (745.50)

Cukai perlu dibayar  3,470.04


ii. Encik Johari: Tahun taksiran 2001( pelepasan anak-anak di bawah isteri):

S 13 (1)(a) Gaji(2,200 x 12) 26,400
Bonus 9/12 x 4,400  3,300
Elaun pembantu rumah
(300 x 12 )  3,600
Elaun perjalanan
(300 x 12)  3,600 36,900

S 13(1)(b) Tukang kebun(300 x 12) 3,600
Kereta (450 x12) 5,400 Perabut (200 x 12) 2,400 11,400
S 13(1)(c ) Nilai kediaman 11,070
(30% x 36,900 = 11,070
atau NTK 1,300 x 12 = 15,600)
terendah 11,070
S 13(1)(d) KWSP yang tidak diluluskan  9,500
S 13(1)(e) Pampasan 29,000
Tolak pengecualian
(4,000 x 7) (28,000) 1,000

Pendapatan kasar penggajian 69,870

Tolak belanja-belanja :
Belanja perjalanan rasmi  (3,600)
Pendapatan larasan penggajian  66,270
Campur : Dividen (600 x 100/72)       833
Jumlah pendapatan  67,103
Tolak : Pelepasan
Diri 8,000
KWSP 2,900
Insuran nyawa 1,200
Insuran pendidikan 3,000 (15,100)
Pendapatan boleh cukai 52,003



Pengiraan cukai :
    50,000 pertama    4,275  
    Lebihan 2,003 @ 20%  400.60
               4,675.60
Tolak: zakat 100.00
fitrah  12.50
komputer 400.00
sek.110
(833 x 28% ) 233.00   (745.50)

Cukai perlu dibayar  3,930.10















Maklumbalas  6.2

Encik Taufik: Tahun taksiran 2001

Pendapatan penggajian 99,000
Dividen ( 8,600/.72) 11,944
Sewa 22,000
Jumlah pendapatan 132,944

Tolak pelepasan:-
Diri 8,000
Anak-anak:
Afiq  800
Akil 3,200
Aida   800
Alia 800
Alimin 5,000
Insuran nyawa dan KWSP 5,000 (maksimum)
(KWSP 9% x 99,000= 8,910)
(Ins. 2,500 )

Alatan asas sokongan 4,400
Bil perubatan ibu 2,950
Yuran pengajian 5,000(maksimum) (35,950)

Pendapatan boleh cukai 96,994


Pengiraan cukai:

70,000 pertama 8,275
26,994@ 25% 6748.5
15,023.5

Tolak : Zakat ( 1,000)
Sek. 110
(28% x 11,944)             (3,344)

Cukai perlu bayar 10,679.5








Pn Alia: Tahun Taksiran 2001

Sek 4 (b)
Penggajian 30,000

Sek 4 ( c )

Dividen(3,600/0.72)  5,000

Sek 4 (d)
Sewa 12,000
Pendapatan Agregat 47,000

Tolak : Derma    500
Jumlah Pendapatan 46,500

Tolak  pelepasan:
Diri 8,000
Insuran 1,500
KWSP 2,700
(9% 30,000)
Insuran pendidikan
Anak 2,200 14,400
Pendapatan boleh cukai 32,100


Pengiraan Cukai:
20,000 pertama 675
12,100@9%                1,089
Jumlah cukai dikenakan         1,764
Tolak : zakat    550
Rebat    350

Sek.110
(28% x 5,000)             1,400
1,764( had)
Tiada cukai yang perlu dibayar 0



LAMPIRAN:

JADUAL KADAR CUKAI PENDAPATAN INDIVIDU
TAHUN TAKSIRAN
1996 – 2000
TAKSIRAN BERASASKAN TAHUN SEBELUM
2000 – 2001
TAHUN SEMASA
Pendapatan boleh cukai
Kadar
Cukai
Kadar
Cukai
Di atas yang pertama
Di atas yang berikut
2,500
2,500
0%
2%
0
50
0%
1%
0
25
Di atas yang pertama
Di atas yang berikut
5,000
5,000

4%
50
200

3%
25
150
Di atas yang pertama
Di atas yang berikut
10,000
10,000

6%
250
600

5%
175
500
Di atas yang pertama
Di atas yang berikut
20,000
15,000

10%
850
1,500

9%
675
1,350
Di atas yang pertama
Di atas yang berikut
35,000
15,000

16%
2,350
2,400

15%
2,025
2,250
Di atas yang pertama
Di atas yang berikut
50,000
20,000

21%
4,750
4,200

20%
4,275
4,000
Di atas yang pertama
Di atas yang berikut
70,000
30,000

26%
8,950
7,800

25%
8,275
7,500
Di atas yang pertama
Di atas yang berikut
100,000
50,000

29%
16,750
14,500

28%
15,775
14,000
150,000
31,250
29,775
Pendapatan melebihi
150,000
30%
29%
Tidak Mastautin
30%
29%