September 17, 2011

UNIT 4 DEFINISI PERKONGSIAN


UNIT 4

                   OBJEKTIF


Objektif am :

Menerangkan kepada pelajar apakah yang dimaksudkan dengan perkongsian, ciri-ciri perkongsian, dan beza perkongsian dengan syarikat.


Objektif khusus:
  1. Menjelaskan maksud perkongsian
  1. Membezakan perkongsian dengan perbadanan
  1. Mengenalpasti kewujudan perkongsian



  1. PENGENALAN

Akta yang dirujuk ialah Akta Perkongsian 1961 (AP 1961) yang diperluaskan pemakaiannya ke seluruh Malaysia melalui pindaan yang dibuat pada tahun 1974. Seksyen 47(1) AP menyarankan penggunaan Ekuiti dan Common Law English yang digunakan dalam perkongsian diteruskan penggunaannya, melainkan sekiranya ia tidak konsisten dengan peruntukan akta ini.

    1. DEFINISI PERKONGSIAN

Seksyen 3(1) AP 1961 mentakrifkan perkongsian sebagai suatu perhubungan yang wujud di antara orang-orang yang menjalankan perniagaan bersama bagi maksud mendapatkan keuntungan.


CIRI-CIRI PERKONGSIAN

Perhubungan
Perhubungan di antara beberapa orang perlu ada bagi mewujudkan perkongsian, ini bermaksud perhubungan perniagaan yang dibuat mestilah secara nyata atau tersirat antara pekongsi-pekongsi. Kes Keith Spicer Ltd lwn Mansell (1970) 1 WLR 333 di mana di dalam kes ini diputuskan perkongsian tidak wujud sungguhpun kerja-kerja awal telahpun dilakukan seperti membuka akaun di bank dan membuat tempahan barang-barang, ia bukanlah satu bukti yang cukup untuk menunjukkan perniagaan itu sedang dijalankan.

Bilangan Pekongsi
Bilangan minima bagi perkongsian adalah 2 orang. Menurut Seksyen 14 (3)(b) Akta Syarikat 1965 (AS 1965) dan Seksyen 47 (2) AP 1961 memperuntukkan bilangan maksima bagi perkongsian ialah 20 orang.
Kes Tan Teck Hee lwn Cheng Tian Peng (1915) 2 F.M.S.L.R. 161 di mana mahkamah memutuskan bahawa disebabkan firma menjalankan perniagaan dengan 25 orang ahli maka ia adalah tidak sah.
Walau bagaimanapun bagi perkongsian professional, bilangan ahlinya boleh melebihi 20 orang seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 14 (3) (a) AS 1965.

Perniagaan
Seksyen 2 AP 1961 mendefinisikan perniagaan sebagai meliputi setiap tred, pekerjaan atau profesion. Walau bagaimanapun, takrifan ini tidak menerangkan secara terperinci maksud perniagaan yang sebenarnya. Oleh yang demikian, sebarang pertikaian perlulah dirujuk kepada mahkamah.
Contoh kes Customs & Excise Commissioner lwn Lord Fisher (1981) 2 ALL ER 262 di mana satu rancangan menembak burung telah diadakan di antara beberapa orang kawan dan saudara-mara yang dikenakan bayaran diputuskan oleh mahkamah sebagai bukan suatu perniagaan.
Kes Malayandi Chetty lwn Narayanen Chetty 36 IC 225, mahkamah memutuskan bahawa usaha memberi pinjaman oleh Chetty adalah satu perniagaan.

Keuntungan
Seksyen 3(1) memperuntukkan perniagaan yang dijalankan perlulah dengan maksud untuk mendapatkan keuntungan. Di dalam kes Re Spanish Prospecting Co Ltd (1911) 1 Ch 92, di mana hakim Fletcher Moulton memutuskan bahawa keuntungan adalah membuat perbezaan kedudukan perniagaan di antara dua tarikh tertentu dalam masa satu tahun.

Seksyen 3(2) pula memperuntukkan keadaan di mana perhubungan antara ahli-ahli syarikat yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat 1965 atau persatuan koperatif di bawah mana-mana undang-undang koperasi ataupun di bawah mana-mana undang-undang lain yang berkuatkuasa di Malaysia atau di bawah sesuatu surat kurnia, Piagam Diraja atau Akta Parlimen United Kingdom bukanlah merupakan suatu perkongsian di bawah AP 1961.

Seksyen 4 AP 1961 pula memperuntukkan beberapa situasi yang mempengaruhi perkongsian, selain daripada apa yang dinyatakan di bawah seksyen 3 AP.

      Rajah 4.1 di bawah meringkaskan ciri-ciri perkongsian.

Perhubungan di antara rakan kongsi mestilah dibuat secara nyata atau tersirat.
PERHUBUNGAN



Minima 2 orang dan maksima 20 orang rakan kongsi.
BILANGAN PEKONGSI



Hubungan rakan kongsi yang wujud hendaklah bertujuan menjalankan perniagaan.
PERNIAGAAN



Tujuan perniagaan perkongsian di jalankan adalah untuk mendapatkan keuntungan.
KEUNTUNGAN




         Rajah 4.1 :  Ciri-ciri perkongsian







AKTIVITI 4a




  1. Apakah yang dimaksudkan oleh Seksyen 3(1) Akta Perkongsian 1961 ?

  1. Perlukah sesuatu perniagaan perkongsian tersebut membuktikan yang ianya membuat keuntungan untuk menepati ciri-ciri perkongsian ?














   
MAKLUM BALAS 4a





  1. Seksyen 3(1) AP 1961 mendefinisikan perkongsian sebagai suatu perhubungan yang wujud di antara beberapa orang bagi maksud menjalankan perniagaan bersama untuk mendapatkan keuntungan.

  1. Seksyen 3 (1) memperuntukkan bahawa perkongsian mestilah berbentuk sebuah perniagaan yang bertujuan untuk mendapatkan keuntungan, niat untuk mendapatkan keuntungan adalah memadai dan tidak perlu untuk membuktikan bahawa perniagaan membuat keuntungan.









    1. PERBEZAAN DENGAN PERBADANAN
    1. Bilangan Keahlian
Menurut Seksyen 14 (3)(b) Akta Syarikat 1965 (AS 1965) dan Seksyen 47 (2) AP 1961 memperuntukkan bilangan maksima bagi perkongsian ialah 20 orang. Walau bagaimanapun bagi perkongsian professional, bilangan ahlinya boleh melebihi 20 orang seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 14 (3) (a) AS 1965. Manakala bagi perbadanan  jumlah maksima tidak dihadkan kecuali bagi syarikat persendirian tidak melebihi 50 orang.
    1. Keupayaan untuk memiliki atau memegang harta
Aset-aset sesebuah perkongsian adalah kepunyaan rakan-rakan kongsi firma perkongsian tersebut tetapi bagi perbadanan, aset-aset adalah kepunyaan syarikat sendiri dan bukannya kepunyaan ahli-ahli syarikat.
    1. Tanggungan ahli terhadap hutang
Rakan kongsi adalah bertanggungan secara peribadi terhadap hutang-hutang mereka (liabiliti tidak terhad) manakala bagi perbadanan pula liabiliti / hutang perbadanan adalah merupakan hutang perbadanan itu sendiri dan ahli-ahli tidak bertanggungan secara peribadi.

    1. Tindakan bagi prosiding undang-undang
Perkongsian tidak mempunyai personaliti perundangan maka segala tindakan undang-undang diambil atas nama peribadi ahli-ahli pekongsi. Bagi perbadanan pula tindakan undang-undang  adalah diambil atas nama perbadanan itu sendiri.

    1. Jangkamasa hayat dan pembubaran
Jangkamasa hayat bagi sesebuah perbadanan adalah berdasarkan peruntukan-peruntukan di dalam Akta Syarikat 1965 manakala bagi perkongsian adalah bergantung kepada perjanjian di antara rakan kongsi.
























AKTIVITI 4b







  1. Apakah yang dinyatakan oleh Seksyen 14 (3)(b) Akta Perkongsian 1961 mengenai syarat keahlian ?
  1. Bagaimanakah perkongsian dan perbadanan dibezakan dari segi tanggungan ahli terhadap hutang?
  1. Apakah yang dimaksudkan dengan liabiliti / tanggungan rakan kongsi yang tidak terhad ?













MAKLUM BALAS 4b






  1. Minima 2 orang dan maksima 20 orang.

  1. Perkongsian – rakan-rakan kongsi sama-sama bertanggungan
Perbadanan- ahli-ahli tidak bertanggungan

  1. Rakan kongsi merupakan pemilik kepada perkongsian, oleh itu segala
tanggungan / liabiliti akan ditanggung secara peribadi oleh rakan-rakan kongsi.












    1. UJIAN-UJIAN KEWUJUDAN PERKONGSIAN
    1. Tenansi bersama, harta bersama atau harta am tidak dengan sendirinya mewujudkan suatu perkongsian samada tenansi atau pemunya menerima atau tidak menerima apa-apa bahagian keuntungan yang diperolehi melalui penggunaannya. Peruntukan ini terkandung di dalam Seksyen 4(a)  AP 1961.
Kes French lwn Strying (1857) NS 357
Mahkamah memutuskan bahawa beberapa orang yang memiliki secara bersama seekor kuda lumba bukan dianggap sebagai pekongsi.
    1. Pembahagian pulangan kasar tidak dengan sendirinya mewujudkan suatu perkongsian. Seksyen 4(b) AP 1961. Kes Lyons lwn Knowles 3 B & S 556, di mana tuan punya panggung dan pengurusnya yang berkongsikan pulangan kasar bukan dianggap sebagai pekongsi.

c.   Berkongsi keuntungan bersih perniagaan adalah bukti prima facie bahawa beliau adalah seorang pekongsi perniagaan itu. Walau bagaimanapun kenyataan itu boleh disangkal dengan alasan-alasan tertentu. Ini dinyatakan di bawah seksyen 4 ( c ) AP 1961 iaitu seseorang atau suatu bahagian daripada keuntungan urusan adalah keterangan prima facie bahawa dia ialah seorang pekongsi dalam firma itu, tetapi penerimaan bahagian sedemikian tidak dengan sendirinya menjadikannya seorang pekongsi dalam urusan itu.

Kes Murray lwn David (1930) SSLR 229, plaintif telah melakukan 3 urusan dengan defendan, mahkamah,  setelah meneliti ketiga-tiga urusan yang dibuat, mendapati bahawa tidak terdapat perjanjian untuk pembahagian keuntungan dalam urusan pertama dan kedua, tetapi dalam urusan ketiga mahkamah mendapati terdapat perjanjian pembahagian keuntungan. Berdasarkan perjanjian ketiga itu mahkamah memutuskan bahawa plaintif adalah merupakan pekongsi dengan defendan bagi urusan ketiga sahaja.

Keadaan-keadaan yang tidak mewujudkan perkongsian tersebut  boleh dijelaskan oleh lima keadaan seperti yang ditunjukkan oleh Jadual 4.1 di bawah :
Seksyen
Penerangan
Contoh kes

Sek 4 ( c )(i)

Penerimaan balik bayaran hutang
Mengatakan penerimaan oleh seseorang suatu hutang atau lain-lain amaun tertentu jumlahnya secara ansuran atau sebaliknya daripada keuntungan yang terakru bagi suatu urusan tidak dengan sendirinya menjadikan ia seorang pekongsi dalam urusan itu.

Kes Badeley lwn Consolidated Bank (1888) Ch  di mana mahkamah memutuskan bahawa pinjaman B kepada C adalah pada hakikatnya bertujuan sebagai pinjaman yang diberi cagaran. Sungguhpun B menerima sebahagian keuntungan perniagaan itu, ia tidak menjadikan B pekongsi dengan C.

Sek 4 ( c ) (ii)

Kontrak pembayaran gaji pekerja
Menjelaskan bahawa suatu kontrak bagi saraan seorang ejen pekerja yang menjalani suatu urusan dengan menerima suatu bahagian daripada keuntungan urusan itu tidak dengan sendirinya menjadikan ejen pekerja itu seorang pekongsi dalam urusan itu.

Kes Walker lwn Hirsch (1884) 27 Ch.D 460 ,dalam kes ini plaintif adalah bekas kerani di sebuah firma yang telah memberikan pinjaman sebanyak 1500 pound sterling kepada firma dengan persetujuan pinjaman tersebut dibayar balik secara diberi gaji 180 pound sterling dan satu perlapan daripada keuntungan bersih.
Mahkamah memutuskan bahawa palaintif bukanlah pekongsi dalam firma tersebut walaupun wang pembayaran gaji adalah diambil daripada perniagaan perkongsian itu.

Sek 4 ( c ) (iii)

Pembayaran anuiti kepada balu / anak pekongsi
Menyatakan bahawa seseorang balu atau anak kepada pekongsi yang telah mati dan menerima melalui anuiti sebahagian daripada keuntungan yang diperolehi dalam urusan di mana simati adalah pekongsi, bukan seorang pekongsi dalam urusan itu.

Kes I.R.C. lwn Lebus’s Trustees (1946) 1 All. E.R. 476, dalam kes ini seorang pekongsi yang meninggal dunia telah mewariskan saham dalam firma kepada balunya. Siisteri menuntut supaya aset firma diserahkan kepadanya kerana kegagalan firma membayar anuiti. Mahkamah memutuskan bahawa aset firma bukanlah milik siisteri. Dia hanya berhak menerima anuiti daripada keuntungan perniagaan sahaja dan tidak menjadikannya seorang pekongsi.

Sek 4 ( c ) (iv)

Kontrak pembayaran melalui keuntungan tidak tetap
Menyatakan bahawa pendahuluan wang secara pinjaman kepada seorang yang menjalani suatu urusan atas suatu kontrak dengan orang itu bahawa pemberi pinjaman hendaklah menerima suatu kadar bunga mengikut keuntungan yang berbangkit daripada menjalankan urusan itu, tidak dengan sendirinya membuatkan pemberi pinjam itu seorang pekongsi

Dalam kes Re Young (1896) 2 Q.B. 484, terdapat kontrak bertulis antara A dan B dimana A meminjamkan wang kepad B dan sebagai pulangannya A menerima bayaran daripada keuntungan pada setiap minggu. Mahkamah memutuskan bahawa A bukanlah pekongsi tetapi hanyalah orang yang menerima pembahagian keuntungan mengikut istilah di dalam Akta Perkongsian.

Sek 4 ( c) (v)

Penjualan nama baik perniagaan
Memperuntukkan seseorang yang menerima melalui anuiti atau sebaliknya, sebahagian daripada keuntungan urusan sebagai balasan kepada jualan nama baik perniagaannya kepada seseorang yang lain dan wang pembayaran adalah diambil dari keuntungan perniagaan nama baik tersebut, maka sipenerima bayaran bukanlah seorang pekongsi.

Kes Pratt lwn Strick (1932) 17 T.C. 459 di mana seorang pengamal perubatan yang telah menjual perniagaannya kepada pembeli dan memperkenalkan bekas pelanggannya kepada pembeli hasil dari nama baik perniagaannya dan membahagi samarata keuntungan yang diperolehi telah diputuskan oleh mahkamah bahawa bukan
dianggap rakan kongsi.


                     Jadual 4.1 : Keadaan yang tidak mewujudkan perkongsian
.

KONTRAK PERKONGSIAN


Perkongsian boleh terjadi sama ada secara bertulis atau lisan. Walau bagaimanapun perkongsian sebaiknya perlu dibuat secara bertulis.
Artikel perkongsian yang dibuat secara bertulis perlu mengandungi maklumat-maklumat penting mengenai perkongsian bertujuan supaya :
  1. Tidak menimbulkan sebarang pertelingkahan di antara pekongsi kerana perjanjian telah dipersetujui oleh semua pekongsi.
  2. Tafsiran lebih tepat dan sesuai dapat dilakukan dengan melihat kepada niat pekongsi-pekongsi di dalam kontrak perkongsian tersebut.

Sekiranya perjanjian perkongsian tidak dibuat secara bertulis, Akta  Perkongsian akan terpakai dengan sendirinya.


















AKTIVITI 4c





  1. ‘Pemilikan bersama sesuatu harta atau aset tidak dengan sendirinya
menunjukkan bahawa sesuatu perkongsian telah wujud”.
     Dengan bantuan kes, adakah anda bersetuju dengan kenyataan ini ?

  1. Seksyen 4 ( c ) memperuntukkan bahawa berkongsi keuntungan bersih adalah bukti prima facie bahawa beliau adalah pekongsi dalam perniagaan itu. Walau bagaimanapun anggapan ini telah disangkal oleh beberapa keadaan. Apakah keadaan itu dan nyatakan seksyen-seksyen yang terlibat ?











MAKLUM BALAS 4c







      1. Kes yang boleh dirujuk ialah French lwn Strying (1857) NS 357 yang mana mahkamah telah memutuskan bahawa beberapa orang yang memiliki secara bersama seekor kuda lumba bukan dianggap sebagai pekongsi.
      1. Seksyen 4 ( c ) (i)
Seksyen 4 ( c ) (ii)
Seksyen 4 ( c ) (iii)
Seksyen 4 ( c ) (iv)
Seksyen 4 ( c ) (v)









PENILAIAN KENDIRI


Tentukan samada Amin adalah seorang pekongsi dalam situasi di bawah dan
nyatakan seksyen yang boleh menyokong jawapan anda :
    1. Ali, Abu dan Amin bersetuju untuk membuka sebuah kedai kain dan salah satu daripada terma-terma perjanjian di antara mereka telah mengecualikan Amin daripada berkongsi sebarang keuntungan bersih perniagaan tersebut.
    2. Amin, seorang penyanyi bersetuju untuk menerima daripada penerbit albumnya, 7% royaltidaripada keuntungan bersih jualan albumnya.
    3. Mimi, Fifi dan Nini adalah rakan-rakan kongsi yang menjalankan perniagaan runcit. Apabila Mimi meninggal dunia, Fifi dan Nini bercadang untuk mengambil Amin, iaitu suami Mimi, bekerja di kedai mereka dan Amin akan dibayar satu perlima daripada keuntungan bersih yang diperolehi.
    4. Amin bersetuju menjualkan kuih muih yang dibuat oleh Mak Yam dengan syarat Amin akan dibayar komisyen sebanyak 20 sen bagi setiap kuih yang berjaya dijual.
    5. Aminah dan Gayah adalah pemilik bersama sebuah rumah kedai. Mereka kemudiannya menyewakan rumah kedai tersebut kepada seorang kawan dan berkongsi sama rata wang sewaan yang diterima.




MAKLUM BALAS

                                                       PENILAIAN KENDIRI
  1. Tidak wujud perkongsian ~ Seksyen 3 (1) dan Seksyen 4 ( c ) AP1961
  2. Tidak wujud perkongsian ~ Seksyen 4 ( c ) (ii)
  3. Tidak wujud perkongsian ~ Seksyen 4 ( c ) (ii) dan (iii) AP1961
  4. Tidak wujud perkongsian ~ Seksyen 4 ( b )